-40-

199 32 16
                                    

Rasa hati Pakchu Deris yang sudah tidak nyaman sejak Maghrib tadi semakin galau.Bulan tidak kelihatan dan sepertinya bebola kekuningan tersebut bersembunyi di sebalik gumpalan awan tebal atau barangkali sedang merajuk lalu tenggelam di sebalik belahan dunia yang satu lagi.

Malam sebenarnya masih terbilang muda tetapi kelamnya luar biasa.Angin yang berhembus kasar terasa hangat tetapi aneh bagaimana suara serangga malam tidak pula kedengaran.Alam membisu dalam kesenyapan.Diam seperti menunggu sesuatu.

Perlahan-lahan tiga susuk yang terbujur di ruang tamu tersebut ditolehnya dan tidak dapat tidak dia merasakan keanehan yang meruap dirasakannya itu sedikit sebanyak berkaitan dengan perjalanan Indah,Naufal dan Nik ke alam sebelah.Sejak kedatangan Nik ke situ,Pakchu Deris tahu bahaya yang mengintai mereka semakin mendekat dan kerana itulah siaga mereka tidak boleh kendur.

Bukan tidak pernah orang-orang suruhan Mumbala nekad menggempur rumah limas bertiang tinggi tersebut semata-mata untuk mencederakan jasad Meraga Sukma Indah dan Naufal sekaligus menganggu perjalanan mereka untuk melengkapkan Sapta Adhyasta.Dan kini dengan adanya Nik,pasti Mumbala tidak akan senang duduk dan akan melakukan apa sahaja untuk menggagalkan rancangan mengurung sekutunya di alam sebelah itu ke dalam Tembikar Muftah.

Sekutunya itu-Marid- merupakan susuk yang memberikan kekuatan kepadanya sehingga mampu hidup hampir ratusan tahun lamanya bahkan memiliki pula kekuatan gelap yang tidak main-main.Dan Maghrib itu rasa hatinya semakin memuncak dengan kecamuk yang meresahkan.Setiap kali dia menghela nafas,binar mata Haji Al-Attas dan Sallehuddin menatapnya dengan gelisah lalu hinggap kepada bingkai pucat wajah Indah,Naufal dan Nik di tengah ruang tamu.

Sejak beberapa ketika tadi,jasad kaku yang kelihatan seperti sedang tidur nyenyak itu entah mengapa bersimbah peluh.merenik-renik pada dahi dan pelipis malahan sesekali mata mereka yang terpejam menggerenyat.Bergerak-gerak dengan kening yang berpeluh seakan memberikan isyarat ada sesuatu sedang berlaku kepada mereka di alam sebelah.

+               +               +

Ketika Marid bertempik menghamburkan kata makian yang kesat suaranya seakan bersimpongang ke segenap pelusuk permukiman sehingga membuatkan suara unggas yang riuh menyambut limpahan sinar matahari pagi mendadak senyap.Reriang yang mengepakkan sayapnya turut terdiam.

Malahan kelawar yang baru sahaja mengemaskan kepak masing-masing selepas menjadi penjarah buah-buah ara ranum turut terjaga dari dahan peraduan lalu terbang sambil berkuak-kuak heboh.Terkejut dengan tempikan nyaring disertai kekuatan gelap yang mengerunkan haiwan-haiwan tersebut.

" Kita ada peraturan yang perlu diikuti Marid. Apa lupakah engkau bahawa kita dilarang untuk mencampuri urusan manusia?"

Susuk berselubung itu meludah " Lalu apa bezanya antara kita berdua? "

" Apa engkau lupa siapa yang menawarkan perjanjian dengan Kasturi dulu?"

Suara yang mengandungi perbalahan senyap antara Penghulu Paduka Haji dan Marid itu mengisi suasana tegang di hujung permukiman tersebut.Kedua-duanya tegak tetapi sesiapa pun tahu mereka saling bersiap-siaga dan sedang memerhatikan lawan dengan penuh berhati-hati dan perhitungan yang mendalam.

Indah mengejapkan genggaman tangan kepada simpulan kain cindai yang sengaja diikatnya untuk mengalas penumbuk kanannya.Menatap sekilas Naufal yang masih berdiri mengacu potongan kayu lalu kepada Nik yang memeluk bungkusan Tembika Muftah lebih kejap ke arah dadanya.

Dalam keadaan genting begitu,sempat rasa kagumnya menyelinap senyap-senyap.Ketika Naufal membisikkan hal tersebut,buat pertama kali dia sedikit terkejut malahan sempat pula membantah tentang penglibatan Abu Zarr dalam hal itu.Bagaiman mungkin Naufal boleh mengesyaki pemuda tersebut sedangkan mereka bersamanya hampir setiap ketika.Tetapi apabila Naufal membeberkan satu demi satu hasil pemerhatiannya,Indah hampir bergidik ngeri.

SAPTA ADHYASTAWhere stories live. Discover now