BAB 14

2.2K 171 33
                                    

Tok tok tok!

Zahra menenyeh perlahan matanya ketika mendengar bunyi ketukan pada pintu bilik Tengku Ahnaf.

Dia menoleh ke sebelah memandang Tengku Ahnaf yang masih lena diulit mimpi. Jam di dinding bilik dikerling sekilas.

Jam menunjukkan pukul empat pagi.

Tok tok tok!

Zahra bangun perlahan-lahan dari katil kerana tidak mahu tidur suaminya terganggu. Cepat-cepat dia berjalan ke arah pintu bilik.

Tangannya memulas tombol pintu dengan berhati-hati. Bibirnya mengukir senyuman lebar saat terpampang wajah si kecil yang sedang memegang botol susunya.

"Nayla," bisik Zahra perlahan seraya melutut di hadapan anak saudara suaminya itu.

"Mama Yong, nak dukung," pinta Nayla sambil menghulurkan tangannya kepada mak cik saudaranya yang baru itu.

Zahra mengikut permintaan si kecil lalu tubuh si kecil itu didukung dengan penuh kasih.

"Mana Pak Yong?" tanya Nayla sambil melentokkan kepalanya pada bahu Zahra.

Bangun saja dari tidur, dia terus meninggalkan bilik Tengku Arifin dan Balqis lalu pergi ke bilik Pak Long kesayangannya kerana malam tadi mereka sempat bermain bersama sebelum Nayla tertidur kepenatan.

"Awalnya Nayla bangun. Pak Long tengah tidur sayang," bisik Zahra sambil mengelus lembut rambut anak kecil itu.

Sudah dua hari mereka berdua berpindah ke rumah Tengku Arifin, dua malam juga mereka melayan Nayla dengan bermain bersama anak kecil itu.

"Mama Yong, jom tidur balik. Nayla sleepy," kata Nayla sambil menepuk-nepuk bahu Zahra. Tangannya ditunjukkan ke arah Tengku Ahnaf yang masih tidur di atas katil.

Zahra membawa Nayla ke katil lalu membaringkan tubuh kecil itu di tengah-tengah antara dia dan Tengku Ahnaf. Zahra turut merebahkan dirinya memandangkan belum masuk waktu subuh lagi.

"Mama Yong, Mama Yong cayang Pak Yong tak?"

Laju kepala Zahra menoleh ke arah Nayla apabila anak kecil itu bertanyakan soalan begitu kepadanya.

Nayla pula memandang Zahra dengan mata bulatnya bersama botol susu di mulutnya, menunggu jawapan wanita itu.

"Sayang. Kalau tak sayang, Mama Long takkan kahwin dengan Pak Long Nayla," bisik Zahra bersama senyuman tipis. Pundak Nayla ditepuk perlahan.

"Pak Yong baikkan?" tanya Nayla lagi. Matanya hampir terlelap namun bibirnya masih aktif mahu berborak dengan Zahra.

"Pak Long Nayla adalah lelaki dan manusia terbaik yang pernah Mama Long jumpa," balas Zahra. Matanya menatap Tengku Ahnaf yang tiba-tiba bergerak mengiringkan tubuhnya menghadap Nayla dan Zahra.

"Shhh."

Nayla meletakkan jari pada bibirnya apabila Pak Long kesayangannya bergerak.

"Jom tidur kejap. Nanti kita bangun ya," kata Zahra sambil membelai tubuh kecil itu.

Nayla mendongak memandang Zahra. Matanya terkebil-kebil menatap wanita itu seperti ada sesuatu yang ingin dikatakan.

"Mama Yong, jangan tinggalkan Pak Yong tau. Nanti Pak Yong sedih macam ayah. Setiap malam sebelum tidur, ayah selalu tengok gambar ibu. Sian ayah,"

Usai berkata, Nayla terus melelapkan matanya. Botol susu yang dipegang terlepas.

Zahra terkedu ketika mendengar luahan hati si kecil itu. Nayla yang kecil begitu sudah memahami apa yang dirasakan oleh ayahnya apatah lagi yang mengalaminya.

HER SAVIOR [Slow Update]Where stories live. Discover now