WILDAN | 64

2.1K 159 19
                                    

   Alisa bersiap-siap di dalam bilik. Blaus berwarna jingga pastel dan seluar krim menjadi pilihan. Selesai, sehelai selendang berwarna senada dililitkan ke kepala.

   Setelah siap bersiap, beg tangan di atas katil diambil lalu dia segera keluar dari bilik. Tangga dituruni sambil menggosok-gosok blaus yang sedikit berkedut.

   Sampai di tingkat bawah, Alisa terus mencari Sarah di dapur. Pagi-pagi memang di situ sajalah tempatnya melepak.

   "Sarah, aku dah nak keluar dah ni." Alisa memaklumkan kepada Sarah yang berada di meja makan.

   "Ha, pergilah. Dah lama Encik Adam sampai," kata Sarah tanpa memandang. Dia sedang fokus menonton drama di telefon.

   "Hah?! Bila dia sampai? Tak ada bagitahu pun," bebel Alisa kalut. Beg tangan yang baru sahaja diletakkan di atas meja makan terus disambar laju. Tidak sempat Sarah berkata apa, terus sahaja dia menonong pergi.

   "Eh..."

   "Kalut sungguh kawan aku ni. Tahulah baru nak bercinta,"omel Sarah seorang diri dengan kepala yang menggeleng perlahan. Bahunya diangkat sebelum drama yang sempat dipause tadi ditonton semula.

   Sebaik sahaja keluar dari rumah, mata Alisa cekap menangkap kereta Adam di hadapan pagar rumah. Betullah apa yang Sarah kata.

   "Assalamualaikum." Alisa memberi salam sebaik sahaja membuka pagar rumah. Adam yang sedang bersandar pada keretanya didekati.

   Adam yang sedang meneliti laporan kerja dalam telefon mengangkat kepala sebaik sahaja ditegur. Satu senyuman nipis diberi sebaik ternampak cik tunang.

   "Waalaikumussalam."

   "Dah lama ke awak sampai?" Alisa menyoal.

   "Tak adalah. Baru je sampai. Masuklah," nafi Adam sebelum membuka pintu kereta. Dia sebenarnya sudah tiba setengah jam yang lalu. Awal dari waktu yang dijanji. Memang itu niatnya, mahu datang awal ke rumah Alisa. Kebetulan lalu lintas memang lancar pagi ini. Tapi Adam tak mahu Alisa rasa bersalah sebab kalau diikutkan masa sebenar perjanjian mereka, Alisa sudah menepati waktu.

   Alisa termangu. Maksudnya Sarah tipulah? Ish!

   "Masuklah. Ke nak suruh saya dukung?" Adam tersenyum mengusik.

   Pantas dibalas dengan jelingan tajam!

   "Jangan nak mengarut," balas Alisa sebelum memasuki perut kereta yang sudah terbuka. Setelah itu, Adam menutupkan pintu sebelum bergerak ke bahagian pemandu.

   "Nak pergi mana dulu ni?" Alisa bertanya. Adam yang fokus memandu dipandang.

   "Awak nak pergi mana dulu? Saya tak kisah," jawab Adam pula. Hari ini mereka merancang untuk membeli barang perkahwinan yang masih banyak belum dibeli sedangkan tarikh perkahwinan hanya tinggal tiga bulan sahaja lagi.

   Alisa senyap berfikir. Mengikut perancangan, mereka perlu mencari barang hantaran, menempah kad undangan dan melihat-lihat hotel tempat majlis nanti. Seperti ibu-ibu yang lain, Puan Mardhiah yang bersungguh mahu mengadakan majlis di hotel. Alisa sebenarnya agak keberatan namun apabila melihat Adam yang tidak kisah, dia hanya bersetuju sahaja. Lagipun mungkin Puan Mardhiah teruja untuk mengadakan majlis perkahwinan satu-satu putera yang dia ada.

   "Kita pergi mall dululah. Rasanya lagi senang kut nak cari barang. Semua ada," cadang Alisa.

   "Alright." Pendek Adam menjawab. Hanya bersetuju dengan pilihan bakal isteri walaupun sebenarnya dia juga memikirkan benda yang sama.

WILDAN ✓Where stories live. Discover now