-12-

305 54 21
                                    

Tuan Sallehuddin sudah tidak tahu hendak mengatakan apa lagi apabila batang tubuh anaknya mundar-mandir di ruang tamu sambil merungut tidak tentu butir bicara. Bukan tidak diterangkan kepada Naufal namun anaknya nan seorang itu tetap sahaja tidak perduli malahan kata-kata yang terhambur daripada dua ulas bibirnya kadangkala tidak masuk akal.

" Ayah berharap saya akan percaya semuanya? "

Sepertinya Tuan Sallehuddin semakin mati kutu dek pertanyaan Naufal.

" Naufal, ada beberapa perkara di dalam dunia ni yang jauh daripada perkataan logik tapi ia benar."

" Jangan babitkan hal lain. "

Naufal bingkas bangun seraya menatap tajam wajah sang ayah yang hanya mampu mendengus kasar.

" Saya bercakap soal Kasturi dan Tun Indera. Ayah fikir saya akan menerima semua itu dengan mudah dan percaya bahawa saya merupakan antara mereka yang terpilih untuk mengurung Kasturi semula? "

Jika sahaja tidak mengandaikan yang Penghulu Paduka Haji akan berkecil hati dengan kelakuannya, pasti dia tidak akan teragak-agak untuk tertawa sebaik sahaja perbualan panjang malam tersebut disimpulkan dengan kenyataan bahawa dia adalah antara mereka yang terpilih untuk mengurung Kasturi semula sebelum dia bermaharajalela lagi menebar onar di mana-mana seperti ratusan tahun yang silam.

Kisah fantasi dengan plot begitu hanya wujud di dalam novel ataupun drama televisyen. Kisah di mana keamanan dunia berada di dalam genggaman sekumpulan anak muda yang tidak tahu apa-apa. Lalu kemudian terlibat dalam pengembaraan aneh-aneh malahan berperang pula menentang kuasa kejahatan dengan menunggang naga bersisik besi !

Tidak. Naufal tidak berada di dalam dunia imaginasi begitu melainkan hidup di dalam dunia nyata abad ke-21 !

" Naufal! "

" Maafkan saya, ayah." Naufal yang baru melabuhkan punggungnya di atas muka kusyen itu bingkas lagi seperti terduduk di atas ribuan paku tekan yang ditabur sebarangan." Walau apa sahaja yang ayah katakan, saya tidak akan perduli. "

Lalu tanpa mengatakan apa-apa, diraihnya beg sandang yang hanya berisi komputer riba lalu pantas pula jarinya mencapai kunci kereta yang tersangkut pada paku di tepi tingkap.

" Kalau pun Naufal tidak mahu mempercayai semuanya, tunggu hingga pagi esok. Hari sudah larut malam ni. "

Datuknya yang sejak dari tadi hanya menjadi pemerhati pertengkaran dua beranak itu mendadak angkat suara apabila melihat susuk tubuh Naufal tergesa-gesa mencari kasut sementara sang ayah hanya memicit dahi yang pastinya dirasakan berdenyut ketika itu.

Bukan dia tidak terkilan dengan telatah sang cucu tetapi dia juga tidak menyalahkan Naufal seratus peratus. Bayangkan sahaja. Naufal yang beberapa jam sudah hanya pemuda biasa dalam tahun akhir pengajiannya dan sedang menghabiskan baki cuti semester tiba-tiba sahaja dihadapkan dengan kenyataan bahawa dia merupakan mereka yang terpilih untuk menghalang suatu kuasa kejahatan daripada bermaharajalela.

Bunyinya memang terlalu melampau tetapi itu adalah kenyataan yang harus dihadapi Naufal kini.

Di tengah suara ayahnya yang meninggi, Naufal menghenyakkan punggung ke ruangan tempat memandu.Enjin dihidupkan dan stering dipulas tanpa sedikitpun rasa ragu.

Hanya berbaki lima belas minit sebelum jam lima pagi.Bulan pucat semakin condong dan tenggelam ke ufuk Barat dan embun jantan mulai gugur seperti tepung yang diayak. Singgah ke permukaan daun lalu membentuk titisan air yang halus dan bergayut pada hujung-hujung rumput.

Enjin menderam tatkala Naufal menekan pedal minyak membuatkan kenderaan yang dipandunya itu bergerak meninggalkan halaman rumah kayu bertiang teras Cengal itu,menyisakan kesan tayar pada permukaan tanah yang ditaburi batu-batu kerikil.

