BAB 44

1.7K 173 18
                                    

"Mummy nak pergi mana?"

Terhenti langkah kaki Datin Aishah yang mahu menuju ke pintu utama itu apabila disapa oleh Humaira. Dia menoleh ke belakang memandang Humaira.

"Ada event. Mummy mungkin balik lambat," jawab Datin Aishah nak tak nak saja.

Humaira menelan perlahan air liurnya. Entah kenapa setiap bait kata Datin Aishah tempoh hari terngiang-ngiang di telinganya.

Dia sanggup tidak masuk kerja ke butik hari ini kerana Datin Aishah juga tidak ke butik. Hatinya merasakan ada sesuatu yang tidak kena. Mujur saja ada staff yang boleh dipercayai untuk menjaga butik semasa ketiadaan mereka.

"Nak ikut!" pinta Humaira, sengaja mahu menguji dan melihat reaksi Datin Aishah dengan permintaan mengejutnya itu.

"Lain kali boleh? Mummy rushing ni. Nak tunggu maira bersiap lagi. Lain kali ya sayang. Mummy pergi dulu."

Tanpa menunggu balasan jawapan dari Humaira, Datin Aishah terus berpaling melangkah keluar dari rumah.

Melihatkan langkah kaki Datin Aishah yang terburu-buru itu, Humaira terus melompat dari sofa. Baju jaket dan topi yang disembunyikan di bawah kakinya tadi dicapai lalu disarungkan pada tubuh dan kepalanya.

Apabila dia mendengar bunyi kereta Datin Aishah bergerak keluar dari halaman rumah, dia terus bergegas keluar mahu mengikut Datin Aishah dari belakang.

Teksi yang ditempah awal pagi tadi telah terpacak di bawah pokok tidak jauh dari rumah mereka. Itu semua atas arahan dia sendiri kerana dia tidak mahu membawa keretanya sendiri bimbang dapat dikesan oleh Datin Aishah.

"Pak cik, tolong ikut kereta hitam yang baru keluar dari rumah saya tadi ya," pinta Humaira apabila dia memboloskan diri ke dalam teksi tersebut.

Helaan nafas kecil dilepaskan. Rasa curiga dia kepada Datin Aishah semakin menebal apabila sejak kebelakangan ini wanita itu sibuk membuat halnya sendiri.

Sebab itu, hari ini dia membuat keputusan untuk mengekori Datin Aishah.

"Semoga ada hasil," bisik Humaira perlahan.

"Hotel?" desis Humaira apabila kereta yang dinaiki masuk membelok masuk ke kawasan hotel.

Dia juga nampak dengan jelas kereta Datin Aishah yang elok terparkir di kotak parkir.

Cepat-cepat dia menyerahkan duit tambang kepada pemandu teksi tersebut lalu bergegas keluar. Dia tidak mahu kehilangan jejak mummynya.

Situasi seakan menyebelahi dia apabila hotel tersebut kebetulan ada program dimana begitu ramai sekali orang di situ. Jadi, dia tidak akan terlalu kelihatan oleh Datin Aishah.

Disebabkan ketinggian dia yang agak comel itu, kepalanya terjengah-jengah cuba mencari Datin Aishah yang berjalan laju itu.

Matanya memincing apabila melihat Datin Aishah bertemu dengan seorang lelaki yang tidak dikenali di kafe yang ada di hotel yang mereka kunjungi. Dia berjalan laju mahu bersembunyi di dinding berdekatan dengan meja Datin Aishah.

Telinganya ditekapkan pada dinding kerana mahu mendengar dengan lebih jelas.

Kedengaran suara Datin Aishah melontarkan pertanyaan kepada lelaki tersebut.

"Dah buat apa yang aku suruh?"

"Sayang, untuk you mestilah i dah buat."

Bibir Humaira mengherot ke tepi apabila mendengar panggilan sayang dari bibir lelaki itu.

"Sayang? Dengan mummy? Aik?" gumam Humaira perlahan. Topinya diturunkan lagi untuk menutupi wajahnya.

"Bagus. Pastikan kali ini apa yang kau buat tu berjaya. Aku tak nak dengar dia hidup lagi. Make sure dia mati dalam keadaan mengaibkan dan jangan ada sesiapa pun tahu kalau kau dan budak-budak kau yang buat."

HER SAVIOR [Slow Update]Where stories live. Discover now