BAB 48

2.3K 213 33
                                    

Humaira menggenggam erat tangannya yang sedikit menggigil. Setiap kali dia teringat darah Zahra yang mengalir di bilik air, air matanya pasti akan bertakung dek kerana rasa bersalah di dalam hati.

Balqis yang duduk di samping Humaira itu menoleh memandang wanita muda itu. Perlahan keluhan kecil dilepaskan. Rasa bersalah pula kerana sudah menuduh wanita itu yang bukan-bukan tadi.

Dia terus mencapai tangan Humaira lalu dielus lembut. Dapat dia rasakan tangan Humaira sedikit sejuk dan menggigil.

"Maafkan aunty sebab tuduh Humaira yang bukan-bukan," luah Balqis dengan nada kesal.

Saat ini mereka berdua sedang duduk di luar wad kecemasan menunggu Zahra yang sedang berjuang di dalam sementara Tengku Arifin dan Eariq pergi sebentar untuk menguruskan dua lelaki yang masih berada di rumah mereka.

Humaira menggeleng perlahan bersama senyuman pahit. Dia faham. Jika dia berada di tempat Balqis pun, dia pasti akan salah faham juga kerana peristiwa sebelum ini.

"Saya faham aunty tapi maafkan saya aunty..."

Humaira menunduk memandang tangan mereka yang saling bertaut itu. Mata terkebil-kebil menahan air mata dari tumpah untuk kesekian kalinya.

"Saya gagal selamatkan Zahra dari..."

Balqis terus memeluk tubuh Humaira lalu menggosok lembut belakang tubuh wanita itu.

"Jangan salahkan diri Humaira. Semua yang terjadi bukan salah Humaira," kata Balqis dengan nada sebak.

Pintu wad kecemasan yang masih tertutup rapat itu dipandang lama. Tidak semena-mena air mata Balqis juga turut tumpah sama. Dia takut untuk mendengar perkara yang tidak diingini dari pihak hospital.

Cukuplah sekali dia merasai kehilangan anak perempuan yang dia pernah ada bersama Tengku Arifin.

"Kita doakan yang terbaik untuk Zahra. Semoga Allah beri kesembuhan untuk dia," tutur Balqis dengan lemah. Tubuh disandarkan pada kerusi.

"Sayang."

Balqis dan Humaira serentak menoleh ke arah suara itu. Balqis bingkas bangun mendekati Tengku Arifin yang berjalan seiring dengan Eariq.

"Zahra macam mana?"

Balqis menggeleng perlahan.

"Masih tak ada khabar apa-apa hubby," jawab Balqis dengan suara yang lemah. Bahunya dipaut lembut dengan Tengku Arifin.

"Insha-Allah Zahra anak kita tu kuat," bisik Tengku Arifin. Tidak mahu Balqis berfikir yang bukan-bukan walaupun dia sudah dapat agak keputusan keadaan Zahra nanti berdasarkan apa yang dia lihat di rumah tadi.

"Macam mana? Diaorang mengaku ke diaorang orang suruhan Aishah?" kata Balqis dengan nada dingin.

Mujur saja hospital dan balai polis dekat dengan rumah mereka. Jadi, senang untuk mereka berulang-alik menguruskan perkara yang telah terjadi ini.

"Tak aunty. Dua-dua mulut macam dah kena gam walaupun pihak polis dah tanya macam-macam," jelas Eariq. Sempat wajah Humaira yang sugul itu dikerling sekilas.

Usai menghantar Zahra ke hospital, Tengku Arifin dan Eariq bergegas patah balik semula ke rumah lalu membawa dua penjahat yang sudah mencederakan Zahra ke balai polis sebaik saja Humaira ceritakan perihal sebenar kepada Balqis dan Tengku Arifin.

"Dan kita tak ada bukti kalau mummy lah punca di sebalik semua ni," gumam Humaira.

Dia agak terkejut dengan kebenaran yang baru saja dia tahu sebentar tadi. Ternyata Zahra merupakan anak kepada Datin Aishah selama ini.

HER SAVIOR [Slow Update]Where stories live. Discover now