𝐁𝐚𝐛 36

43 5 0
                                    

"AYU, ni nak letak kat mana?" Nadia menatang sedulang roti. Ayunina masih tidak menentukan kedudukan susunan roti. Namun, bayang Ayunina masih tidak kelihatan. Mungkin sedang sibuk menghias kek lagi.

"Sini aku susunkan." Zayyan yang baru saja tiba terus menyambut dulang di tangan Nadia. Satu-persatu roti sardin itu disusun kemas. Setelah berpuas hati dengan roti-roti yang tersusun kemas, dia berpaling untuk berlalu ke dapur. Namun, Zayyan terkejut lalu mengurut perlahan dada apabila melihat Nadia yang masih berdiri kaku di belakangnya.

"Kau ni Nad, buat terkejut aku je. Aiman mana? Bukan boyfriend kau kata nak tolong sekali juga ke harini?" Zayyan melihat ke arah pintu. Batang hidung Aiman masih tak kelihatan. Waktu untuk bakeri itu dibuka juga semakin hampir.

"Aiman datang kejap lagi, dia singgah rumah mak dia jap. Er, Zayyan."

"Kenapa? Kau ada apa-apa nak bagitahu ke?" Zayyan melihat Nadia yang seperti resah tentang sesuatu.

"Aku sebenarnya kena buang kerja kelmarin. Kalau aku kata aku nak kerja sini terus boleh ke? Itupun kalau kau dengan Ayunina okey nak terima aku," ujar Nadia perlahan. Sebelum ini dia bekerja sebagai admin, namun disebabkan masalah di tempat kerja, Nadia dipecat. Dia membantu Ayunina pun sebagai part-time saja. Dia berkira-kira untuk bekerja terus di bakeri itu.

"Boleh, aku bincang dengan Ayunina dulu, apa-apa aku bagitahu kau balik." Nadia hanya mengangguk. Dia melihat Zayyan yang dah berlalu pergi ke dapur untuk membantu Ayunina menghias kek.

"Sayangku..." Laju saja dia memeluk tubuh Ayunina, ciuman ringkas dilabuhkan pada pipi gebu itu. Ayunina hanya menjeling manja.

"Seronoknya awak harini." Ayunina fokus memicit krim berwarna putih untuk menghias kek longan. Semua kek sudah tersedia, tinggal satu ini saja yang masih belum disiapkan.

"Mestilah, ini kan hari pertama kita buka kedai kita. Kena ada aura positif tu."

"Awak..."
"Ya Zayyan..."

"Nadia kata dia nak kerja kat kedai kita, okey tak? Bagus juga kita ada pembantu full-time seorang. Tak adalah kelam-kabut sangat nanti." Zayyan melihat Ayunina yang tak sedar dirinya diperhatikan. Kasihan dia melihat Ayunina yang bersusah-payah seorang diri. Dia risaukan Ayunina yang mungkin tak cukup rehat nanti.

"Nad? Bukan dia kerja ke?"

"Tak adalah, dia kata dia kena pecat. Itu yang dia kata kat saya tadi."

"Boleh, saya tak kisah kalau awak okey. Saya ikut awak je. Kesian juga dekat Nadia tu." Ayunina memerhatikan Nadia yang baru saja masuk ke dapur itu sambil tersenyum ke arahnya. Jika Nadia tidak membantu, pasti susah juga dia dan Zayyan.


KEESOKAN pagi Ayunina dan Zayyan bergegas ke kedai mereka lebih awal selepas panggilan yang mereka terima dari Nadia.

"Ayu! Kedai kau kena simbah cat." Itu saja yang diberitahu Nadia. Pelbagai bayangan muncul dalam kotak fikiran Ayunina. Terukkah keadaan kedai mereka.

Setibanya mereka, dia lihat Nadia sudah berdiri keseorangan menunggu mereka di hadapan pintu kedai. Tingkap kaca yang besar itu dipecahkan. Cat merah ada dimana-mana. Ayunina memandang sayu. Dia melangkah untuk melihat lebih dekat, tetapi dihalang Zayyan.

"Awak luka nanti, nanti saya panggil orang bersihkan." Tubuh Ayunina dibawa ke dalam pelukan. Ayunina menangis semahu-mahunya disitu.

"Apa salah kita, Zayyan. Kenapa susah sangat dia nak biarkan kita bahagia?" Baru saja sehari mereka mulakan hari baru, tiba-tiba benda macam ni pula yang jadi. Dia dan Zayyan tidak kacau sesiapa mahupun berhutang, kenapa situasi perlu kejam pada mereka berdua.

Nadia hanya memandang pasangan itu.

Zayyan meleraikan pelukan. Wajah Ayunina didongakkan mengadap dia. Air mata Ayunina disapu perlahan, dia menghadiahkan senyuman manis. "Saya masih ada untuk awak. Jangan sedih okey? Kita boleh baiki benda ni. Saya kena jumpa Leon sekejap, awak tunggu sini dulu, temankan Nadia."

"Kenapa nak jumpa Leon?"

"Awak pun tahu kan? Saya rasa ini mungkin angkara dia."

"Saya ikut tak boleh ke? Awak tunggu la sekejap." Ayunina memujuk Zayyan. Dia rasakan keadaan sekarang agak tidak sesuai untuk mebiarkan Zayyan pergi seorang diri. Hatinya juga berasa sangat tak senang. Berdebar-debar.

"Sayang..." Zayyan sudah memanggil lembut.

Nadia yang sejak tadi hanya memerhati berkata, "Jangan risaukan aku, kejap lagi Aiman sampai. Kau boleh ikut Zayyan, Ayu. Tak payah risaukan aku." Dia pun tak tahu apa yang dibincangkan mereka tapi dia rasa dia hanya mengganggu di situ.

Ayunina memandang Nadia. Kemudian melihat kembali pada Zayyan. Takkan dia begitu kejam nak biarkan kawan baik dia sendiri. "Awak pergilah, saya tak sampai hati nak tinggalkan Nad sorang-sorang." Ayunina mengalah akhirnya.

"Okey, awak duduk sini baik-baik. Saya minta tolong abah ambil awak nanti."

"Awak hati-hati. Saya tunggu awak balik." Ayunina melambai-lambai ke arah Zayyan.

Zayyan membalas lambaian itu dengan senyuman. Ayunina tidak mengalihkan pandangannya sehingga kereta itu sudah hilang dari pandangan. Kemudian tangan di bawa ke dada, cuba mengurangkan debaran yang semakin menggila.


ZUBIR dan Asmah melihat Ayunina yang sejak dari tadi tak duduk diam. Dia berjalan ke depan dan ke belakang seperti cacing kepanasan. Waktu sudah menginjak pada jam satu pagi, tapi bayang Zayyan masih tak kelihatan.

"Abah dengan ibu tidurlah dulu. Ayu nak tunggu Zayyan kejap. Kejap lagi Zayyan balik la ni," ujar Ayunina namun nada risaunya masih tak dapat disembunyikan. Kasihan pula dia lihat ibu dan abahnya yang menunggu lama. Kemanalah Zayyan, panggilannya juga tidak dijawab. Mesej lagilah, tak berbalas. Takkanlah jumpa dengan Leon sampai waktu malam macam ni daripada pagi.

"Awak kat mana ni Zayyan?" 

𝐀𝐲𝐮𝐧𝐢𝐧𝐚 | CompletedWhere stories live. Discover now