Kisah - 69

246 33 12
                                    

   Merpatika mendengus kasar. Jiwanya dipandu amarah tahap mega ketika ini. Api amarahnya bukan sahaja menggelegak malah meletus bagaikan mahu gila. Matanya menjegil menjeling penduduk yang sedang bertungkus lumus merangkap dirinya.

  Merpati putih itu kini sedang dibungkus oleh penduduk yang bersubahat sama untuk menjatuhkan Tengku puteri. Memandangkan Merpatika berpihak dengan Tengku Puteri, mereka tiada pilihan lain selain memberhentikan gerakan burung merpati gergasi itu.

  Tali tarung setebal kira-kira 20 inci lebarnya dan seberat hampir 6kg digunakan dengan banyaknya untuk ditimpakan atas Merpatika yang sedang nyenyak tidur di padang luas petang tadi. Setiap hujung tali diberatkan dengan batu-bata yang menyebabkan Merpatika langsung tidak dapat berganjak dari tempatnya.

  Hanya dengusan kasarnya yang mampu mengusir beberapa penduduk itu untuk seketika waktu. Jelas, ada sesuatu telah berlaku namun Merpatika tidak dapat simpulkan apa kekecohan yang telah berlaku. Firasatnya hanya boleh menyimpulkan bahawasanya Dahlia dalam bahaya. Mustahil mereka berkelakuan sebegini terhadapnya melainkan ada sesuatu yang berlaku pada Dahlia.

  Orang ramai masih menarik-narik tali yang menimpa Merpatika. Berbirat seluruh tubuh merpati putih itu diseksa sedemikian rupa. Amarahnya menggunung bagaikan naga gergasi. Mujur sahaja Merpatika tiada kelebihan menghembus api bak naga Tasik Chini. Jikalau tidak, habis semua penduduk di situ disapunya.

  Merpatika mengerahkan seluruh tenaganya untuk bangkit seraya membebaskan dirinya dari cengkaman tali seberat dosa anak-anak Adam itu. Namun hampa, usahanya gagal. Talinya bukan hanya satu, malah hampir lima. Sungguh siapalah pencetus idea ini, bijaknya bukan kepalang.

  Merpatika masih terbaring menyembah bumi. Mindanya ligat memikirkan jalan keluar. Bukan dirinya yang dirisaukan ketika ini, namun Dahlia. Niatnya ke mari hanyalah untuk menjaga gadis itu namun apakan daya kudratnya tidak mampu melawan segala tentangan ini. Siapa sangka, penduduk kampung biasa ini punyai niat jahat dan terkutuk?
_______________________•••____________________

  "Tok Penghulu!" Iskandar berteriak semahunya. Jiwanya benar-benar dipandu amarah yang bakal membunuh.

  "Sudah terang lagi bersuluh, ini bukan penyakit berjangkit! Semuanya disebabkan oleh daging itu, lantas atas alasan apa Tok Penghulu berkeras untuk sekat jalan keluar dan masuk ke kampung ini?!" Laungan Iskandar hampir mengejutkan semua pihak. Tok Aziz sendiri terkejut dengan tengkingan Iskandar kepada Tok Penghulu yang jauh lebih berumur darinya.

  "Bertenang saudara Iskandar." Tok Aziz cuba menenangkan keadaan. "Setelah aku selidik punca penyakit ini terlebih dahulu barulah akan aku putuskan sama ada selamat atau tidak untuk interaksi antara yang sihat dengan yang sakit." Jelas Tok Aziz. Suaranya mendatar bernada tenang menyerlahkan ketinggian ilmunya.

  Iskandar menarik nafas dalam. Dia menoleh memandang ke arah lain. Lengannya disinsing. Tanjaknya diangkat, rambutnya ditolak ke belakang. Bahang. Panas dengan bahang api amarahnya. Bengang sungguh untuk memandang Tok Penghulu itu. Bukan niatnya untuk biadab namun nyawa Ratna yang kini menjadi taruhan, mana tidak dia bising.

  Kudrat Tok Aziz seorang tidak mencukupi untuk merawat dan memikirkan langkah seterusnya untuk penyakit yang tiba-tiba muncul ini. Bantuan daripada luar tetap diperlukan.

  "Astaghfirullahalazim. Astaghfirullahalazim." Iskandar membasahkan bibirnya dengan istighfar, cuba menenangkan hati yang penuh gundah gulana. Kepalanya diurut sejenak. Dadanya turun naik menahan geram.
_______________________•••____________________

  Hari semakin menuju senjanya. Sang Mentari mula berlabuh tirai memberi ruang Sang Candra menjadi mentol langit, menyinari gelap malam. Jumantara alam kini berwarna jingga keemasan. Terdapat alur- alur berwarna merah jambu yang turut menjadi penambah seri dada langit senja itu.

Dusta Puteri PalsuWhere stories live. Discover now