- 29-

305 41 48
                                    

Pertembungan di halaman rumah limas bertiang tinggi tersebut gegak-gempita dengan suara saling mengelakkan serangan,tangkis menangkis dan mengelak buah pukul dengan buah tangkis.Tidak ada lagi permainan langkah selamat melainkan pertembungan antara yang haq dengan yang batil.

Kuda-kuda dipacak tegap,jari jemari mengirai kembang seperti payung,pukulan demi pukulan saling berbalas. Tapak demi tapak langkah dan tari masuk dengan berisi.Tumbuh berpunca penuh rahsia.Tinggi bertingkat banyak tersirat malahan tidak ada lagi tari tapak penuh santun yang lilit tetapi tidak membelit sementara yang tajam pula tidak menikam.

Segala-galanya terpamer demi mempertahankan kebenaran masing-masing.

Pakchu Deris yang menghadapi serangan susuk tubuh pemuda nan sangar itu terpaksa melonjakkan dirinya lalu mendarat pada bahu kanan.Menjauhi serangan bertali –arus daripada para penyerang yang jelas jauh di atasnya dari segi tenaga dan kekuatan.Adalah amat salah jika kudrat dibalas dengan kudrat tetapi isinya harus dibalas dengan kebijaksanaan kerana akar akal berpulas manakan patah.

Sambil menarik nafas dan cuba menenangkan diri,tapak diseret perlahan cuba mengamati buah yang dipamerkan lawan di hadapannya ketika itu kerana baginya,jika pandai meniti buih-selamatlah badan sampai ke seberang.Tetapi jika menongkah surut mudik ke hulu alamat akan hanyut jua.

Sekilas ada senyum angkuh terpamer pada ulas bibir pemuda yang menjadi lawannya dan itu adalah tanda bahawa dia perlu menghabisi lelaki berusia tersebut dengan sekali serangan lagi. Jika alang kepalang,biarlah jangan.Dengan senyum masih bersisa,lelaki itu berlari tangkas dan tiba sahaja di hadapan Pakchu Deris,dia segera memacak kuda-kuda lalu menghunus keris.

Sambil bertempik dengan lagak pendekar dia menikam lelaki tua yang menjadi lawannya itu sekuat tenaga tetapi mata awas setajam helang Pakchu Deris sudah dapat membaca gerak lawannya.

Keris berlok tujuh dengan pamor keperakan ditujah tepat ke hulu hatinya tetapi sepantas kilat Pakchu Deris melentikkan tubuhnya ke hadapan dan dalam masa yang sama kedua-dua tangannya bersilang menangkap pergelangan tangan penyerang tersebut lalu mengacipnya kejap persis bilah gunting.

Pulasan pantas tetapi bertenaga daripada Pakchu Deris berjaya membuatkan lelaki tersebut tertunduk kesakitan dan kesempatan begitu diambil oleh Pakchu Deris untuk melayangkan satu tendangan ke arah rusuk lelaki itu.

Melihat lawannya terkapar kesakitan,Pakchu Deris menyudahi serangannya dengan satu penumbuk yang tegap dan berat ke arah wajah sehingga mengakibatkan penyerang tersebut terkulai pengsan.

Sementara itu,Haji Al-Attas yang juga diserang serentak oleh beberapa orang lelaki hanya berdiri tenang tetapi matanya mengawasi gerak-geri lawan dengan siaga.Gerakannya buah tangkisnya lembut sahaja tetapi 39 gerak Kipas Nandung yang terpamer dengan seretan langkah dan urai jemari jelas memperlihatkan dia juga bukan susuk renta yang boleh dipandang enteng.

Haji Al-Attas tahu ada sebab lain kepada serangan pada awal malam itu.Diawali dengan nafsu lalu berkembang menjadi dendam dan untuk itu,hanya genangan darah yang mampu memuaskan serakah tersebut.

Serangan mendadak salah seorang daripada penyerang tersebut diperhatikan dengan saksama dan hanya menggunakan kain Rida yang terselempang di bahunya,lelaki tersebut terhumban ke belakang bagaikan dirempuh oleh sesuatu tatkala wajahnya disebat dalam satu gerakan yang pantas.

Dalam masa yang sama pula,Sallehuddin yang dipertanggungjawabkan untuk manjaga susuk Indah dan Naufal itu sedikitpun tidak gentar menghadapi lawannya yang pada ketika itu tampak terlalu bernafsu untuk mengalahkannya dan seterusnya mencederakan jasad Meraga Sukma kedua-dua anak tersebut.

Salah seorang daripada lelaki tersebut mengacu senjata berupa sebilah badik pendek yang jelas tajam berkilat.Sallehuddin yang telah bersiaga melilit kain cindai raja ke pergelangan tangannya pantas mengelakkan diri ke samping dengan membawa kaki kirinya ke belakang. Sementara itu dalam masa yang sama pula menangkap pergelangan tangan lelaki penyerang tersebut dan melipat sendi pergelangan tangan lelaki itu dengan pantas dan cekap.

SAPTA ADHYASTAWhere stories live. Discover now