- 42-

191 29 23
                                    

PUSAT PERUBATAN AL-QUDS

" Assalamualaikum..."

Demi mendengar salam tersebut ditujukan kepadanya,selajur dia menoleh dia pantas bangkit dari sofa panjang yang didudukinya sejak hampir lima belas minit tadi.Hari sebenarnya terbilang agak panas dengan sinar matahari yang condong sepenggalah tersebut menerobos melalui dinding kaca yang jernih lalu bertembung pula dengan dingin hawa dari pendingin hawa di atas siling,suasana sekitar ruangan lobi terasa lebih nyaman dan dingin.

Ruang lobi Pusat Perubatan Al-Quds tersebut hampir lengang kerana waktu melawat hanya akan bermula sekitar jam dua belas tengah hari.Hanya ada kelibat para petugas kebersihan yang cuba menyudahkan pekerjaan mereka masing-masing.Tanaman hijau renek yang ditata kemas tegak dalam limpahan sinar matahari di tepi dinding kaca sedangkan kawasan letak kereta juga tidak terlalu sesak seperti pada waktu puncak.

" Walaikumsalam.."

" Ustaz Fahri?"

 " Ah,iya." Pantas dia menganggukkan kepala lalu melontarkan sebingkai senyuman."Saya Fahri.."

Lembut dan takzim sekali pemuda itu menyambut jabat daripada tiga susuk tubuh yang kelihatan hampir sebaya tersebut dan ketika tatapannya hinggap sekilas kepada wajah yang dibingkaikan dengan kerudung labuh hitam ,dia mengangguk sekilas lalu memalingkan wajahnya perlahan-lahan.

" Ustaz Fahri yang telefon saya semalam?"

Mendengar persoalan daripada lelaki separuh usia yang menyarung batik warna gelap itu,pemuda tersebut pantas tersenyum.Menghulur genggaman kejap sebagai tata karama dan santun kepada seseorang yang jauh lebih berusia daripadanya.

" Pakcik boleh panggil saya Fahri sahaja.Gelaran ustaz tu terlalu berat untuk saya pikul."

"Baiklah,Fahri." Salah seorang daripada tiga lelaki tersebut mencelah dan mengambil tempat duduk di hadapan pemuda itu." Ada apa Fahri cari pakcik?"

Sesiapa sahaja pasti akan tersilap memanggil pemuda itu sebagai ustaz demi melihat tampangnya ketika itu.Susuk lampainya disamarkan oleh jubah putih yang membungkus tubuhnya dan jatuh elok sedang muat pada rangka bahu yang tegap landai.

Walaupun tidak melilit kepalanya dengan menggunakan serban namun serkupan kopiah putih serta raut wajah teduh setiap kali dia tersenyum itu sudah cukup membiaskan nuansa nyaman dan menyenangkan jika memandanginya walau hanya beberapa detik.

Sinar mata yang tidak tajam tetapi tenang dengan sepasang kening melintang tebal dan rapi.Lalu wajah bersih serta lekuk yang melintang panjang pada kedua-dua pipinya setiap kali dia tersenyum.

" Maaf kalau apa yang bakal kita tanyakan nanti akan menyinggung pakcik dan makcik.Apa benar kita sedang bercakap dengan waris kepada pesakit yang sedang berada di dalam wad ICU-HDW bilik nombor 8?"

Sekilas lima pasang mata tersebut saling bertukar pandang sesama mereka sebelum akhirnya lambat-lambat menganggukkan kepala.

" Saya Zamihan.Ayah kepada Indah.Dan ini ayah saya,Daeng Idris."

" Saya pula Sallehuddin ayah Naufal."

"Dan ini pasti merupakan ayah dan ibu kepada Nik Aizuddin? Betul?"

ibu jari berkuku pendek dan bersih itu menunding sopan kepada pasangan suami-isteri yang sejak dari tadi hanya mendiamkan diri dan hanya mencelah sekali dua.

"Maafkan kita.Ada hal yang perlu kita tanyakan dan kerana itu kita berusaha untuk mendapatkan nombor telefon pakcik dan makcik."

Daeng Idris yang lebih mesra dikenali sebagai Pakchu Deris itu menatap dalam-dalam wajah teduh tersebut tanpa berkedip.Bukan soal dari mana dia mendapatkan nombor telefon mereka yang menjadi punca persoalan di dalam benaknya kini tetapi dari gaya pemuda itu menyusun kata.Tampak sangat berhati-hati seperti ada sesuatu tergantung pada lidahnya yang terlalu berat untuk diperkatakan.

SAPTA ADHYASTAWhere stories live. Discover now