𝐁𝐚𝐛 33

37 4 0
                                    

ZUBIR dan Asmah masing-masing memerhati anak dan menantu yang terlebih senyap harini. Selalunya riuh-rendah dengan suara Zayyan dan Ayunina. Jangan-jangan dua orang ni tengah bergaduh. Ayunina bangun dulu dari meja makan dan berlalu ke dapur, kemudian dia terus naik ke bilik. Zayyan menyusul dan berlalu terus ke ruang tamu. Kini, tinggal Asmah dan Zubir saja di meja makan menghabiskan makanan yang masih berbaki.

"Awak rasa anak awak tu bergaduh ke dengan Zayyan?" Tanya Asmah kepada suaminya. Nadanya diperlahankan sebolehnya. Tidak mahu Zayyan yang berada di ruang tamu mendengar perbualan mereka.

"Saya rasa kalini, Zayyan yang merajuk," kata Zubir memberikan pendapatnya.

"Kenapa awak cakap macam tu?"

"Awak perasan tak, kalau anak awak tu merajuk, Zayyan tetap bercakap. Ada saja cara dia nak memujuk si Ayu tu. Tapi kali ni, dua-dua diam. Kan ganjil tu."

Asmah mengangguk, bersetuju dengan kata suaminya. "Betul juga apa abang cakap tu. Ayu, Ayu, apa lagi kamu buat ni. Habis tu sekarang kita nak buat apa? Dah masuk tiga hari dah ni bang, takkan kita nak biarkan je?"

Zubir berfikir sebentar. "Apa kata sekarang awak pergi bersembang dengan Ayu. Saya pergi bercakap dengan Zayyan. Ala, orang putih kata 'man's talk'." Zubir berkata dengan wajah bangga. Perkataan baru dia dengar lepas berbual dengan rakannya, Malik di surau semalam.

"Amboi abahnya, saya pun reti la. Kalau perempuan kita panggil 'girl's talk.'" Asmah juga tak mahu kalah. Selepas itu, masing-masing tergelak kecil.

"Dah. Jom cepat-cepat makan." Asmah mengangguk setuju.


ZUBIR hanya melihat Zayyan yang termenung di pangkin rumah. Zayyan langsung tak menyedari kehadiran Zubir di ruang itu. Hampir lima minit dia berdiri di situ.

"Boleh abah duduk sini?" Zubir menarik kerusi kosong di situ.

Zayyan tersentak dari angannya, "Boleh abah. Duduk la."

"Zayyan termenung apa? Jauh betul berangan abah tengok. Abah dah lama kat sini tapi kamu tak perasan langsung. Zayyan ada masalah ya," soal Zubir lembut. Zayyan dipandang penuh kasih. Dia sudah menganggap Zayyan itu seperti anak kandungnya. Zayyan tak ada sesiapa untuk menumpang kasih sebagai anak melainkan dia dan isterinya.

"Tak adalah, Zayyan tengah fikir je, abah," jawab Zayyan perlahan dengan senyuman nipis yang terukir. Sebenarnya rajuk dia masih ada, namun tidak perlulah dia menceritakan hal itu kepada Zubir. Dia hanya mahu dia dan Ayunina menyelesaikan semua ini sendiri. Sudah tiga hari, Ayunina juga tidak cuba lagi untuk memujuknya.

"Ayunina tak biasa memujuk, dia yang selalu dipujuk. Zayyan pun tahu benda tu. Kalau dia salah, dia tetap rasa bersalah. Tapi dia tak pandai nak minta maaf. Abah kenal dia."

Zayyan hanya melihat Zubir yang berkata-kata sambil matanya merenung ke hadapan.

"Abah tahu, Zayyan dan Ayunina ada masalah. Ayunina ni lembut Zayyan, kadang-kadang dia memang suka fikir orang lain tapi dia tak fikir diri dia sendiri. Abah rasa, dia cuba untuk berdiri sendiri lepas Aazam tak ada. Tapi Ayu lupa, dia ada kamu." Zubir berpaling melihat menantunya yang masih tenang mendengar.

"Zayyan faham abah, tapi Zayyan kadang-kadang rasa kalau Zayyan tak ada pun Ayunina boleh sendiri. Zayyan cuma nak Ayu rasa yang dia tak seorang. Saya ada untuk dia, abah. Kenapa Ayunina tak faham benda tu?"

Zubir dapat mendengar nada kecewa. Dia hanya tersenyum sambil bahu Zayyan ditepuk perlahan.

