𝗕𝗮𝗯 6

82 9 0
                                    

JAY  membuka pintu perlahan dan menjenguk ke dalam ruang pejabat. Kelihatan Ayunina sedang bertongkat dagu sambil termenung. Jay melangkah perlahan ke arah Ayunina. Dia tidak mahu Ayunina terkejut dengan kehadirannya.

"Kau tak nak balik lagi ke?" soal Jay.

"Kejap lagi aku balik."

"Kalau macam tu aku balik dulu." Jay meminta izin untuk balik,

Ayunina hanya mengangguk. Baru sahaja beberapa langkah, Jay berpaling semula.

"Ayu, aku minta maaf. Aku buat masalah harini." Wajah Jay agak muram. Bukan sahaja pada ketika ini, namun sepanjang hari. Ayunina beberapa kali mahu menegur, namun Jay seperti mengelak daripadanya.

"Siapa kata kau salah? Aku pun tak salahkan kau. Benda dah jadi dan dah lepas pun. Tiada siapa salah okey? Lagipun benda kecil aje tadi. Tak elok la Jay the diva monyok sepanjang hari. Sunyi rasanya harini." Satu senyuman ringkas dihadiahkan pada Jay. Ayunina cuba menceriakan suasana.

Memang betul pun itu bukan salah Jay. Kenapa semua orang agak over protective harini? Semua orang berubah menjadi pendiam. Zulaikha tu memang semulajadi, tapi bila Puteri dan Jay pun jadi begitu, menjadi satu kejanggalan buat Ayunina. Tiada siapa yang dia boleh usik hari ini. Bosan sungguh dia rasa.

"Tapi kalau tak sebab aku..."

Ayunina memotong percakapan Jay. "Sudah, aku tak nak dengar. Pergi balik. Aku betul-betul tak ada masalah. Serius tau. Kau jangan risau." Ayunina meyakinkan Jay sekali lagi. Agak lama Jay berdiam. Mungkin cuba untuk mempercayai kata-kata Ayunina.

Jay berasa sedikit lega.

"Okey la kalau macam tu. Kau betul tak nak aku tunggu sekali?"

Ayunina mengangguk laju sambil tersenyum sehabis manis. Jay hanya membalas dengan senyuman nipis lalu berlalu keluar.

Ayunina tidak mahu pulang terlalu awal. Dia tidak mahu berasa sunyi di rumahnya. Bukan ada sesiapa yang nak sambut pun. Jika dia pulang sedikit lewat, dia akan terus tidur sahaja. Dia tidak perlu melihat ruang kosong tidak berpenghuni.

Mata Ayunina kini tertumpu kepada 'little stone'. Ayunina ingin menyambung aktiviti menggeledah telefon itu yang 'tertunggak' akibat insiden pagi tadi. Ikon kalendar ditekan. Seterusnya dia menekan ke satu-satunya pilihan dia ada iaitu 'mengembara ke'. Setelah berfikir sejenak, Ayunina mengisi tarikh semalam di ruangan kosong. Dia tiada idea untuk ke tarikh yang lain.

Satu saat... dua saat... dan skrin itu berubah gelap.

"Hmm, takda apa-apa pun." Sebaik sahaja Ayunina menghabiskan kata-katanya, satu cahaya putih muncul. Ayunina terpaksa memejamkan mata kerana cahaya itu terlalu menyilau. Lengan digunakan untuk menutup matanya.

Buka sahaja mata perlahan-lahan, Ayunina melihat sekelilingnya. Dia kini tidak berada di dalam pejabat, sebaliknya di hadapan kedai bakeri. Melihat sekeliling, gayanya tak ubah seperti suasana semalam. Ketika dia terlambat datang membuka kunci pintu bakerinya.

Jay, Puteri dan Zulaikha memandangnya pelik. Ayunina dengan muka seperti baru sahaja melihat kucing bertelur hanya berdiri kaku di situ. Berpeluh-peluh wajahnya dan jelas dia terkejut.

"Dah la lambat, lepastu seronok pulak kau berangan." Jay menyergah.

"Jay, mungkin Ayu betul-betul tak perasan. Kau ni jangan main sergah je." Puteri menegur. Zulaikha pula di posisi yang sama, di sebalik tiang sambil mendengar lagu melalui fon telinga.

Mata Ayunina terbutang. Bukan ke ni dialog yang sama dia orang cakap semalam? Otaknya masih mencerna perlahan. Betul ke? Ataupun dia sedang bermimpi sekarang ni.

𝐀𝐲𝐮𝐧𝐢𝐧𝐚 | CompletedWhere stories live. Discover now