-EPILOG-

212 27 38
                                    

Langit kelihatan tinggi sekali memayungi kawasan berbatu nan tandus tersebut. Juraian awan yang nipis terapung tenang di langit Selatan seakan-akan membiarkan sinar matahari berleluasa menyentuh permukaan tanah keperangan dengan bonggolan batu di mana-mana.

Jabal Arafat. Terletak di arah timur Mekah. Sebuah kawasan berbukit berketinggian kira-kira 70 meter yang didominasi dengan warna keperangan daripada batuan granit.Lebih dikenali dengan nama Jabal Rahmah. Puncak yang menyaksikan junjungan SAW menyampaikan khutbah terakhir kepada umat Islam yang bersama baginda mengerjakan ibadat haji sebelum wafat.Juga tempat pertama Nabi Adam AS dengan Hawa bertemu semula selepas diperintahkan turun ke dunia.

Dari kejauhan, warna perang bukit tandus tersebut hanya diselang-seli dengan bintik putih pakaian ihram para jemaah seakan sekawan semut yang bertatih mendaki bongkahan batuan secara perlahan-lahan.

Meski matahari tegak di atas kepala, angin yang berhembus perlahan-lahan seperti berjaya mengusir haba panas dan menjadikan kawasan tersebut mewah dalam limpahan cahaya matahari tetapi tidak panas seperti kelaziman cuaca di kawasan gurun.

Punat tasbih digital yang melekap pada jari telunjuk kanan ditekan setiap kali langkah diatur menapak permukaan kasar jalan berbatu menuju ke puncak Jabal Arafat.Menggumamkan takbir di dalam hati seiring langkah yang diatur tidak tergesa-gesa.

Seperti memberikan peluang kepada Indah untuk menikmati masanya sendiri, ahli keluarga yang lain yakni ibu-ayah-kakak dan datuk serta neneknya sudah puluhan langkah di hadapan. Mendaki tangga batuan sambil sesekali menoleh ke belakang bagi memastikan anak itu tetap berada dalam jangkauan penglihatan mereka.

Indah yang sememangnya tidak suka bercakap bertukar menjadi lebih pendiam sejak kejadian tersebut. Ketika rancangan menunaikan umrah seisi keluarga itu seperti akan dibatalkan demi melihatkan keadaan Indah yang masih belum pulih sepenuhnya, dia yang paling kuat menentangnya dan berkeras agar rancangan tersebut diteruskan.

Walaupun keadaan fizikalnya tidak membimbangkan tetapi jelas kepada mereka kejadian aneh yang menimpa Indah beberapa bulan lepas itu seakan-akan meninggalkan trauma kepadanya.

Mengalami hal tersebut pasti jauh lebih membingungkan berbanding hanya mendengarnya.Dan bagi Indah sendiri, ia merupakan pengalaman yang tidak akan dapat dilupakan sepanjang hayatnya.

Indah kadangkala tidak tahu bagaimana hendak menisbahkan hal tersebut dengan logik akal kerana ia berada di luar nalar.Malahan pengalaman derianya terasa begitu nyata sehingga dia sendiri sukar membezakan apakah segala yang berlaku tersebut merupakan realiti ataupun sekadar mimpi mainan tidur.

Semuanya nyata. Tun Indera, Aduka, Abu Zarr, Abu Wassim dan juga Tun Fatimah serta bingkai wajah Penghulu Paduka Haji. Bukan itu sahaja. Bagaimana mereka terlibat dalam perseteruan aneh,pertempuran ketika pertama kali menjejakkan kaki ke permukiman Pauh Janggi malahan peristiwa ketika dia dilarikan ke dalam gua itu terlalu jelas untuk dikatakan sebagai khayalan.

Pun begitu, seperti yang telah Indah sematkan baik-baik ke dalam hatinya-dia tahu kejadian tersebut hanyalah salah satu asbab untuk kejadian lain yang lebih besar hikmahnya. Tidak lagi melihat kelibat aneh merupakan antara hal yang amat disyukurinya.

Dia tidak tahu bagaimana hal tersebut boleh berlaku tetapi sebaik sahaja kembali tersedar daripada koma beberapa bulan yang sudah, sepertinya dia sudah sembuh daripada sakit yang dihidapinya sejak kecil itu.

Ya. Dia perlu membuka lembaran baru dalam hidupnya dan diberikan peluang untuk berkunjung ke tanah berkah pilihan Allah itu antara titik permulaan dalam fasa kehidupannya sebagai seorang Indah Nasuhah yang normal.

Dia ingin kembali semula ke tanah air selepas menyelesaikan rukun Umrah nanti sebagai seseorang yang baru. Seseorang yang lebih mentaati agama dan mencuba sehabis daya untuk menyelesaikan urusan agama dengan sebaik-baiknya. Menjadi seorang anak yang lebih baik untuk kedua-dua ibu bapanya. Menjadi cucu yang tidak lagi menimbulkan kerisauan kepada datuk dan neneknya ataupun menjadi seorang adik yang boleh dibanggakan.

SAPTA ADHYASTAWhere stories live. Discover now