-48-

159 28 4
                                    

INDAH

Peluh yang berlumba-lumba menuruni pipi diseka lalu segenap penglihatannya diarahkan ke kawasan sekitar. Sama seperti ketika dia tiba di tempat tersebut entah bagaimana, suasana sekitar tidak ada yang berubah.

Pohon sebesar dua tiga pemeluk dan di mana-mana penglihatannya dibatasi oleh juraian kabus yang terapung rendah .Keadaan sekeliling samar benar bagaikan cahaya matahari tidak mampu menembusi lapis demi lapis kabus yang tidak kunjung menipis.

Menarik dan cuba menyusun semula nafasnya, perlahan-lahan Indah melabuhkan letak duduknya pada pangkal sebatang pohon yang paling hampir dengannya. Kesat kulit pohon sangat terasa pada belakangnya tetapi dia tidak perduli hanya kerana tempat itu tampak sedikit kering berbanding kawasan lain.

Dari hujung ke hujung penglihatannya, tanah becak dan berlumpur kelihatan. Dan oleh kerana sinar matahari terlalu sedikit mencecah permukaan tanah di situ, dalam balutan kabus yang sebentar-sebentar nipis lalu ada kalanya tebal pula, sesekali bayang atau gerutu kasar kulit pokok disekelilingnya membentuk wajah menakutkan seperti raksasa kumal yang menghendap-hendap.

Menjernihkan fikirannya yang sempat berhamburan entah ke mana-mana, satu demi satu kejadian tersebut berulang kembali dalam mindanya.

Bagaimana dia boleh tercampak ke dunia nan tidak berpenghujung itu dia sendiri tidak tahu tetapi apa yang pasti Marid ialah dalang di sebalik kejadian.

Makhluk itu-seperti yang diperkatakan Penghulu Paduka Haji kepadanya merupakan antara bangsa mereka yang berpaling daripada jalan kebenaran. Bahkan tidak mengejutkan langsung bagi Indah ketika nama tersebut disebutkan sebagai susuk pendamping Kasturi dari alam sebelah yang menjadikan lelaki itu demikian nan tidak terkalahkan oleh para musuh-musuhnya.

Lalu Sapta Adhyasta. Entah apa maknanya, perduli apalah Indah tetapi yang jelas dia terlempar ke situ disebabkan dia merupakan keturunan Haji Latif. Salah seorang antara tiga lelaki yang menghalangi Kasturi daripada terus melakukan kejahatan dan menebar onar ke mana-mana.

Bersama Naufal, Nik, Tun Indera, Aduka, Tun Fatimah, Abu Zarr dan Abu Wassim mereka berpetualangan untuk menangkap semula Marid kerana dialah yang membantu Kasturi dengan kekuatan gelap yang dia miliki.

Sehingga kini bukan sedikit dan kecil rintangan yang telah dihadapinya.Pertembungan terakhir di hujung kampung membawa dia ke tempat aneh ini.

Pasti ! Pasti ini merupakan angkara sihir susuk berselubung tersebut.

" Tidak ada daya upaya kami di hadapan-Mu Ya Mujib. "

Selajur mengungkapkan perkataan tersebut, ratib zikrullah berulang-ulang pada hujung lidah. Zikir yang pernah dilafazkan Nabi Yunus AS ketika berada dalam perut ikan Nun. Zikir yang mengandungi penyesalan dan pengharapan tidak berbelah-bahagi kepada Allah SWT.

Ketika hujung lidah terasa kelu dan segenap penglihatannya perlahan-lahan bertukar daripada suram kepada gelap yang pekat, ketika lututnya mulai tidak merasakan apa-apa disebabkan terlalu lemah dan tidak bertenaga lagi, pada masa itulah mendadak hawa panas menyelimuti tubuhnya. Merambat perlahan-lahan membuatkan Indah membuka kelopak mata.

Bagaikan menyaksikan langit malam ketika petir sabung-menyabung, kesamaran yang menyelubungi tempat tersebut sedikit demi sedikit merekah. Dan dari celah rekahan tersebut ada cahaya yang sangat terang menyilaukan pandangan. Tidak mampu hatta untuk berpaut ke banir pokok sekalipun, tubuh tidak bermaya Indah seperti disedut oleh satu pusaran angin yang sangat kuat.

SAPTA ADHYASTAWhere stories live. Discover now