Dengan rasa jengkel masih bersisa, Naufal menekan punat radio digital yang sudah ditala frekuensinya tetapi apa yang kedengaran daripada pembesar suara hanyalah bunyi berdesis-desis seperti gelombang radio tersebut hanyut dibawa angin entah kemana-mana.

Jalan berturap yang menghubungkan kampung dimana datuknya menetap itu dengan pekan terdekat masih terbilang agak jauh dan tanpa lampu jalan - kegelapan malam merajai penglihatannya ketika itu.

Pohon-pohon getah muda yang mengapit kiri dan kanan jalanraya tegak dalam rengkuhan malam yang semakin tua. Naufal tidak perduli sama sekali. Apa yang penting baginya adalah segera meninggalkan kampung tersebut dan dongeng mengarut tentang Kasturi yang jelas sekali tidak masuk akal.

Naufal menggosok hidungnya yang mulai terasa dingin apabila suhu pendingin hawa yang dihidupkannya terasa membungkus tubuh.Aneh apabila bau yang menyeruak meresapi hidungnya bukanlah bau Lavender biasa yang terbit daripada uncang berisi kuntum-kuntum kering bunga ungu tersebut melainkan suatu bau yang luar biasa.Seperti bau gabungan antara bunga Melur dan Cempaka yang samar-samar. Harum. Sejuk.

Sambil mengerling meter penunjuk kelajuan yang jelas memperlihatkan jarum meter melekat pada angka 100,dia kembali memusatkan tumpuannya kepada keadaan jalanraya dihadapannya.Lengang dan sunyi.

Sememangnya bukan tidak ada kenderaan yang melalui jalan tersebut tetapi kerana hari sudah menghampiri Subuh, tidak hairan andainya keadaan senyap sunyi. Sorotan lampu kereta yang dipandu Naufal menjadi satu-satunya cahaya terang yang membelah kepekatan malam.

Sekilas. Hanya amat sekilas entah bagaimana ekor mata Naufal menangkap satu susuk tubuh berselubung yang sempat disuluh oleh lampu kanan kereta dipandunya. Naufal berdecih seraya mencebik.

Dimulakan dengan bau harum meringin yang sejuk menusuk hidung lalu kemudian kepada sekelibat bayangan aneh yang berdiri di sisi kanan jalanraya. Permainan minda apa lagi yang akan muncul?  Bentak hati kecil Naufal. 

Alasan yang terlalu sederhana. Apabila tubuh sudah mulai lelah ditambah pula dengan simpang-siur fikiran yang bercelaru, fikiran akan mudah dimanipulasikan. Bayang-bayang pohon sahaja boleh jadi dianggap kelibat manusia berselubung.

Namun tatkala Naufal mengerling cermin pandang belakang sekilas, satu bingkai wajah dengan sepasang mata tajam sedang memandangnya sambil menyungging senyum sinis!

Merasakan adrenalin merenjat serta-merta ke dalam pembuluh darahnya, Naufal memutar stering ke arah kiri dan menekan brek sekuat-kuat tenaganya sehingga menyebabkan tali pinggang keledar yang mendakap dadanya menyentak kuat.

Dan ketika itulah, Naufal merasakan segenap bulu romanya meremang.Sekujur tubuhnya terasa dingin namun aneh bagaimana ada peluh yang timbul merenik-renik lalu berjejer menuruni pelipis. Dengan tangan yang menggeletar dek serbuan rasa terperanjat dengan bingkai wajah aneh itu, Naufal menoleh perlahan-lahan bersama leher dan otot bahu yang kaku.

Kosong. Hanya ada bangku penumpang tidak berpenghuni!

Degupan jantung Naufal bertambah laju dipacu adrenalin yang menyeruak memaksanya mahu tidak mahu kembali memandang lurus ke hadapan dengan kepala terasa mengembang.

" Allahu Akhbar!! "

Naufal terpekik tanpa sedar apabila satu susuk tubuh berselubung sedang bertenggek separuh melutut tepat di atas hud hadapan keretanya dan memandangnya sambil menyeringai.

+             +             +

Indera bingkas bangun daripada kejap silanya sambil meligaskan kepala dengan pantas. Pintasan naluri aneh merentap rasa hatinya ketika itu dan entah mengapa serta-merta wajah Naufal menyambar sekilas. Semutar hijau muda diraih sepantas kilat dan diikatkan ke dahi lalu menyambar keris berlok sembilan yang tergantung di tepi tingkap.

" Naufal! "

Begitu katanya sebelum melompat melangkahi tiga anak tangga dan menghilangkan diri di celah senja yang mulai remang.

+             +             +

SAPTA ADHYASTAWhere stories live. Discover now