Kisah - 64

331 31 0
                                    

"Astaghfirullahalazim. Ampun ampun maaf saudara dan saudari. Ya Allah khilaf diri sendiri tiada beri peluang pada kalian untuk menjelaskan." Tok pengembala kambing menepuk dahinya sebelum berkali tunduk sedikit memohon maaf atas kesalahfahaman yang berlaku. Tangannya masih melekat di dada benar- benar kesal akan perbuatannya.

Dahlia dan Arjuna sekadar tersenyum kelat. Malunya bukan kepalang namun hati masing-masing berbunga mekar bagaikan banjir taman di hati dengan puspita mekar bertebaran. Ratna ketawa kecil yang cukup indah dijadikan madah telinga.

Gadis kecil itulah yang menyedarkan tok pengembala akan hubungan sebenar Arjuna dan Dahlia. Sudahnya, tiada lagi usaha pengembala itu dalam mencari kambing terbaik buat akikah.

"Tidak mengapa tok. Benda lepas usah dikenang." Kata Arjuna sambil tersenyum manis. Tangannya masih di posisi belakang menyerlahkan imejnya yang segak.

"Itu kenapa itu, tok?" Dahlia yang sengaja mengubah topik tidak mahu perkara ini berlanjutan lagi segera menuding jarinya ke suatu arah di mana terletaknya seekor kambing yang kelihatan lemah dan tidak berdaya.

Kambing itu berwarna hitam bagaikan pantat belanga, terbaring lemah di sebuah kandang yang terasing daripada rakan-rakannya yang lain. Dahlia mula sedar bahawasanya kambing ini sahajalah satu-satunya kambing yang hitam bulunya berbanding yang lain berbulu putih atau perang. Bulunya juga tidaklah lebat. Keadaan kambing itu tidak terlihat seperti kambing yang sihat malah netranya yang kuyu ibarat mengoyak hati Dahlia secebis demi secebis.

Arjuna turut menoleh sama, memerhatikan kambing hitam yang terlihat sedikit aneh berbanding yang lain itu.

"Ah itu, Itam aku gelarkan dia. Jatuh sakit sudah dia beberapa minggu ini. Tidak makan mahupun minum. Entah sakit apa tidaklah aku tahu. Ikhtiar pelbagai cara pun sudah namun tiada berhasil. Aku jaga sajalah dia hingga ke akhir hayatnya jikalau tiada penawar mampu mengubati." Terang Tok Pengembala sambil melangkah mendekati kandang itu. Dahlia dan Arjuna turut sama menuruti langkah lelaki tua itu.

"Berhenti." Tok Pengembala menghalakan tongkat kayunya ke hadapan langkah kaki Arjuna, menoktahkan gerakan pemuda itu. "Sampai situ sahaja had kalian. Jangan kau dekat dengan kandang ini. Risau sekiranya penyakit ini merbahaya buat kalian." Sergah Tok Pengembala itu tegas. Serta-merta langkah Dahlia dan Arjuna terhenti. Keduanya berkerut keliru.

"Lihat dari situ sahaja. Usah mendekat." Jelas Tok Pengembala perlahan. Kemudian dia kembali menoleh ke arah kandang seekor kambing hitam yang berseorangan itu semula. Segalanya sedikit bersepah dan tidak terurus. Bekas minuman dan rumput-rumput yang menjadi sumber makanan kambing itu pun tidak bersentuh namun terlihat seperti diserang tsunami kerana segalanya bertebaran merata.

Sepertinya kambing itu berusaha untuk mendapatkan makanan dan minumannya namun akibat terhadnya tenaga dalam tubuhnya menyebabkan dia sering terjelopok di seluruh kawasan melukis peta serabut berdakwatkan rumput di seluruh kawasan kandang tersebut.

"Kasihannya..." Dahlia bersuara perlahan. Separa berbisik namun mampu didengari semua.

  "Sebelum Itam, ada seekor lagi yang sudah mati juga. Itu juga atas asbab penyakitnya. Namun..." Tok Pengembala menarik nafas sehela sebelum menyambung bicaranya.

  Dahlia dan Arjuna setia menanti bicara warga tua itu.

  "Yang seekor itu hilang tanpa dapat aku kesan."
_______________________•••____________________

Dewi mengerling memandang Ratna yang berjalan di sisi Dahlia sambil berpegangan tangan antara dua gadis itu. Pandangannya terlihat curiga namun Dewi tidaklah membenci gadis kecil itu. Cumanya hairan dengan sikap Puteri Seri Dahlia kali ini.

Dusta Puteri PalsuWhere stories live. Discover now