Bab 1

18.4K 866 55
                                    

Pantai Kelambu, Kudat

Langit malam ini sangat suram. Awan tebal melindungi cahaya rembulan. Pantai pasir putih saujana mata memandang itu kosong. Sama seperti aku. Dingin bayu malam sedikitpun tidak mampu membuat aku kembali masuk ke dalam bilik resort yang disewa seluruh kawasannya hanya untuk aku seorang.

"Bonda dah daftarkan Embun masuk ke sekolah perubatan di Glasgow. Embun akan tinggal di apartmen lima minit daripada sekolah tu. Bonda dah gajikan dua pembantu rumah untuk Embun. Bonda akan hantar kereta Embun seminggu sebelum Embun bertolak ke sana. Any objection?" Aku teringat balik kata-kata bonda di meja makan tadi. Suara bonda lebih dingin daripada angin malam ini.

Mana mampu untuk aku membangkang apa sahaja yang bonda aturkan. Abang sulung aku merangkap bakal pengarah hospital seorang pakar neurologi. Aku anak kedua juga yang bongsu sudah diletak tanda pakar kardiologi di dahi. Jarak umur kami terlalu jauh. Aku anak yang tidak dirancang. Mungkin sebab itu Bonda dan Ayah dingin terhadap aku dan selalu mengutamakan abang. Dia lelaki sulung pewaris utama Kumpulan Nadir. Bonda dahulunya seorang pakar bedah am tetapi kini dia sudah tidak lagi menjejakkan kaki di dewan bedah. Dia membantu Ayah di bahagian pentadbiran hospital di bawah naungan Kumpulan Nadir. Satu syarikat perubatan swasta yang dibangunkan oleh datuk aku.

Aku ke Kudat daripada semenanjung semata-mata untuk mendengar arahan aturan hidup aku yang seterusnya. Bonda terlalu sibuk dengan urusan cawangan baharu hospital sehingga anaknya sendiri perlu menyelit di antara jadual padatnya.

"Kalau Embun belajar dekat Glasgow, Bonda akan bangga dengan Embun ke?" Soalan bodoh yang aku tanya dengan nada perlahan sewaktu di meja makan itu kembali menerpa.

"Iya." Sepatah sahaja jawapan Bonda. Langsung tidak memandang aku apatah lagi menggaris senyuman.

Tanpa aku sedari, kaki aku sudah mencecah gigi air.

Kata orang, mati lemas antara cara kematian yang paling sakit. Tapi kalau aku boleh pilih cara kematian aku sendiri, aku mahu tenggelam dalam air yang akan mendakap seluruh tubuh aku. Aku mahu tidur dengan lena di dasar lautan yang dalam, dingin dan gelap. Tiada bezanya dengan kehidupan aku sekarang. Apa guna hidup sekadar bernafas? Apa guna masih celik untuk sehari lagi kalau aku sendiri tak tahu fungsi aku atas muka bumi ini?

Air laut sudah mencecah paras lutut.

Teruskan menapak. Tempat lena kau malam ini yang abadi hanya beberapa langkah lagi.

"Cik Embun!" Kedengaran dari jauh sayup-sayup suara seseorang memanggil nama aku.

Biarlah apa mereka peduli? Kalau tidak kerana nama Andika Nadir di hujung nama aku, pasti tiada siapapun yang perduli tentang hidup mati aku.

Satu lagi langkah aku ambil.

"Cik Embun!" Suara itu semakin dekat.

"Cik Embun!" Dia semakin hampir.

Langkah aku lajukan. Pantai ini landai agak jauh untuk aku tenggelam ke keabadian.

"Embun Anggerik! Kau dah gila ke apa?!" Kali ini suara yang memanggil aku sudah membuang segala protokol.

Badan aku disauk kasar. Dia menarik aku untuk kembali ke pantai.

"Lepaskan aku! Lepaskan aku biar aku mati je! Apa kau kisah? Tak ada siapapun akan sedih kalau aku pergi." Aku meronta-ronta untuk melepaskan diri daripada pegangannya.

Dia ni dah gila ke apa? Berani dia sentuh aku?!

Dadanya kutumbuk kuat. Kaki dan tanganku meronta kuat sehingga kami berdua terjatuh dan basah. Aku terus menangis teresak-esak entah kenapa. Segala beban yang menghempap dada, segala rasa sesak yang kupendam lama semuanya aku luahkan dalam tangisan itu.

Embun AnggerikWhere stories live. Discover now