WILDAN | 65

2.2K 151 23
                                    


┏━━━━━━༻❁༺━━━━━━┓

V: Eternity

┗━━━━━━༻❁༺━━━━━━┛


  Pejam celik, pejam celik, tiga bulan sudah pun berlalu. Terasa begitu cepat masa bergerak meninggalkan manusia.

   Hari akad nikah sudah semakin hampir. Selama hampir tiga bulan ini, pelbagai persiapan dibuat oleh kedua-dua belah keluarga bakal pengantin. Akad nikah akan dibuat di rumah ibu bapa Alisa dengan majlis kecil-kecilan manakala majlis resepsi pula telah diuruskan oleh Puan Mardhiah.

   Sepanjang tiga bulan itu juga, boleh dikira dengan jari berapa kali Alisa dan Adam bertemu. Kedua-duanya sibuk dengan persiapan dan kerja masing-masing. Alisa perlu menguruskan cuti manakala Adam pula perlu berulang alik dari Malaysia ke Australia untuk menguruskan kerja yang perlu disiapkan sebelum melepaskan jawatan di sana.

   Hari terakhir di SAB, para pelatih dan jurulatih mengadakan majlis perpisahan tidak formal yang juga merupakan parti bujang untuk Adam. Kata mereka, kali terakhir Adam bersama mereka sebagai lelaki yang belum berkahwin.

   Kesemua rakan sekerja dan rakan seuniversiti dijemput hadir bagi memeriahkan majlis. Kad undangan juga sudah diedarkan beberapa minggu sebelum tarikh perkahwinan.

   Beberapa hari sahaja lagi sebelum status Alisa akan berubah. Oleh itu, dia mahu memanfaatkan masa yang ada sebelum terikat dengan tanggungjawab yang baru.

   Hari ini, Alisa sengaja mengajak rakan-rakan baiknya ke rumah untuk meluangkan masa bersama-sama.

   "Adik," panggil Puan Faridah dari ruang tamu sebaik ternampak anaknya yang sedang menatang sedulang minuman dari dapur.

   "Ya, ma." Alisa menyahut. Dulang di tangan ditatang dengan berhati-hati agar tidak tertumpah dan mengotori sekitar ruang tamu yang sudah siap dihias untuk majlis akad nikah nanti. Dia sendiri yang memilih tema majlis dan memantau kerja-kerja yang dilakukan dari awal hingga ke akhir. Mahu memastikan semuanya sempurna pada hari bahagianya nanti. Perfecto!

   "Meh sini kejap," arah Puan Faridah. Sekeliling ruang tamu yang sudah seratus peratus berubah itu dipandang dengan perasaan yang tidak mampu diluahkan. Anak bongsunya akan berkahwin dan bakal mengikuti suaminya setelah akad nikah termeterai. Hati ibu mana yang tidak bahagia apabila melihat anaknya bakal mendirikan rumah tangga dengan pasangan pilihan? Namun jujur dikatakan, di sebalik rasa bahagia itu, terselit juga sedikit kesedihan jauh di sudut hati.

   Walaupun sudah terbiasa dengan ketiadaan anaknya di rumah, namun kali ini anaknya akan meninggalkan keluarga mereka. Menjadi tanggungjawab insan bergelar suami, bukan lagi di bawah tanggungjawabnya dan suami.

   "Ya, mama?" Alisa mendekati Puan Faridah yang sedang berdiri. Pastinya sedang membuat double check. Mak dengan anak, sama saja! Perfectionist!

   "Ada apa-apa lagi nak touch up?" Puan Faridah menyoal sambil tangannya membetulkan kedudukan bunga hiasan di dalam pasu yang kelihatan senget.

   "Hmm, rasanya tak ada dah. Adik rasa okaylah setakat ni," putus Alisa. Dia sudah berpuas hati dengan persediaan majlis akad nikahnya ini.

   "Hmm, mama ada tengok-tengok vas tinggi dekat pintu depan tadi. Mama rasa lagi cantik kalau kita letak bunga rose putih dekat situ. Lepas tu lampu stand still ada yang lebih, kan? Letak dekat situ ke? Macam mana?"

   "Adik ikut je," balas Alisa pendek lalu tersengih apabila Puan Faridah memandangnya. Mata Puan Faridah jatuh ke dulang yang masih berada di tangan Alisa.

WILDAN ✓Where stories live. Discover now