BAB 06

146 17 3
                                    

Beg kertas dihulur kepada Ali. Disebabkan semalam dia terlupa nak beri hadiah kepada Ali, sudahnya bagi hari ini sajalah.

Eshal masih beriak tenang seolah-olah tiada apa-apa yang berlaku. Dia bukannya cinta mati kepada Ali pun sehinggakan dia perlu meroyan sangat. Terima sajalah hakikat bahawa Ali dah kahwin.

"Ni hadiah kahwin untuk isteri Ali. Untuk Ali tak ada." Ujar Eshal.

"Eshal gurau je. Nanti buat anak lelaki banyak-banyak. Eshal nak ngorat walaupun Eshal dah jadi nenek." Kata Eshal lagi lalu dia hambur tawa.

Ali turut ketawa. Faham dia dengan perangai tak betul Eshal.

Seminat-minat manapun Eshal dekat seseorang, dia takkan jaga perangainya. Dia akan tunjuk perangai yang sebenar untuk tahu sama ada orang itu ikhlas menerima diri dia seadanya atau tidak.

"Terima kasih, Eshal." Ucap Ali.

"Tak ada apalah." Kening diangkat dengan bibir yang tersenyum lebar. Kan dia dah cakap, esok-esok dia eloklah. Sekarang dia dah lepaskan Ali. Kejarlah lelaki lain pula!

Eh sekejap! Rasanya dia lupa sesuatu, tapi apa dia erk?

"Eshal balik dulu, nak kemas barang." Ujar Eshal. Mendapat anggukan daripada Ali, Eshal terus beredar.

Masuk sahaja ke dalam rumah, bakul berisi pakaian yang baru dikutip dari jemuran diambil dan diletakkan di ruang tamu. Tudung yang tersarung di kepala dibuka lalu disangkut.

"Eshal, beg kertas atas meja ni untuk siapa?" tanya Haqif. Dilihat sekilas isi di dalamnya. Dapat dia agak barangan itu untuk seorang perempuan.

"Untuk kawan."

"Kawan yang mana?" Haqif bercekak pinggang seraya helakan nafas. Penat dia dongak untuk baiki lampu.

"Adalah. Kawan baru."

"Jangan cakap Eshal berkawan dengan mak cik goreng pisang tu pula." Dahi dikerutkan.

Eshal ni habis orang sebaya Puan Hashifa diajak berkawan. Bukannya nak cari yang sebaya.

Mak cik dekat mini market, jiran sebelah, jiran depan, auntie yang tanam epal tak hidup-hidup tak jauh dari rumah Nek Wati pun dia ajak sembang macam kawan sebaya. Kalau balik kampung, memang akan ada hari dia lepak dengan mereka waktu petang.

"Apa salahnya? Eshal berkawan dengan mak cik tu, Eshal dapat air kelapa percuma. Kita kena pandai buat kawan."

Haqif tepuk dahi. Adeh! Anak saudara siapa ni?

Dia bukan nak larang Eshal berkawan dengan mak cik-mak cik, tapi risau pula cara Eshal akan layan mereka. Eshal dahlah selamba sahaja orangnya. Buatnya mak cik tu sensitif, tak pasal-pasal Eshal jadi topik kupas bawang nanti. Hangat sekampung!

"Suka hati Eshal laa. Baju dah pergi ambil?" Soalan Haqif mengundang kerutan di dahi Eshal.

"Baju apa pula?"

"Baju yang Eshal nak pakai nanti nak tunanglah."

"Eh! Eshal lupa yang Eshal nak bertunang. Haa! Pak su cakap nak tunjuk rupa bakal suami Eshal. Dia ada dekat sini ke? Siapa dia?" Daripada duduk bersimpuh, Eshal menukar posisi kepada bersila. Matanya tertala ke arah Haqif yang tiba-tiba sengih.

"Dia nak bertunang, tapi dia boleh lupa pula. Bakal suami Eshal cakap, dia nak Eshal cari dia sendiri. Itulah Eshal... tak bincang elok-elok dah jawab nak. Kan mendapat!"

Eshal mencebik. Dia terlalu teruja dengar cucu Mak Idah hantar lamaran. Tak tahu pula Mak Idah ada cucu lelaki dewasa lain selain daripada Ali. Sebelum ni dia pergi beraya pun, nampak batang hidung Ali dan cucu lelaki Mak Idah yang masih kanak-kanak sahaja.

SEHINGGA CINTA + BIDADARI HAQIF LUTHFIWhere stories live. Discover now