Kisah - 30

1.4K 171 162
                                    

Iskandar memimpin Arjuna sekiranya pemuda itu sukar bergerak bagi menyempurnakan wuduknya. Namun alhamdulillah Arjuna dapat bergerak dengan baik tanpa sebarang masalah. Keadaannya bertambah pulih sedikit setelah dapat bertukar bicara dengan sahabatnya, Iskandar.

Air dari kolah yang seluas lebih dua kolah itu dicedok menggunakan gayung kemudian dituang ke anggota wuduk dengan sempurna. Air jernih itu diratakan sehabis baik. Rambut basah Arjuna selepas berwuduk menyerlahkan ketampanannya tatkala titisan air menitik jatuh ke lantai licin kawasan tempat berwuduk itu.

Iskandar turut menyempurnakan wuduknya dan bergegas ke arah Arjuna bagi membantunya menaiki tangga dengan baik. Mereka kemudiannya bergerak ke surau utama Istana Tarawangsa yang berada betul-betul bersebelahan dengan istana tersebut.

Atas sebab Arjuna tidak mampu berjalan jauh, mereka hanya membawa pemuda itu solat di surau tersebut yang juga merupakan ruang solat istana. Bayu dingin malam mula menggigit tatkala mereka memenuhi ruang solat utama itu.

Bunyi cengkerik menghiasi suasana malam. Tingkap hanya dibuka sedikit manakala pintu utama sentiasa terbuka memberi ruang hulubalang turut sama menyertai jemaah hari ini.

Kebiasaannya, surau itu dipenuhi hulubalang yang bergilir mengambil tempat untuk menunaikan kewajipan kerana sebagai pengawal istana, mereka harus sentiasa peka dengan keadaan sekeliling istana maka untuk bergerak ke Masjid Al-Fateh agaklah sukar kerana sedikit jauh jaraknya dari istana.

Selain hulubalang istana, jarang surau itu digunakan kerana bahkan Ratu Melawati juga menggunakan ruang solat utamanya untuk solat bersendirian. Namun memandangkan kali ini sedikit ramai tetamu datang bertandang, Sang Ratu turut sama hadir ke surau itu bagi menyertai solat jemaah maghrib.

Delima, Ratna dan Ratu Melawati bersedia di ruang solat wanita manakala Iskandar bakal menjadi imam pada maghrib itu memandangkan Arjuna tidak mampu menyandang amanah itu. Arjuna hanya solat secara duduk setelah dimarahi Iskandar kerana berkeras mahu solat jemaah sama tetapi juga mahu solat secara berdiri.

Habis diceramahi Iskandar tentang rukhsah bagi orang sakit secara panjang lebar hingga terdiam Arjuna dibuatnya dan mula menurut kata utusan Wantachitra itu. Itulah, sudah ditegur sekali dua tidak mahu dengar, kan sudah mendapat bebelan tulus ikhlas Iskandar.

Beberapa hulubalang yang tidak bergilir turut sama mengambil tempat untuk menyertai jemaah pada hari itu. Biarpun jemaah tidaklah ramai, kurang dari sepuluh orang, namun syahdunya solat pada malam itu tetap dapat dirasai.

Sunyi seluruh alam malam bertemankan cahaya mentol masjid yang menghiasi seluruh masjid hingga ke bahagian luar. Hanya bacaan solat yang dilafaz Iskandar kedengaran menjadi pemecah sunyi malam itu. Sesekala pawana menampar-manpar pipi insan-insan yang sedang beribadah itu.

Surau utama Istana Tarawangsa itu berwarna putih dan kuning. Kubah kecilnya serta hampir keseluruhan surau diselaputi warna kuning bak diraja memandangkan sememangnya surau itu milik kerajaan dan hanya beberapa bahagian sahaja berwarna putih.

Lantai surau dilapisi permaidani tebal yang diperoleh dari pedagang-pedagang Arab dan Andalusia dan diletakkan berlapis-lapis atas satu sama lain bagi mengelakkan haba sejuk lantai mencengkam hamba Allah yang hadir menunaikan solat di situ.

Kerajaan Andalusia memang terkenal dengan permaidani indah dan berkualiti tinggi mereka maka setiap kali pedagang-pedagang ini datang berdagang di pelabuhan Tarawangsa, Ratu Melawati pasti menitahkan beberapa orangnya untuk mendapatkan permaidani berkualiti tinggi itu. Jikalau sudah melebihi keperluan kerajaan, permaidani lebihan akan disedekahkan kepada masjid atau mana-mana rakyatnya yang memerlukan.

"Assalamualaikum warahmatullah..." Iskandar memalingkan wajahnya ke kiri menyempurnakan seluruh tertib solat sehabis baik sambil diikuti para jemaah yang lain.

Dusta Puteri PalsuWhere stories live. Discover now