-28-

274 42 26
                                    

Keriut daun pintu yang ditutup semula membuatkan lelaki itu menoleh ke belakang.Seri Mastika dalam wujud seorang gadis bermata jeli nan menawan itu ditatapnya sekilas sebelum dia kembali menghadap ke arah jendela yang terbuka di hadapannya.

Mukim Rawa Jejawi senyap seperti biasa. Ada angin yang membawa haruman bunga liar dan sesekali mengelus helaian langsir putih yang tergantung pada bingkai tingkap.

Lelaki itu-Penghulu Rentaka- si penguasa mukim Rawa Jejawi sesekali melepaskan nafasnya yang berat.

" Berapa lama lagi Seri berniat menyembunyikan pemuda itu
di sini? "

Seri Mastika tidak meningkahi pertanyaan sang ayah tetapi sebaliknya mengeluarkan sebuah bekas berupa peti kayu daripada almari besar berhampiran pintu.

Penghulu Rentaka jelas tidak senang dengan tindakan Seri Mastika menculik pemuda tersebut namun dia juga sedar tidak ada apa-apa lagi yang boleh dilakukannya. Melihat sang anak menghiris butiran pinang dari dalam tepak sirih tembaga di hadapannya, Penghulu Rentaka tahu Seri Mastika sedang meracik ramuan pelupa dan akan diseduh untuk diberikan kepada Naufal.

Bukan sekadar seduhan biasa, ramuan tersebut juga diadun dengan cuca pengasih yang akan membuatkan pemuda itu lupa segala-galanya.

"Apa belum cukup kejadian
sebelum ini ?"

Seri Mastika masih tidak menyahut dan dalam masa yang sama tangannya tetap rancak meranjang bahan berupa akar-akar kayu dan daun kering lalu dimasukkan ke dalam sebuah bejana tanah liat.

" Gara-gara Seri menyembunyikan seorang pemuda lama dulu, seluruh perkampungan kita musnah dan kita terpaksa berpindah. "

" Seri tahu apa yang Seri lakukan, Bapak. "

" Tapi pemuda itu Naufal Hatta, Seri. Keturunan kepada salah seorang daripada lagenda Sapta Adhyasta. Malahan Seri melarikannya daripada kaum Nashibain."

" Apa masih belum jelaskah niat Seri pada mata Bapak? Seri melakukan segalanya supaya mereka dipersalahkan  atas kehilangan raga sukma pemuda tersebut! "

Penghulu Rentaka mengetap giginya kurang senang. Kali terakhir Seri Mastika membawa seseorang dari alam manusia lama dulu telah membuatkan seluruh permukiman mereka hancur hampir tidak bersisa digempur Ustaz Mustafa sehingga memaksa mereka berpindah ke Rawa Jejawi.

Jika Seri Mastika tidak berdegil dan menyerahkan sahaja pemuda itu tanpa berdolak-dalik, semua kejadian tersebut tidak akan berlaku.Dan kini, hal itulah yang mahu dielakkan oleh Penghulu Rentaka.

Ustaz Mustafa masih terbilang mujur jika dibandingkan dengan para pemegang Sapta Adhyasta yang kisah mereka sudah melang-buana di alam sebelah.Mereka ada sesuatu yang membuatkan hampir tidak ada sesiapa pun di alam sebelah yang tidak mengenali mereka.

Mumbala, si manusia andalan yang memperolehi kekuatan dari alam sebelah sahaja boleh takhluk dan dikalahkan ratusan tahun silam. Dan kini tahu-tahu sahaja salah seorang daripada keturunan yang dihormati oleh kaum atas dan digeruni oleh kaum bawah itu disembunyikan di dalam permukiman mereka di Rawa Jejawi!

Selama ini Penghulu Rentaka tidak pernah mahu mengambil tahu kebiasaan anaknya itu. Bukan tidak pernah Seri Mastika menyembunyikan para pemancing yang tidak sengaja menemui Rawa Jejawi. Aturan alam mereka jelas. Menjalani hidup masing-masing tetapi manusia ada kalanya suka melampaui batas dan garis yang telah ditetapkan.

Manusia yang menemui Rawa Jejawi kadangkala melakukan sesuatu yang menyinggung para penduduk permukiman sehingga mengakibatkan mereka menerima padahnya. Hanya sahaja perlakuan para warga permukiman  sebatas menjelmakan diri menjadi susuk yang menggerunkan tetapi tidak ada yang bertindak berani seperti Seri Mustika sehingga nekad menyembunyikan manusia dari alam kasar kerana masing-masing arif natijah yang bakal mereka hadapi.

SAPTA ADHYASTAWhere stories live. Discover now