-16-

328 48 17
                                    

Nah.Lalu apa lagi yang boleh dilakukan Naufal dalam keadaan begitu ? Hendak berpatah balik dan menarik diri daripada hal yang dipersetujuinya sendiri ketika berada di anjung rumah datuknya,pasti tidak mungkin.

Pasti urat malunya sudah terputus jika dia melakukan hal tersebut namun tatapan para warga yang bagaikan melekat kepada mereka terutama sekali kepadanya dan juga Indah sangat merimaskan.

Di anjung rumah sahaja,sudah ramai yang bersila rapat hampir bertindih lutut sesama mereka bagaikan sedang menunggu kunjungan kerabat dan orang besar istana sedangkan di halaman,perlahan-lahan ramai sekali susuk tubuh yang mendatangi tempat tersebut.Memanjangkan leher bagi meninjau anjung rumah.

Naufal sendiri hampir tidak berani mengangkat wajah kerana pasti tatapan matanya akan berbantur dengan seseorang.Menaiki tangga dia diperhatikan seperti susuk mempelai lelaki yang menapakkan kaki pertama kali ke rumah sang mertua.Duduk dipandang malahan bergerak sedikit sahaja dia merasakan berpasang-pasang mata mengikuti setiap gerak-gerinya.Mahu tidak mahu,Naufal tidak ada pilihan lain selain tersenyum-senyum kambing tanpa sebab yang jelas.

Wajah-wajah bersih itu memandangnya dengan senyuman yang terkembang.Redup dalam nuansa pakaian mereka yang semuanya berwarna hijau muda menghampiri hijau kekuningan.

Selain daripada lelaki yang dikenali oleh Naufal sebagai Penghulu Paduka Haji,ada dua atau tiga orang lagi yang mengenakan pakaian sama sepertinya.Baju labuh sehingga menghampiri buku lali dengan sehelai kain putih diselempangkan ke bahu sementara serban yang melilit kepalanya juga berwarna sama.

Jika Penghulu Paduka Haji mengenakan pakaian seperti jubah dan serban ,para tetamu lain yang bersila hampir memenuhi anjung rumah itu semuanya mengenakan sepasang pakaian yang tidak ubah malaha persis sekali seperti baju yang dikenakan oleh para bangsawan istana zaman dahulu.

Bertanjak atau paling kurang melilit kain semutar ke kepala,mengenakan baju berlengan panjang separas siku daripada kain yang licin dan berkilat lalu menindih baju tersebut dengan sehelai baju luar tidak berlengan yang berwarna hijau muda.Lengkap pula bersampin dan longgokan capal di pangkal tangga membuatkan Naufal pasti belasan capal tersebut adalah kepunyaan mereka.

Berbaju licin bagaikan sutera,lengkap bertanjak dan bersampin dengan pakaian longgar seperti busana khusus para bangsawan di zaman silam dan rasanya Naufal melihat beberapa orang daripada tetamu yang berkunjung ke situ membawa keris dengan meletakkan senjata tersebut di tepi lutut masing-masing.Memiliki pula wajah dengan bingkai wajah yang tegas tetapi tampak berseri-seri.Sepasang kening yang tebal dan hitam dan raut wajah yang putih kemerahan.

Jika lelaki warga permukiman itu sudah cukup aneh pada mata Naufal,kaum wanitanya lagilah.Menyamai nuansa warna pakaian yang dikenakan para warga lelaki,kaum wanitanya yang setakat ini hanya boleh dihitung dengan jari-itupun barangkali mereka merupakan isteri dan anak gadis Penghulu Paduka Haji – juga mengenakan pakaian dalam warna yang sama.Berbaju hijau muda yang labuh dan longgar dengan tudung labuh berwarna putih.

Hanya sekilas ekor mata Naufal menangkap kelibat dua susuk tubuh yang bertudung labuh itu tatkala mereka menolak dulang yang menadah cawan-cawan kaca yang juga berwarna hijau kekuningan dari sebalik selekoh.

Jika bukan Tun Indera pasti Aduka yang berdiri untuk mengambil dulang tersebut lalu menatang dulang itu menuju ke anjung rumah dan meletakkan cawan itu di hadapan para tetamu. Menghidangkan cicipan sebagai tanda menghargai kesudian tetamu berkunjung ke ke teratak mereka.

" Silalah,anaknda Naufal.." Senyuman Penghulu Paduka Haji masih tidak berpisah daripada ulas bibirnya " Tidak ada apa-apa yang perlu ditakutkan.Hanya rendaman kurma dan sedikit madu .Bagus untuk menghilangkan lelah."

SAPTA ADHYASTAWhere stories live. Discover now