𝐁𝐚𝐛 14

58 7 3
                                    

LITTLE STONE  di atas meja dipandang sepi. Lama rasanya dia tak gunakan telefon itu. Kebelakangan ini dia agak sibuk menguruskan kedai bakeri. Saja dia menyibukkan diri daripada fikirkan masalah 'Z' yang sering menganggunya. Surat masih diterima, cuma Ayunina memilih untuk tidak mengambil tahu. Semua surat akan jatuh pada tangan Jay terlebih dahulu. Apa yang jadi selepas itu, bukan lagi masalah dia. Dia pun tak ada tanya apa-apa lagi kepada Jay mahupun Zayyan.

Ayunina melangkah keluar dari biliknya. Pintu ditutup perlahan. Rambut yang jatuh di dahi diselitkan di tepi telinga sebelum dia melangkah ke arah Zubir yang sedang merenung ikan kesayangannya. Ni tak lain tak bukan, mesti dia nak buat aduan apa-apa ni.

"Makin kurus Leon abah ni. Kamu tak bagi makan ke?" Zubir masih tidak berpuas hati melihat ikannya.

Ayunina yang berdiri di belakang sudah mencebik. Nampak? Baru habis cakap.

Ibu dan abahnya sudah mendarat di tanah air semalam. Tahu-tahu je mereka sudah sampai. Nasib baik Ayunina dah balik. Kalau tak berteleku dua laki bini tu depan rumah.

"Ayu siap buat jadual nak bagi makan Leon tau. Dia pun bukannya makan tiga kali sehari. Obese ikan tu nanti." Ayunina sudah bercekak pinggang bersebelahan Zubir.

"Tengok betul-betul Ayu. Ni kalau abah timbang ikan ni mesti turun 5kg." Jarinya sudah ditunjuk ke arah ikan bernama Leon. Masih tak berpuas hati.

"Mana orang timbang macam tu." tanya Ayunina denga nada skeptis.

"Ada... Abah la." Zubir mendabik dada. Ayunina pula hanya mencebik lagi. Kira bersyukur la dia nak jagakan ikan tu. Kalau dia goreng buat masak kari kan lagi susah.

"Bergaduh apa lagi dua beranak ni."

Asmah muncul di sebalik pintu dapur sambil menatang lauk-pauk untuk dihidang. Bau gulai masak lemak cili padi mula mendominasi rongga hidung. Ayunina dan Zubir bagaikan terpukau, masing-masing berjalan ke arah meja makan serupa zombi. Pergaduhan tentang Leon pun dilupakan. Jangan main-main dengan masakan Puan Asmah, boleh angau dibuatnya.

"Dua-dua pergi basuh tangan dulu. Pegang sana-sini tak basuh tangan, lepas tu nak usik makanan." Asmah menampar lembut tangan Ayunina yang cuba mencapai senduk.

Tak jadi Zubir dan Ayunina nak melabuhkan punggung. Dengan pantas mereka bangun untuk ke dapur.

"Siapa basuh tangan dulu dia menang." Zubir menganggkat keningnya ke arah Ayunina. Apa lagi dua beranak tu, bertolak-tolak nak ke singki. Asmah hanya menggeleng. Dah tua baru nak main lari-lari. Nanti seorang tergeliat pinggang, seorang lagi cium lantai. Satu kerja pula untuk dia nak mengheret dua-dua itu ke hospital.

"Seronok tak Turki?" Pinggan Ayunina sudah penuh dengan lauk. Ada ayam, ulam dan sambal belacan. Memang kegemaran dia, boleh bertambah-tambah nasinya nanti.

"Best la dapat honeymoon. Lain kali abah bawa kamu pula." Keningnya sudah terangkat-angkat sambil tersengih-sengih melihat isterinya.

"Merepek abang ni. Kita ni pengantin muzium, bukannya pengantin baru." Asmah menjeling suaminya. Ada saja idea si Zubir ni nak menyakatnya.

Ayu hanya tersenyum melihat Asmah yang sudah mengomel-ngomel.

"Tak nak la. Kedai tu siapa nak uruskan kalau Ayu cuti lama-lama."

"Jay kan ada. Biarlah diorang uruskan kejap. Abah rasa Ayu dah lama tak bercuti. Kamu tu bos, bukannya pekerja. Abah pula yang stres tengok."

"Memang la Ayu ni bos,tapi Ayu tak nak letakkan orang lain untuk jalankan tanggungjawab Ayu. Ayu tak selesa, abah. Lagipun pekerja Ayu tiga orang je. Kesian dekat dia orang nanti. "

"Kamu tu daripada dulu macam tu. Lebih banyak fikirkan orang lain daripada diri sendiri." Zubir berkata perlahan namun cukup untuk didengari Ayunina.

"Abah... Ibu... Tak ada cara lain ke untuk Ayu nak ingat balik. Ayu betul-betul buntu sekarang ni." Seleranya terbantut. Perasaan ingin tahu mula melimpah-ruah.

