Bab 3

7.9K 800 81
                                    

Mana sama novel dengan realiti. Dalam novel aku baca, pengantin boleh siap bertukar lagi pada hari akad nikah ataupun kena kahwin paksa. Leceh juga proses nak kahwin ni. Kena pergi kursus pra perkahwinan, isi borang itu ini. Bukan boleh main tangkap kahwin kecuali la kes tangkap basah. Lecehlah bagi aku yang tak ada perasaan nak kahwin. Orang lain bahagia berbunga-bunga. Bila tengok orang bahagia dengan pasangan masing-masing ni aku jadi terfikir, Tuhan tak masukkan cinta atau kebahagiaan ke dalam kamus hidup aku?

"Em... Cik Embun, kita dah sampai." Alam menarik brek tangan.

Laci kereta kubuka. Ada satu crumple shawl yang memang aku simpan dalam Honda Civic yang diberi kepada aku selepas aku mendapat lesen kereta. Bukan kereta baharupun. Abang aku beri kereta dia.

Hari ini aku sudah siap mengikat sanggul rendah. Crumple shawl itu aku lilit dan selit seperti gaya perempuan arab yang tidak memerlukan pin atau peniti. Aku pastikan tiada anak rambut yang terkeluar.

Aku terasa sedang diperhatikan. Alam Uzayr sedang memandang aku. Mesti dia fikir aku ni hipokrit. Memang betulpun aku hipokrit. Hari ni aku pakai baju kurung biru laut bersulam manik hitam. Entah berapa lama baju ni terperap dalam almari, akupun tak tahu. Aku tak mahu jadi tumpuan orang. Aku nak duduk sebagai watak latar belakang yang tiada siapa kisah wujudnya.

"Cik Embun tak penat ke?" Alam bertanya.

Aku jelingkan pandangan ke arahnya. Apa? Tak penat ke jadi hipokrit?

"Cik Embun tak penat ke jadi cantik? Tak pakai tudung cantik. Bila pakai tudung bertambah cantik." Dia tersenyum.

"Shut up, Alam." Aku terus mengambil beg tangan dan keluar daripada kereta.

Laju aku berjalan meninggalkannya. Membahang panas wajahku bila dipuji secara spontan begitu. Jangan runtuh wahai Embun Anggerik!

"Cik Embun, salah jalan tu. Pintu masuk sebelah sini. Sebelah sana tu ke kaunter zakat." Alam Uzayr memanggil aku.

Haish, buat malu je! Cepat-cepat aku berpatah balik.

Kami sama-sama berjalan ke Dewan Al-Farabi. Setelah selesai mendaftar, barulah kami masuk. Tempat duduk antara lelaki dan perempuan dipisahkan. Sebelah kanan untuk lelaki dan sebelah kiri untuk perempuan. Langkah aku laju ke kerusi paling hadapan. Sudah menjadi satu tabiat belajar aku. Dekat mana-manapun, aku akan berada di hadapan. Paling hampir dengan penyampai ilmu.

Peserta diberi modul, roti dan air mineral. Aku belek satu per satu helaian modul yang diberi. Secara ringkasnya tentang tanggungjawab sebagai suami, isteri dan sebagai sebuah keluarga. Ada juga diselit slaid tentang perancangan keluarga dan pendidikan anak-anak.

Alam duduk sebaris dengan aku di bahagian lelaki. Baju-T polonya yang berwarna kuning mustard dipadankan dengan seluar jeans berwarna biru tua itu terlalu menyerlah. Dia sangat bertentangan dengan aku. Aku seboleh-bolehnya mahu menyorok daripada dunia. Dia pula bagaikan mahu menarik perhatian seisi dunia. Dia boleh menolak cadangan mengarut aku untuk berkahwin dengannya tetapi dia berada di sini bersama aku.

Mungkin dia juga sama seperti yang lain. Apa sahaja sanggup dilakukan untuk kesenangan sendiri.

Mesej masuk daripada aplikasi Whatsapp daripada Alam Uzayr.

+ Assalamualaikum Cik Embun, saya dah dapat tangkap orang yang ambil gambar kita. Dia salah seorang pekerja resort yang diupah oleh Dato' Razak. Tapi cik jangan risau, perkara ni dah diselesaikan. Dato' Razak dah tak boleh gunakan lagi gambar tu. Kalau Cik Embun nak batalkan perkahwinan ni pun tak apa. Saya faham.

Aku dah kata tak perlu siasat, kenapa dia bersusah payah nak bersihkan nama aku dengan cara dia? Mesej itu aku biarkan seketika.

Dato' Razak tu dulu kawan baik kepada Ayah tapi sekarang dia salah satu pencabar kedudukan Ayah sebagai pengarah Kumpulan Nadir. Tak sangka dia akan pergi serendah ini. Dahulu dia baik dengan aku. Sekarang aku pula dijadikan modal fitnahnya.

Embun AnggerikWo Geschichten leben. Entdecke jetzt