𝐁𝐚𝐛 41

38 5 0
                                    

"KITA dah jumpa dia." Leon menghembus nafas lega apabila mendapat berita tentang penemuan Ayunina. Sudah hari ketiga mereka kehilangan Ayunina, muncul berkat usaha keras pasukan penyelamat, Ayunina dijumpai tersadai pada dahan pokok. Dia masih hidup, tapi sangat-sangat lemah.

Zubir menolak Zayyan yang masih berkerusi roda ke katil di mana Ayunina ditempatkan sebelum berdiri di sebelah Asmah sedang duduk di bahagian sebelah kanan katil. Zubir mengusap lembut bahu isterinya, Asmah memandang kembali Zubir dengan senyuman yang sayu. Mereka berdua melihat Zayyan yang hanya memandang kosong Ayunina yang tidak sedarkan diri. Zubir masih ingat dengan jelas, bagaimana rapuhnya Zayyan apabila mendengar khabar Ayunina yang telah dijumpai.

"Kami perlukan waris Puan Ayunina," seorang doktor yang baru sahaja keluar dari bilik pembedahan dan memakai scrub berwarna hijau memanggil waris Ayunina.

Zubir terus bangun. Ketika itu Zayyan juga sedang dirawat. Zubir menunggu Ayunina manakala Asmah sedang menemani Zayyan. Akhirnya kerja sebenar Ayunina dan Zayyan sebelum ini sudah dikehtahui. Leon sudah menerangkan keadaan sebenar dan bagaimana Aazam meninggal dunia. Semestinya kedua-dua mereka sukar untuk menerima namun jika ini pilihan anak dan menantunya, apa yang mereka mampu katakan. Mereka hanya mampu mendoakan keselamatan mereka sekarang.

"Saya waris Ayunina."

"Encik ni..."

"Saya abah dia. Macam mana keadaan anak saya doktor?" Zubir memperkenalkan dirinya.

"Ayunina stabil dan sudah melepasi fasa kritikal. Saya tak pasti bila dia akan sedar, tapi kami akan terus pantau keadaan dia selepas ini. Saya masih tak jamin apa-apa tentang keadaan Ayunina selepas dia bangun." Zubir meraup mukanya tanda bersyukur, belum sempat dia berterima kasih, doktor lelaki itu kemudian menyambung lagi, "Tapi... maafkan saya, kami tak dapat selamatkan kandungan Puan Ayunina."

"Kandungan? Maksud doktor, anak saya mengandung?"Zubir menyoal dengan rasa tidak percaya. Ayunina tidak memaklumkan apa-apa tentang itu kepada dia ataupun Zubir.

Doktor itu mengangguk, "Ya, melihat keadaan kandungan, saya rasa kandungan sudah mencapai usia sebulan. Disebabkan keadaan Ayunina yang jatuh dari tempat tinggi, dan terbiar dalam keadaan itu agak lama tanpa rawatan segera menyebabkan kandungan itu tidak dapat bertahan. Maafkan kami, kami sudah cuba sedaya-upaya."

"B-baik, terima kasih doktor," Zubir berkata perlahan.

Zubir melangkah longlai ke wad di mana Zayyan di tempatkan. Sebaik saja dia masuk, dia melihat Asmah sedang berbual kosong dengan Zayyan. Sekali-sekala Zayyan tersenyum kecil. Keadaan lelaki itu sendiri sudah cukup teruk, bagaimana reaksinya nanti apabila Zayyan mengehtahui keadaan Ayunina?

"Abah, bila abah masuk?" Zayyan menegur lembut bapa mertuanya yang baru saja tiba. Dia melihat saja Zubir sedang berdiri saja di depan muka pintu sejak dari tadi.

"Abang? Kenapa ni?" Asmah memaut lembut lengan Zubir. Dia tahu ada sesuatu yang tak kena apabila melihat riak suaminya begitu. Ayunina selamatkah? Dia tahu Zubir baru saja balik daripada menunggu Ayunina di bilik bedah.

"Zayyan... dengar abah nak cakap ni. Apa pun yang abah nak bagitahu, Zayyan kena ikhlas," Zubir berkata dengan tenang. Namun masih terselit nada risau dan kecewa daripada suara itu.

Senyuman kecil Zayyan sudah mengendur, "Ayu selamat kan, abah? Ayu tak apa-apa kan?" Dia berharap bukan berita dia kehilangan Ayunina yang dia dengar sekarang.

Selepas menceritakan apa yang diberitahu doktor tadi, Zayyan sudah meraung seperti orang gila. Sudah lama Ayunina dan dia menunggu pengikat kasih mereka. Tapi belum sempat mereka tahu kewujudan kecil itu, mereka sudah kehilangannya semula. Sungguh cepat pinjaman itu diambil semula.