Zubir dan Asmah berpandangan. Silap pula mereka mula masuk topik ni.

"Apa yang Ayu nak tahu?" Asmah memandang Ayunina dengan penuh kasih-sayang. Ibu mana yang suka jika anaknya diselebungi masalah.

"Zayyan. Dia betul-betul baik ke? Ayu rasa dia ada rahsiakan sesuatu daripada Ayu. Sesuatu yang penting untuk Ayu tahu. Tapi Ayu takut... Kalau ni semua perasaan Ayu sendiri. Ataupun Ayu salah faham selama ni."

"Ayu... Dalam banyak-banyak orang yang Ayu kenal, Zayyan adalah orang yang Ayu kena paling percaya. Semua orang boleh tipu Ayu, tapi bukan Zayyan. Naluri ibu katakan yang dia lelaki yang baik." Asmah menjawab yakin.

Ayunina memandang tepat ke dalam anak nata ibunya. Kemudian dia melihat pula Zubir yang hanya diam melihat. Zubir turut tersenyum dan menggangguk. Nampaknya dia tiada pilihan lain selain percaya jika Asmah dan Zubir sudah berkata begitu.


TIGA beranak itu sedang bersantai sambil menonton televisyen. Apa lagi yang boleh dibuat jika perut dah kenyang? Tiga beranak itu saling bertukar-tukar topik sambil melepaskan rindu. Bunyi ketukan pintu telah mengalihkan perhatian mereka.

"Assalamualaikum."

Mereka berpandangan. Siapa pula yang datang petang-petang ni?

"Biar abah pergi tengok."

Asmah dah Ayunina sudah bangun dan berlalu ke bilik untuk memakai tudung. Zubir ni kadang-kadang sukar dijangka. Tiba-tiba tetamu dah masuk. Kelam-kabut Asmah dan Ayunina nak capai tudung masing-masing

"Zayyan, awak buat apa dekat sini?" Ayunina memandang Zayyan dengan pandangan yang terkejut. Dia orang berdua ni tak adalah terlalu rapat sampai Zayyan boleh datang ke rumah macam tu aje.

Perbualan dua lelaki itu terhenti. Ramah betul Zayyan bersembang dengan abahnya macam dah kenal lama. Makin pelik Ayunina dibuatnya.

"Zayyan datang sini nak minta izin abah." Zubir menjelaskan niat Zayyan yang baru diberitahu tadi.

"Izin apa pula ni?"

"Saya nak bawa awak jalan-jalan petang ni."

Rama-rama dalam perutnya mula mengepak hebat namun riak wajahnya cuba dikawal sebaik mungkin. Ayunina jangan tunjuk yang kau ni seronok sangat.

Asmah menghampiri mereka bertiga dengan membawa secawan milo panas.

"Elok la tu. Ayu ni pun asyik terperuk dalam rumah. Kalau tak ada dalam rumah, mesti dekat bakeri. Mak cik tengok pun bosan." Asmah menunjukkan sokongannya terhadap cadangan Zayyan. Dia melihat anaknya hanya berulang-alik kerja dan pulang ke rumah saja. Langsung tiada keseronokan.

"Ibu..."

"Jangan risau mak cik. Saya kan ada lepas ni saya bawa Ayunina jalan-jalan selalu." Zayyan turut terhibur melihat gelagat Ayunina. Gaya Ayunina yang manja itu sudah lama tidak dilihatnya.

Zubir dan Asmah mengangguk dan tersenyum. Terlebih bahagia pula ibu abah dia ni. Sebelum ni tak ada pula nama Zayyan meniti dari mulut mereka. Namun gaya sekarang seperti sudah kenal lama.

"Saya pergi siap dulu kalau macam tu. Ibu... Abah... Jangan cakap yang bukan-bukan pasal Ayu ya." Ayunina sudah memberi amaran siap-siap. Bukannya boleh percaya sangat ibu dengan abah dia ni

"Baru abah teringat perangai pelik Ayunina ni, Zayyan nak tahu tak?"

"Abah..." Ayunina sudah memuncung. Mereka yang ada di situ sudah ketawa.

"Ye la, abah tak bagitahu. Dah siap cepat, kesian Zayyan tunggu."

"Okey."

Langkah Ayunina di hantar dengan tiga pasang mata. Zubir kembali memandang Zayyan. Kedua-dua belah tangan Zayyan diambil dan digengam lembut. Zubir menepuk-nepuk perlahan tangan itu.

"Tolong jaga Ayunina. Jangan biar dia sakit lagi."

Zayyan memandang mata Zubir yang sudah berkaca. Sayang sungguh suami isteri itu kepada Ayunina. Begitu juga dengan dia.

"Demi waktu yang saya dah terlepas lama, saya tak akan biar masa hitam tu datang balik. Demi Ayunina, saya sanggup untuk sentiasa jadi benteng terkuat buat dia. Ini janji saya, dari dulu sampai sekarang."

𝐀𝐲𝐮𝐧𝐢𝐧𝐚 | CompletedWhere stories live. Discover now