-26-

282 40 14
                                    

Nyaman. Harum dan lembut seperti sapaan angin semilir yang membawa bersama haruman misik lambat-lambat memasuki relung indera bau membuatkan Naufal berkalih tubuh lalu mengeratkan jangkauan kejap lengannya.

Wangi. Bantal gebu yang lembut bagaikan sedang berbaring di atas longgokan kapas malahan bantal peluk yang didakapnya itu juga tidak kalah harum dan luar biasa menyenangkan.

Ada pula selimut lembut terasa menyerkupi tubuhnya dan tiupan angin yang nyaman itu mengakibatkan sekujur tubuh Naufal yang lelah betah sekali berlama-lama baring di situ. Walau ia merupakan mimpi sekalipun, biarlah dia berbaring  sebentar sahaja lagi.

" Kanda.. "

Nada suara lembut dan halus itu menendang gegendang telinganya dan dengan kesedaran yang masih belum terkumpul semuanya, Naufal lambat-lambat membuka mata.

Dan buat beberapa detik deretan bulu mata yang lentik memagari sepasang mata hitam dan bundar itu memaku pandangan mata Naufal.Ada alis rapi juga hidung mancung yang diapit pipi kemerahan tanpa cela. Lalu bibir merah yang merekah menguntumkan senyum bak delima ranum di hujung dahan.

" Kanda? "

Mata jeli nan menawan itu meredup seketika tetapi ia segera membola tatkala Naufal melompat kaget bingkas dari serkupan selimut.

Susuk tubuh dalam balutan pakaian sutera putih longgar itu terundur ke belakang apabila Naufal meligas ke kiri dan ke kanan memerhatikan keadaan ruangan tersebut seperti rusa ketakutan.

Bukan sahaja kehadiran susuk tubuh wanita bertampang rupawan yang mengejutkan Naufal malahan seluruh ruangan itu membuatkan otaknya seperti terhenti untuk seketika.

Naufal meraba lengan dan wajahnya bagaikan orang hilang akal. Baju tanpa lengan daripada songket putih keperakan mendakap tubuhnya. Lalu kepalanya dipalingkan semula ke belakang dan wajah terperanjat wanita tersebut mengisi seluruh penglihatannya.

Ada katil luas bertiang empat yang terletak berhampiran dinding. Alas katil yang tebal dan empuk lalu kelambu jarang yang menyerkupi katil tersebut. Tiga daripada penjuru kelambu itu dibiarkan berjuntai sementara pada satu sisi ia diikat ke arah tiang katil. Segalanya berwarna putih. Dari cadar, kelambu sehingga kepada bantal dan selimut serta langsir yang meliang-liuk ditiup angin.

Masih dalam keadaan yang tidak percaya, Naufal bergegas menuju ke jendela. Ada halaman yang luas dengan pohon-pohon hijau memagari halaman yang tidak berumput. Malahan mata Naufal sempat menangkap selisir atap rumah yang berukir kemas.Begitu juga dengan daun tingkap yang terbuka luas. Ada corak awan larat dan bunga-bungaan yang jelas dalam penglihatannya.

" Ddhiimannaaa ssayya? "

Naufal tidak berani berganjak dari tempatnya berdiri dan dalam masa yang sama matanya kembali merayapi perincian-perincian kecil di dalam bilik tersebut. Selain katil bertiang empat, ada almari besar dan meja yang lengkap dengan cermin.Lalu ada pula perhiasan-perhiasan kecil tembaga berupa dulang  pelbagai saiz dan pada dinding berhampiran pintu jelas kelihatan dua bilah keris dilekat bersilang antara satu sama lain.

" Kanda.. " wanita bersanggul kemas itu menguntumkan senyuman sekali lagi lalu menapak menghampiri Naufal yang terundur ketakutan.
" Bertenanglah. Kanda selamat dan itulah perkara yang penting
buat dinda. "

Serta-merta ada rasa berdenyut yang menyerang membuatkan Naufal tertunduk sambil mencengkam bingkai jendela. Ingin Naufal menepis jari-jemari berkuku runcing wanita tersebut yang pantas menyambar bahunya tetapi denyut kepalanya terasa memeningkan dan dia hanya mampu pasrah ketika tubuhnya dipapah menuju ke arah katil semula.

Masih memicit pelipis, Naufal kembali melabuhkan duduknya di hujung katil sementara wanita tersebut tergesa-gesa menyelit dari celah pintu.

Hairan pemuda itu memang tidak habis memikirkan bagaimana dia boleh berada di situ sedangkan ketika melabuhkan baring sebelumnya, dia berada sebelah menyebelah dengan Aduka. Tetapi kini?

SAPTA ADHYASTAWhere stories live. Discover now