Asmah dan Zubir masing-masing memeluk Zayyan, kepala Zayyan diusap lembut. "Sabar, Zayyan. Ikhlaskanlah." Asmah memujuk lembut.

"Anak Zayyan, ibu." Zayyan merintih dalam pelukan Asmah.

"Abang," Asmah menegur Zubir yang sedang mengelamun. Zubir tersentak dari lamunanya apabila lengannya digoyang lembut. Zubir berpaling pada Asmah. "Zayyan nak minta ruang untuk dia dengan Ayu sekejap, jom kita keluar."

Zubir hanya mengangguk. "Ibu dengan abah keluar dulu, Zayyan."

Zayyan tersenyum nipis, menghantar pemergian Zubir dan Asmah melalui pandangan mata. Sebaik saja mereka keluar, Zayyan kembali memandang Ayunina. Tangannya diletakkan di atas perut Ayunina. Rasa sebak kembali menyelinap masuk.

"Maafkan saya, sayang. Saya memang tak guna kan? Awak, saya gagal selamatkan. Anak kita pun saya gagal lindungi. Kita tak sempat nak kenal-kenal dengan dia. Lama kita tunggu dia datang, Ayu. Tapi awak tak sedar lagi, dia dah pergi. Entah-entah awak pun tak tahu kan? Mungkin belum rezeki kita lagi. Tak apalah, saya tunggu awak bangun. Saya akan jaga awak balik."

Ayunina cuba membuka kelopak matanya perlahan-lahan. Cahaya daripada lampu bilik yang menerobos masuk menyukarkan lagi untuk dia celik. Dia cuba menggerakkan jari-jarinya. Sebaik saja dia sedar sepenuhnya, dia berpaling ke bahagian kiri. Ada seorang lelaki yang berpakaian seperti pesakit hospital, sama sepertinya sedang lena sambil duduk bersebelahannya. Sebelah tangan lelaki itu pula terletak elok di atas perut dia.

Tanpa menunggu lama, Ayunina menepis tangan lelaki itu, dia terus menjerit kuat. "Kau siapa ha?! Kenapa kau pegang-pegang aku?!"

Zayyan tersedar. Dia terkejut melihat Ayunina yang sudah bangun. Dia pun tak sedar sejak bila dia tidur. Posisinya di atas kerusi roda menyukarkan dia untuk menggapai Ayunina apabila perempuan itu menepisnya berkali-kali.

"Sayang, ni saya ni. Saya ada untuk awak. Bertenang Ayu," Zayyan memujuk lembut, sementara itu butang di kepala katil di tekan untuk memanggil jururawat di luar.

Pujukan Zayyan diabaikan. "Tak nak! Kau siapa haa?! Jangan sentuh aku. Jangan sentuh aku!" Tangan Zayyan di tepis berkali-kali. Sungguh dia takut melihat lelaki didepannya sekarang. Mukanya bengkak, mempunyai lebam di merata-rata tempat, mata yang sudah sepet sebelah.

Tangan Zayyan jatuh ke sisi. Riak mukanya seperti tidak percaya. Kenapa Ayunina tak kenal dia? Teruk sangatkah wajah dia sekarang untuk Ayunina mengecam? Zubir dan Asmah yang baru tiba tidak jauh daripada situ, berlari-lari anak untuk masuk apabila melihat jururawat dan doktor yang masuk ke dalam wad anak mereka.

"Ayu, awak tak kenal saya ke? Saya Zayyan." Zayyan menolak tayar kerusi rodanya untuk lebih rapat ke katil. "Ayunina?"

Melihat respon Ayunina yang seperti takutkannya membuatkan Zayyan membungkam. Dia tak dapat menahan air matanya daripada jatuh. Dia sudah kehilangan anaknya, bagaimana jika dia hilang Ayunina juga? Dia langsung tidak jangkakan respon Ayunina akan begitu.

"Encik, beri kami ruang untuk periksa isteri encik." Zayyan masih membatu apabila di sapa salah seorang jururawat. Dia hanya terdiam melihat Ayunina yang masih meracau-racau apabila jururawat cuba memegangnya.

"Zayyan, kita keluar dulu ya." Asmah mengusap perlahan bahu Zayyan. Dia juga turut terkejut melihat keadaan Ayunina yang meracau-racau, tapi sekarang mereka perlu beri kerjasama untuk mereka memeriksa Ayunina.

Zubir menolak kerusi roda Zayyan, mereka bertiga meninggalkan ruang itu. Memberi masa untuk doktor memeriksa keadaan Ayunina. Zayyan berpaling melihat Ayunina yang sedikit bertenang selepas disuntik ubat penenang. Kenapa dengan awak Ayu?

𝐀𝐲𝐮𝐧𝐢𝐧𝐚 | CompletedWhere stories live. Discover now