-17-

344 45 23
                                    

Berada di permukiman tersebut buat beberapa hari,Naufal merasakan dia semakin memperolehi semula tenaganya dan tidak lagi terasa rusuknya sakit setiap kali dia menarik nafas.

Barangkali berkat urutan pada tangan dan kakinya,dia juga semakin cergas untuk melangkahkan kaki dan untuk itu dia sememangnya patut berterima kasih kepada Penghulu Paduka Haji .

Begitu juga dengan air rebusan herba dan akar-akar yang diberikan kepadanya setiap pagi dan malam.Kedua-duanya berhasil membuatkan tubuh Naufal terasa semakin sihat dan kembali bertenaga.

Dan petang itu dengan ditemani oleh Indera dan Aduka,kedua-dua pemuda itu berbaik hati untuk menemaninya berjalan-jalan mengitari kawasan perdesaan.Indah juga dan sudah pasti gadis tersebut ditemani oleh adik Indera yang dikenali Naufal sebagai Tun Fatimah.

Sepertinya tidak nyaman berada dekat-dekat dengan mereka bertiga,Indah dan Tun Fatimah berdiri sedikit jauh tetapi masih berada di dalam jangkauan penglihatan dan pengawasan mereka terutama sekali Indera yang jelas menoleh sesekali ke arah adiknya itu.

" Ini.." ibu jari Aduka yang berkuku pendek dan bersih itu menunding ke atas " Gerbang Utara Permukiman Desa Kuning Gading.."

Naufal mendongakkan kepala dan lagi-lagi dia menggumamkan puji-pujian kepada Sang Maha Pencipta.

Tinggi di atas kepalanya,satu gerbang yang kukuh kelihatan sayup dalam juraian awan yang nipis dan berdiri di bawahnya membuatkan Naufal menyedari betapa kerdilnya dia .Hanya barangkali seperti satu titik kecil dalam lautan yang sukar sekali untuk dilihat.

Gerbang yang tinggi dan kukuh itu tampak berkilauan dalam sinaran matahari dan besar keyakinan di dalam hati Naufal bahawa gerbang tersebut diperbuat daripada perak waja yang ditempa dan dicanai sehingga melengkung indah begitu.Ada pula ukiran-ukiran timbul seperti motif awan larat yang bergabung dengan motif bunga-bungaan yang halus buatannya.

Tiang pintu gerbang tersebut tersembunyi pula di dalam rimbunan pohon berdaun lebat nan rimbun dengan rumpun bunga Melur yang menguntumkan kudup-kudup putih berbau harum memenuhi pangkal pohon.

Jika pangkal gerbang tersebut dipenuhi dengan pohon hijau ,ada pula tumbuhan menjalar yang merambati gerbang perak tersebut .Saling melilit antara satu sama lain dengan daun-daun sebesar tapak tangan yang juga meriah mengeluarkan putik bunga berkelopak lima yang berwarna putih dan menebarkan bau harum .Tanaman merambat tersebut sebahagiannya meliliti gerbang tetapi ada juga yang berjuntai malahan hampir mencecah kepala mereka.

" Termasuk gerbang ini,ada lagi tiga gerbang lain.Gerbang Timur,Gerbang Selatan dan Gerbang Barat."

Tidak ada kata yang terluah melainkan anggukan daripada Naufal.Hanya matanya sahaja merayapi pemandangan sekitar dengan Tahmid yang menggema di dalam dada.

Di hadapannya,hanya berjarak beberapa depa daripada gerbang di mana mereka berdiri-tersaji satu lagi pemandangan yang membuatkan lidah Naufal menjadi kelu buat beberapa ketika.Akalnya bagaikan beku dan tidak mampu untuk berfikir dengan lebih waras.

Seperti gumpalan awan,ratusan bongkah tanah terapung-apung di hadapannya dengan setiap satu daripada bongkahan tanah tersebut juga memiliki pintu-pintu gerbang yang sama seperti gerbang yang menaungi kepalanya ketika itu.Salah satu bongkahan tanah yang berarak perlahan bagaikan awan yang di puput angin melintasi mereka dan sekali lagi Naufal tergamam.

Bongkahan tanah tersebut jelas dalam pandangan matanya.Ada bukit-bukau yang menghijau,lembah-lembah dengan sungai dan jeram yang mengalirkan air malahan di celah-celah rimbunan pohon,kelihatan pula ratusan rumah penduduk .Tidak ketinggalan dengan kelibat beberapa orang penduduk yang sibuk mengerjakan sesuatu di halaman rumah masing-masing.

SAPTA ADHYASTAWhere stories live. Discover now