BAB 19

129 24 7
                                    

Deretan baju-baju baharu dilihat. Sesekali tangan naik menyentuh. Alhamdulillah, syukur perniagaan butiknya mula berkembang.

Jari jemari berhenti pada sepasang pakaian putih. Bibir spontan menguntum senyuman nipis. Dia masih ingat, Wardah cakap Wardah suka pakai pakaian putih. Nampak suci dan bersih.

“Aulia, simpan pakaian ni. Saya nak hadiahkan dekat seorang kawan.”

“Baik bos.”

Pusing sahaja tubuh, Eshal dikejutkan dengan kehadiran Naila dan Maisara. Kembar ni buat apa pula dekat butik dia? Tak ada angin, tak ada ribut jejak kaki dekat sini.

“Kau buat apa dekat sini?” soal Eshal seraya tangan naik berpeluk tubuh.

“Saja datang nak tengok butik orang menyedihkan. Abah sendiri tak bela anak depan lawan.” Maisara mendecit.

“Kalau kau datang nak cari pasal semata-mata, baik kau balik sekarang sebelum penumbuk aku melayan dekat muka kau.”

Naila gerakkan bibir, mengajuk kata-kata Eshal. Ada dia peduli! Langkah diatur ke dalam tanpa menghiraukan perdebatan antara Maisara dan Eshal. Malas dia nak masuk campur.

Maisara guling bola mata. Bahu Eshal dilanggar kuat lalu dia berjalan ke dalam. Kalau bukan sebab Puan Kisara ajak jalan-jalan ke sini, memang dia takkan jejak kaki dah.

“Semua baju buruk. Tak ikut trend, kekampungan! Tak ada kelas langsung,” komen Naila.

Eshal ketap gigi. Sabar ajelah. Anggap je Naila tu buta fesyen. Macamlah diri sendiri tak pernah pakai baju kurung kampung. Padahal berasal dari kampung juga. Hanya saja, Puan Kisara berpindah ke Negeri Sembilan ketika si kembar berumur 10 tahun.

Kerusi di tepi kaunter pembayaran diduduk. Mata memerhati si kembar itu. Manalah tahu mereka berbuat khianat pada pakaian di butiknya. Bukan boleh jangka idea jahat mereka.

“Eshal.” Puan Kisara lorek senyuman manis.

“Mak ngah.” Eshal menyalam tangan Puan Kisara. Mungkin Naila dan Maisara tak baik kepadanya, tapi Puan Kisara seorang yang baik. Dia juga harus berkelakuan baik kepada wanita itu.

“Cantik butik. Dah berjaya anak saudara mak ngah,” ujar Puan Kisara.

Maisara di suatu sudut, buat muka. Menyampah dengan Eshal. Tambah menyampah apabila dia dengar sepupunya itu dipuji.

“Alhamdulillah mak ngah. Jemputlah tengok-tengok pakaian yang ada. Mana tahu ada yang tarik perhatian mak ngah.”

Puan Kisara mengangguk. Kaki melangkah masuk ke dalam.

“Datang juga kau.” Eshal memandang Afiq di pintu masuk butik. Ingatkan lelaki itu tak datang sekali sebab dah duduk dengan Nek Wati dekat kampung.

“Aku tengah kemas barang dekat rumah. Kebetulan ibu aku cakap dia nak datang sini. Aku ikutlah.”

“Dah datang, tak nak beli baju sekali?”

“Aku tak ada duit.“

Eshal mendecit. Tak ada duit konon! Bila bab-bab game, laju habiskan duit walaupun mencecah angka ribu.

“Kau nak tahu tak?”

“Apa?” Eshal pandang Afiq. Ada angin pula lelaki ni nak ajak dia membawang.

“Tempoh hari nenek lupa nenek tengah goreng ikan. Nasib baik pak su balik sebelum benda buruk jadi. Habis berasap satu dapur nenek pakej ikan hangit.”

“Nenek okey tak?”

“Okey. Nenek tidur dekat ruang tamu masa tu.”

Eshal hela nafas perlahan. Lega dia dengar Nek Wati baik-baik sahaja.

SEHINGGA CINTA + BIDADARI HAQIF LUTHFIWhere stories live. Discover now