BAB 44

81 12 4
                                    

Lampu suluh disimpan di atas meja. Langkahan Haqif terhenti saat melihat  Nek Wati berjalan mundar-mandir di hadapan pintu bilik. Entah apa yang mengganggu emaknya itu. Masuk-masuk sahaja ke dalam rumah, kelihatan kusut.

“Mak. Buat apa tu?” Tegur Haqif.

Nek Wati tidak membalas dulu, malah berjalan menghampiri Haqif. Telefonnya diserah.

“Telefon Eshal.”

“Telefon nak buat apa?”

“Mak ingat 3 hari lepas dia cakap nak telefon mak. Sampai sekarang dia tak telefon mak. Mak risaulah. Takut benda buruk jadi dekat dia,” jelas Nek Wati. Dalam kepalanya tidak henti membuat  andaian negatif. Bagaimana kalau Eshal ditimpa kemalangan seperti beberapa bulan yang lalu? Memikirkan saja dah buat dia berasa takut.

“Mak, Eshal dah balik. Eshal ada dekat rumah Mak Idah. Sekejap lagi dia balik ke rumah ni semula.”

“Hah? Bila dia balik? Kenapa mak tak tahu pun?”

“Dia balik pagi tadi mak. Kan mak dah jumpa dia.”

Nek Wati terdiam. Tak ada dalam kotak memorinya gambaran Eshal datang berjumpa dia pagi tadi.

“Mak lupa.” Hambar raut wajah Nek Wati.

Haqif bergerak merapat. Tubuh Nek Wati dipeluk, kemudian belakang badan emaknya digosok perlahan.

“Jangan bagitahu Eshal yang mak lupa.”

“Em.” Haqif angguk.

“Dah, pergilah masuk tidur. Mesti Wardah tunggu Haqif.”

“Tunggu dulu mak. Ikut Haqif.” Tangan Nek Wati dipimpin ke arah ruang tamu. Dibiar Nek Wati duduk, kemudian dia turut duduk. Seketika mereka kalih pandangan apabila Wardah keluar dari bilik.

“Mok ngantuk doh ke?” Soal Wardah.

“Em.” Nek Wati angguk.

“Tunggu sekejap deh. Eshal nok sapa doh tu.”

“Nak buat apa? Eshal nak balik KL ke?”

“Doklah. Tu....” Wardah beri isyarat ke arah pintu.

Eshal tersengih-sengih sambil membawa kek. Kaki melangkah masuk ke dalam, menghampiri Nek Wati yang sudah pamer raut wajah terpinga-pinga.

“Makan kek malam-malam buta macam ni?” Nek Wati kerutkan dahi.

“Bukan selalu nek. Hari inikan hari lahir nenek. Selamat hari lahir yang ke 73 tahun nek,” ucap Eshal.

“Nenek pun dah tak ingat umur nenek. Apatah lagi tarikh lahir.”

“Nenek tak ingat, cucu-cucu nenek semua ingat. Kan?” Kata Eshal.

“Betul nek!” Sahut Rayyen, Hafizul dan Afiq.

Tadi sempatlah Hafizul datang bersama Puan Leya kerana ajakan Eshal semalam. Semua orang berkumpul, lebih meriah. Sayangnya Puan Kisara sekeluarga tak berpeluang untuk turut serta.

SEHINGGA CINTA + BIDADARI HAQIF LUTHFIWhere stories live. Discover now