Bab 47

5.9K 692 58
                                    

Aku ditolak perlahan-lahan ke dewan pembedahan. Dalam keadaan berbaring ini, cahaya yang masuk ke dalam mata aku semuanya menyilaukan.

"Ayah, halalkan makan minum pakai dan setiap hasil titik peluh Ayah yang Embun guna tanpa terima kasih sepanjang Embun hidup ni. Embun sayang Ayah." Tangan Ayah kucium.

"Ayah tak ada hak atas Embun. Ayah sayang Embun. Nanti, Embun tunjuklah kampung Luss yang Embun selalu cerita tu dekat Ayah dan Bonda. Kamipun teringin nak tengok sendiri." Ayah mencium dahi aku.

"Bonda... Maafkan Embun yang tak pernah cuba faham Bonda. Embun sayang Bonda." Tangan Bonda kucium.

"Bonda yang tak pernah faham Embun. Bonda yang terlalu berkeras. Demi Allah, Bonda sayang Embun. Embun dah tak perlu buat apa-apa dah. Cukup Embun ada dengan kami. Bonda sayang Embun." Dahi aku dikucup oleh Bonda.

Bila tiba giliran Alam yang terakhir. Sepatah katapun tidak keluar daripada bibir kami. Aku memandangnya dan dia membalas pandangan aku.

Hari ini, enam tahun lepas. Aku menjadi isterinya yang sah. Aku tak ada segala kemewahan di dunia untuk mengubah tarikh pembedahan ini disebabkan oleh kekangan doktor. Aku dapat jalani pembedahan inipun masih dikira satu rahmat.

"Another Oreo McFlurry date after this?" Aku menguntum senyuman kepada suami tercinta.

Enam tahun bersamanya, indah.

"Drive thru or dine in?" Alam sedaya upaya menahan air matanya daripada tumpah.

"Dine in. Nak tengok sumpahan McFlurry tu dah habis ke belum." Aku ketawa kecil.

Alam juga ketawa bersamaku kemudian dia mengangguk.

Lama dia mengucup dahi aku.

"Lillahi, Alam sayang sayangku Embun Anggerik." Dia berbisik.

"Embun sayang Alam." Aku membalas bisikannya.

Katil ditolak ke dalam dewan bedah.
Dulu, saat aku paling mahu mati ditelan dingin lautan aku sangkakan tak ada jiwa yang akan meratapi aku. Tak ada sebab untuk aku hidup lagi.

Hari ini, walaupun kata doktor risikonya rendah tapi masih wujud kebarangkalian untuk aku pergi meninggalkan dunia ini.

"You just wanna know how does it feels to be alive."

Kata-kata Alam saat dia menyelamatkan aku dahulu masih lagi terpahat dalam jiwa aku.

Enam tahun bersamanya membantu aku bernafas semula. Aku sudah rasa manisnya hidup yang tak bertembok ego dan insecurity aku sendiri.

Penangan ubat pelali perlahan-lahan terasa. Mata aku menjadi kuyu.

Bismillahirrahmanirrahim...
Wahai Allah pemilik roh dan jasad ini, andai belum lagi selesai tugas hambaMu ini di atas muka bumi, kau berilah kesempatan kepada aku untuk melunaskan tujuan hidupku. Andai di sini titik akhir kisah hidupku, jagalah mereka yang aku tinggalkan. Lindungilah mereka dalam lembayung rahman dan rahimMu.

Lampu dewan bedah menyala tanda pembedahan sedang berjalan.

"Alam pergilah naik bilik Embun rehat dulu. Hari ni Alam off day kan?" Bonda menyuruh Alam berehat dahulu.

"Tak apalah, Alam nak tunggu Embun." Alam tetap berdiam di situ.

"Alam tetap bersama Embun. Pergilah naik. Embun ada tinggalkan sesuatu untuk Alam." Ayah juga memujuk.

"Nanti pas dikemes, baunya Cik Puan ilang. Tuan naik aja sana." Neng Wati juga sudah ikut mengarah.

Dengan berat Alam melangkah ke bilik wad Embun. Tatkala pintu dibuka, bilik itu berhias indah dengan bunga-bunga segar. Belon-belon huruf emas yang membentuk perkataan Happy 6th Anniversary tertampal pada dinding wad. Di atas katil Embun ada sebuah kotak biru gelap dibalut dengan reben perak yng menindih sebuah bag kanvas bersaiz A3.

Embun AnggerikWhere stories live. Discover now