Bab 37

5.4K 605 37
                                    

Semakin hari, kes jangkitan NekoV-6 semakin meningkat sehingga perintah kawalan pergerakan dikeluarkan oleh kerajaan. Kesannya, semua sekolah dan premis yang tidak berkaitan dengan keperluan asas ditutup. Makin banyak kluster dan sub kluster yang muncul terutama bagi kes import. Hampir semua kes asal di negara ini melibatkan mereka yang kembali daripada luar negara. 

Perintah kawalan pergerakan diadakan untuk mengurangkan kes jangkitan dengan kontak rapat yang membawa virus dan juga kes sporadik. Kes sporadik bermakna pesakit tidak mempunya kontak rapat dengan pembawa virus dan tidak pernah ke luar negara. 

Topeng muka naik harga melambung, tiba-tiba semua orang jual cecair pembasmi kuman itu tak termasuk yang merembat hand sanitizer hospital. Mangkuk hayun betul. Berita-berita palsu tak payah nak cerita, macam-macam petua, teori palatao, penunggang agama semua muncul sekali.

Sumber PPE menjadi sangat terhad sehingga ada hospital yang menggunakan alternatif plastik sampah dek kerana kekurangan pakaian perlindungan. 

Tapi, itu semua tak separah menipu kontak dengan pesakit positif. Klinik taman perumahan dekat dengan hospital ni tak memasal perlu ditutup. Doktor, staf dan pesakit yang datang ke klinik hari itu semua terpaksa dikuarantin. Puncanya, ada pesakit datang dengan simptom tetapi menipu doktor katanya memang tidak berjumpa sesiapa. Dia datang tanpa topeng muka dengan keadaan terbatuk-batuk.  Bila keadaannya makin teruk dua hari kemudian barulah dia membuat ujian di Hospital Nadir. Sah positif. Dia berjumpa ibu saudaranya yang baru pulang daripada Eropah yang telah disahkan positif lebih awal. Dia datang ke klinik dalam keadaan dia mengetahui yang dia ada berhubung dengan pesakit positif. Sekarang ini, doktor, isteri dan anaknya yang baru sahaja berusia dua tahun disahkan positif. Sudahlah anak itu memang menghidap sickle cell anemia. Sekarang anak kecil itu berada di ICU. 

Aku tak sempat nak melawat Bonda. Dengan Ayahpun aku tak bercakap lagi. Tak sempat. Sedangkan dengan Alampun semuanya hal kerja. Apa yang aku tahu, Bonda sudah keluar daripada wad. Ayah pula masih dalam rawatan tetapi sudah semakin sembuh.

Alhamdulillah, anak-anak wad pelangi sudah selamat discaj beberapa hari lepas setelah semua disahkan negatif. Sekarang mereka hanya perlu menjalani kuarantin.

Aku, Alam dan Joshua sudah ditukarkan daripada menjaga wad ke tugas luar bersama dengan bank darah hospital. Bekalan darah semakin berkurangan disebabkan oleh keperluan darah yang bertambah tetapi penderma kurang kerana tidak boleh keluar menderma. Cadangan untuk memberi pas derma darah kepada mereka yang keluar menderma ditolak mentah kerana akan ada orang yang mengambil kesempatan. Risikonya juga tinggi. 

Bekalan darah bukan semata-mata untuk kes NekoV-6 sahaja kerana manusia tetap mengalami sakit lain. Kes trauma kemalangan, pembedahan-pembedahan, kelahiran bayi dan macam-macam lagi memerlukan bekalan darah. Jadi kami bertiga yang masih muda dan segar ini dipertanggungjawabkan untuk mencari cara mendapatkan bekalan darah segera dengan bantuan bank darah. Kalau kami duduk di wadpun macam melambatkan kerja orang kerana kami masih dalam status doktor pelatih. Memang rezeki kami menjaga anak-anak wad pelangi sahaja itupun dengan tunjuk ajar staf senior.

Memang lega dapat keluar daripada PPE tapi kami rasa kasihan pada pegawai senior yang sudah agak berusia. Belum lagi kepada mereka yang mempunyai anak kecil di rumah. Ada yang sudah siap menghantar anak dalam jagaan orang lain.

Aku membuka kumplan telegram tidak rasmi hospital sementara menunggu pegawai bahagian derma darah tiba. Dalam keadaan ini, rupanya ramai lagi yang pemurah. Ada NGO yang memberi bekalan makanan, projek membuat PPE oleh ibu tunggal dan juga penyumbang-penyumbang peralatan.

"Alam, ni bukan pakcik McD tercekik tu ke?" Aku menunjukkan gambar penyumbang pendingin hawa yang baru sahaja datang pagi tadi.

"Ye la, memang dia." Alam mengesahkan.

Embun AnggerikWhere stories live. Discover now