"Zayyan cubalah berbincang balik dengan Ayu, abah yakin dia tak senang duduk tengok kamu macam ni. Tapi tulah, macam abah cakap, bab pujuk-memujuk ni... pandai macam mana pun si Ayu tu, dia tetap file."

"Abah, fail bukan file." Zayyan dan Zubir sudah tergelak kecil.

"Salah ke? Alamak. Jangan bagitahu sesiapa." Zubir tergelak kecil dengan keyakinan dia tadi. Dia menyambung lagi, "Selesaikan elok-elok ya, nak."

Zayyan tersenyum sambil mengganguk.


ASMAH mengetuk perlahan pintu bilik anak perempuannya seorang itu. Selepas makan tadi, langsung tak turun menunjukkan muka. Kedengaran kunci pintu bilik itu dibuka dari dalam.

"Ibu, masuk la." Ayunina mempelawa ibunya masuk. Asmah melihat kertas-kertas yang bertaburan di lantai. Bersepah betul keadaan bilik tu sekarang. Sebaik saja Asmah masuk, Ayunina mengunci pintu itu kembalik.

"Kamu buat apa ni Ayu? Bersepah betul." Jenuh Asmah melangkah barang-barang yang bersepah di lantai, lalu dia duduk di birai katil. Dia melihat Ayunina kembali bersila di bawah. Gunting diambil dan kertas warna tadi digunting.

"Ibu, pelan sikit. Nanti ada orang dengar. Ayu nak buat kad untuk Zayyan." Lelaki kesayangannya sudah merajuk untuk beberapa hari. Pening kepalanya untuk memujuk. Rasa nak gila apabila Zayyan melayannya digin.

Jadi, dia pun Google cara-cara untuk memujuk suami, salah satu cariannya kata yang dia boleh pujuk dengan hadiah. Hadiah yang dibuat sendiri lebih bermakna. Itulah bagaimana berakhirnya Ayunina yang sedang gigih membuat kad tanda meminta maaf.

"Ibu dah agak dah, mesti Zayyan merajuk dengan kamu kan?" Asmah meneka.

"Hmm." Ayunina menggumam perlahan, tanda bersetuju dengan soalan Asmah tadi.

"Ibu tak tahu, dan tak nak tanya kenapa Zayyan boleh merajuk dengan kamu. Tapi ibu nak pesan, lelaki ada ego. Dia orang lagi suka kalau kita bergantung pada dia orang. Ayu, lelaki sifatnya melindungi. Siapa lagi suami nak lindung kalau bukan isteri dia? Zayyan cuma ada kamu Ayu. Jangan abaikan dia." Asmah menasihat dengan nada yang cukup lembut. Ayunina hanya menekur ke arah lantai, menghadam satu-satu nasihat yang diterimanya. Satu pun dia tak bangkang sebab apa yang dikatakan semuanya betul belaka.

"Tapi Ayu dah biasa, ibu."

"Jadi, biasakan benda yang tak biasa. Ibu bukan apa, ibu tengok macam-macam si Zayyan ikutkan kehendak kamu. Apa-apa pun dia suami kamu, Ayu. Dari dulu ibu percaya, Zayyan sayang kamu sangat-sangat. Hargailah kasih-sayang yang kita dapat sebab kita tak tahu, sejauh mana kita dapat rasa benda tu.

Andai satu masa hilang, baru kamu tahu, kamu sebenarnya tak dapat biasa tanpa dia. Waktu tu, nak nangis air mata darah pun tak guna dah. Ibu tahu Aazam penting, dia pun anak ibu. Tapi jangan seksa diri dengan benda yang dah pergi, yang depan mata kita sakitkan." Panjang lebar nasihatnya. Asmah harap Ayunina dapat merubah tabiatnya.

"Ayu faham, ibu."

Asmah tersenyum senang. Kemudian dia pun turun dan duduk bersila menyertai Ayunina. "Eh, ibu duduk la atas. Sakit lutut nanti."

"Tak apalah, meh ibu tolong. Kamu nak buat kad yang macam mana?" Asmah dulu merupakan seorang guru seni. Sekarang dah bersara, sedikit sebanyak dia boleh membantu anaknya itu. Asmah lihat rupa kad yang sedang dibuat Ayunina itu agak menyakitkan mata, nak cakap nanti terasa pula. Baik dia tolong dengan cara halus.

Ayunina tersenyum, panjang lebar dia menerangkan kad yang bagaimana yang dia mahu buat. Berbelit otaknya melihat video tutorial. Susah betul bila ada tangan yang tak berseni ni. 

𝐀𝐲𝐮𝐧𝐢𝐧𝐚 | CompletedWhere stories live. Discover now