𝐁𝐚𝐛 1

163 11 0
                                    

AYUNINA Binti Zubir. Namanya ringkas. Namun jika dia fikirkan kembali, hidupnya tidaklah seringkas mana. Lima tahun lalu, dia sedar di sebuah hospital. Satu habuk pun dia tak ingat. Doktor mengesahkan dia hilang ingatan. Namun, kata doktor lagi, semua ini tak akan kekal lama, dan ingatannya akan kembali mengikut peredaran masa. Lima tahun berlalu, dan dia masih tak ada apa-apa perubahan. Doktor tu tipu dia ke?

Zubir dan Asmah, Ibu dan abahnya. Mereka menceritakan serba ringkas tentang bagaimana kejadian ini boleh terjadi. Pada malam itu, Ayunina dalam perjalanan pulang dari bakeri ke restoran untuk menyambut hari lahirnya yang berusia 30 tahun bersama mereka. Namun, hasrat tidak kesampaian apabila kenderaannya dirempuh oleh sebuah treler. Kemalangannya agak serius. Untuk Ayunina bernafas pada waktu sekarang ni pun adalah satu keajaiban. Dia memanjatkan rasa syukur terhadap Illahi untuk umurnya yang masih panjang.

Ayunina juga cuba memeriksa jikalau dia mempunyai media sosial ataupun sejarah lalu yang dapat membantu dia mengingati sesuatu. Jawapannya hanyalah hampa. Dia seolah-olah tidak wujud pada sebelum ini. Pelik tapi benar. Manusia normal mesti ada sekurang-kurangnya satu media sosial, takkan dia berhubung guna burung merpati pulak.

"Abah." Ayunina berjalan menuju ke arah Zubir yang sedang memberi makan kepada ikan arwana di dalam akuarium.

Sayang sungguh Zubir kepada ikan seekor itu. Sayangnya boleh mengalahkan anak sendiri. Zubir juga memberi nama Leon kepada ikannya. Kenapa? Itu rahsia Zubir dan ikannya. Ayunina pun tak berminat nak tanya lebih-lebih. Jika Zubir buat perangai, Asmah akan mengugut Zubir untuk mengoreng ikan kesayangannya. Zubir pasti tidak berani untuk membuat perkara yang mengundang kemarahan isteri tercinta.

"Ya. Sini Ayu. Tengok ni. Cantik sungguh warna ikan ni dari sini." Terbongkok-bongkok Zubir di hadapan akuarium itu.

"Abah..." nada Ayunina kini ditekankan sedikit dan lebih meleret. Geram dengan Zubir yang seakan-akan tidak mahu memberi perhatian kepada dia. Ayunina mula mempersoalkan, siapa anak abah dia sekarang ni, Leon ke dia? Dengan ikan pun dia boleh bergaduh sekarang.

Kini perhatian Zubir sudah beralih kepada Ayunina. Satu-satunya puteri dan cahaya mata bagi Zubir dan Asmah. "Ya, anak abah nak apa."

Kini mereka berdua berjalan menuju ke sofa yang terletak di tengah-tengah ruang tamu.

"Ayu memang tak ada media sosial ke? Telefon lama Ayu ni tak boleh buka. Ayu tengok dalam laptop pun tak ada. Macam mana Ayu nak ingat kalau macam ni." Ayunina masih menekan-nekan butang telefonnya yang retak seribu itu. Telefon yang bersamanya ketika kemalangan.

Zubir hanya memerhatikan sahaja Ayu yang sudah mula memuncung. Itulah Ayunina. Jika dia tidak dapat apa yang dia mahukan pasti merajuk.

"Kalau Ayu nak tahu, Ayu ni sangat perahsia orangnya. Sebelum ni, Ayu sibuk sangat. Kami ni nak nampak batang hidung Ayu pun susah tau. Asyik nak kerja aje. Abah dengan ibu pun tak dapat nak tolong. Bukan kami tak nak tolong Ayu sayang, tapi jawapan untuk semua tu Ayu perlu cari sendiri," kata Zubir dengan lembut sahaja sambil memujuk anaknya.

"Tapi sampai bila abah? Ayu takut kalau­­‑"

"Ayu, jangan takut. Ingat pesan abah, semua yang kita lakukan mesti dilakukan dengan berhati-hati. Keputusan yang diambil dalam keadaan tergopoh-gopoh hanya akan membuat Ayu menyesal di kemudian hari. Kebenaran akan muncul pada masanya dan kebenaran sentiasa akan muncul pada waktu yang tepat. The truth are meant to be told, intentionally or not. Sabar. Itulah kuncinya."

Ayunina hanya menunduk. Dia menghadam kata-kata Zubir tadi. Ada betulnya. Dia terlampau tertekan dalam mencari siapa dirinya. Sejak hari itu, Ayunina hanya pasrah dengan arus kehidupan. Dia berpegang dengan kata-kata abahnya.

𝐀𝐲𝐮𝐧𝐢𝐧𝐚 | CompletedWhere stories live. Discover now