- 35-

218 32 28
                                    

" Sapta Adhyasta tidak akan lengkap tanpa kamu,anakku." Pakchu Deris hanya mampu memandangi wajah pias anak muda itu dengan perasaan kasihan " Dan kerana itulah kamu terpaksa menempuhi hal-hal yang hampir tidak masuk akal begini."

Nik Aizuddin yang lebih gemar membahasakan dirinya sebagai Nik itu termangu-mangu tidak percaya apabila pandangan matanya hinggap pada dua susuk tubuh yang terbujur di tengah ruang tamu itu.

Seorang pemuda dengan raut wajah cerah sementara seorang lagi terbaring tidak jauh dari situ.Kedua-duanya tampak seperti sedang tidur nyenyak dengan nafas yang berombak perlahan menunjang dada masing-masing.

Walaupun masih belum terlalu pulih,dia berkeras dan tidak mengendahkan larangan ayah dan ibunya untuk memandu bersendirian menuju ke sebuah kawasan perkampungan.Selepas memandu beberapa jam dan kerap berhenti untuk bertanya kepada penduduk yang ditemuinya,akhirnya dia tiba di sebuah rumah dengan halaman yang lusa terjaga.Dan tiga orang lelaki yang menyelamatkannya sudah dua kali itu menyambut ketibaannya dengan riak wajah yang sukar diduga.

Semenjak kejadian mengerikan di hospital beberapa hari yang sudah,kadang dia tidak habis fikir apa sebenarnya yang sedang berlaku tetapi dia tahu jawapan kepada segala pertanyaan yang bersarang dalam kepalanya hanya dimiliki oleh lelaki-lelaki tersebut.Maka,satu-satunya jalan terbaik ialah dengan menemui mereka sendiri.

Terdidik dalam sebuah keluarga moden ,hal-hal begitu merupakan hal yang sangat asing baginya tetapi setelah melalui peristiwa yang hampir meragut nyawanya sendiri, dia tidak mempunyai pilihan lain selain daripada mempercayai nalurinya untuk mendapatkan kepastian daripada mereka bertiga.

" Sapta Adhyasta?" sekali lagi dia bertanya dengan raut kebingungan.

" Apakah Nik sudah benar-benar bersedia?" lelaki yang mengenakan kopiah putih dan sedang duduk di hadapannya itu angkat bicara.

" Apakah saya mempunyai pilihan lain,pakcik?" Nik menegapkan silanya seraya menatap wajah lelaki itu bersungguh-sungguh " Setelah apa yang saya alami sebelum ini?"

" Nik yakin ?" Pakchu Deris pula
mencelah " Mungkin segalanya akan berubah selepas ini."

" Saya tidak tahu jika ia ada kaitan tetapi ibu dan ayah saya hampir sahaja terlibat dalam kemalangan dua hari lepas.Puncanya,ada seseorang yang tidak dikenali berada dalam kenderaan lalu ghaib begitu sahaja "

Sama seperti yang pernah dialami oleh Naufal,sudah tentu hal tersebut bukan sesuatu yang mengejutkan bagi mereka.Mumbala pasti sedang berada dalam situasi sangat terdesak demi menyedari bahawa Nik Aizuddin merupakan satu-satunya kunci untuk memastikan agar segalanya gagal dan keadaan kembali berpihak kepadanya.Dan kerana itulah dia sanggup melakukan apa sahaja termasuklah mengugut dan cuba mencederakan pemuda tersebut dan keluarganya.

" Nik hanya perlu menguatkan semangat.Percayalah.Hal tidak akan menjadi lebih mudah nanti"

" Saya sudah bersedia,pakcik.Cukuplah apa yang telah saya alami sebelum ini dan saya tidak mahu ayah atau ibu saya mengalami hal serupa."

" Tidak ada makhluk yang mampu mendatangkan mudarat tanpa izin-Nya,anakku.Peganglah kenyataan tersebut walau apa sahaja yang akan berlaku.Sesungguhnya tidak ada daya upaya kita tanpa Dia."

*               *               *

Ketika senja mulai menebarkan kegelapan ke segenap pelusuk permukiman dan laungan azan Maghrib perlahan-lahan hanyut dibawa angin semilir yang berhembus perlahan,dua tiga orang di dalam rumah kayu bertiang tinggi itu duduk bercelatuk di beranda.Nyala merah kekuningan pelita ayan samar-samar menerangi ruang tamu dan beranda tidak berdinding rumah tersebut.

SAPTA ADHYASTAWhere stories live. Discover now