Kisah - 61

397 42 14
                                    

  "Aneh ya, sepertinya aku pernah mendengar nama itu. Tapi di mana ya?" Dahlia bersuara kecil dalam perjalanannya pulang ke tempat asalnya. Sebaik sahaja mendengar nama Han Lee Po, dirinya bagai disentak deja vu. Namun anggapan itu ditepis Dahlia begitu sahaja. Bukan hal yang penting baginya.

  Saat kelibat Merpatika yang sedang sibuk mencarinya kelihatan, baru Dahlia teringat tujuan sebenar dia masuk ke dalam hutan tadi. Sepertinya dirinya sendiri yang tertarik untuk menerjah masuk ke situ. Namun setelah berjumpa dengan Han Lee Po, perasaan itu hilang begitu sahaja.

  "Hei, ke mana perginya kau tadi?" Merpatika mendengus geram. Menyusahkannya sahaja perlu mencari gadis seorang ini.

  "Sengaja aku mengambil angin di dalam sana tadi." Jawab Dahlia acuh tak acuh. Sekiranya tiada apa berlaku, tiadalah hendak hal itu diperbesar.

  "Usahlah engkau menggalang leher minta disembelih, Dahlia. Kau lupa ya? Kau tiba ke sini juga atas kesilapan sendiri yang menonong masuk hutan ikut firasat hati sendiri. Bila hendaknya engkau belajar dari kesilapan?" Merpatika yang gundah gulananya dahsyat bagaikan mahu gugur jantung sebentar tadi akibat kehilangan Dahlia bertambah berang menyaksikan tingkah laku gadis itu yang sengaja menjolok sarang tebuan.

  Dahlia terkedu. Bicara Merpatika itu ada benarnya, tidak dapat dia nafikan namun nada suaranya mampu menyalakan cebisan kecil api amarah di jiwa.

  "Aku selamat pergi dan pulang bukan? Usahlah kita bertikam lidah kerana perkara kecil sebegini." Dahlia membalas ringkas tidak mahu bertekak. Sungguh tidak Dahlia tahu entah apa masalah Si Merpatika itu.

  Merpatika memandang Dahlia geram. Ikutkan hati mahu sahaja diketuk kepala gadis itu. Namun Dewi yang muncul secara tiba-tiba menoktahkan pergaduhan kecil antara mereka.

  "Tengku, silahkan." Dewi bersuara ringkas. "Ampun Tengku, kuda Tengku turut hilang beberapa hari selepas kehilangan Tengku sendiri. Maka kuda yang baru kami sediakan, lebih baik buat Tengku." Sambung Dewi lagi. Sebelah tangannya masih memegang tali kekang kuda tersebut, menariknya untuk berdiri di hadapan Dahlia.

  Tanpa berlengah, Dahlia segera menunggang kuda tersebut. Mujur Merpatika sempat mengajarnya teknik menunggang kuda sebelum tiba ke majlis keraian. Biarpun selalu bertelingkah dan bertikam lidah, burung merpati gergasi itu juga telah banyak berjasa kepadanya. Maka kebiasaannya api amarah Dahlia terhadap Merpatika terpadam begitu sahaja apabila teringatkan tentang jasa merpati putih itu.

   Kuda ditunggang. Dua pengawal istana berkawal di bahagian hadapan Dahlia, Dewi disisinya, Merpatika pula di bahagian belakang bersama tiga orang pengawal. Kesemuanya menjadi pendamping Dahlia dalam perjalanannya menuju ke Kampung Empat Puncak.
_______________________•••____________________

  "Ke mana perginya Kakanda Dahlia, hai kakanda Arjuna?" Ratna menarik hujung sampin pelekat biru Arjuna yang sepertinya masih tidak jemu bertukar bicara dengan beberapa orang ternama. Gadis itu melilau matanya mencari kelibat Dahlia namun tidak kelihatan. Sudahlah ketinggiannya ibarat setengah batang pokok pisang, samar-samar sahaja yang mampu dilihatnya dalam keadaan sebegitu.

  Arjuna menoleh memandang ke bawah. Hanya kepala kecil Ratna kelihatan kerana gadis itu masih terpusing-pusing mencari kakanda kesayangannya.

  "Sebentar ya.." Arjuna memberi isyarat menggunakan telapak tangannya ke arah beberapa orang ternama yang menjadi rakan bualnya itu. Tangan kecil Ratna digapai lembut seraya dia berjalan beberapa tapak menjauhi golongan ternama itu. Ratna didukungnya dengan baik.

  "Kau tidak boleh menggelar kakanda Dahlia begitu lagi." Arjuna bersuara perlahan, tidak berbisik namun tidak juga mampu didengari orang sekeliling. Suasana yang agak riuh-rendah dengan suara orang ramai turut menenggelamkan suara Arjuna namun masih mampu didengari oleh Ratna.

Dusta Puteri PalsuWhere stories live. Discover now