-6-

345 57 17
                                    

Tatapan mata Penghulu Paduka Haji saling silih berganti diantara wajah Indah dengan wajah Naufal.Buat kali pertama dia melihat keturunan ke tujuh dua daripada tiga sahabatnya selepas suatu tempoh masa yang sangat lama.

Naufal, generasi ke tujuh Imam Muhammad itu kelihatan tidak selesa sekali. Sejak kedatangannya bersama Haji Al-Attas dan Sallehuddin, pemuda itu sesekali hanya menghirup teh yang dihidangkan di hadapan mereka dan senyap bagaikan tidak pernah diajari bagaiman hendak bercakap.

Seperti kelibat Imam Muhammad, Naufal kelihatan saling tidak tumpah dengan susuk tubuh sahabatnya itu. Naufal yang tinggi lampai dan berbahu tegap itu tampak kemas dalam penampilannya lewat petang tersebut.

Rambut hitamnya dipotong kemas dan pendek tetapi ditata menutupi dahi dan mengenakan kaca mata berbingkai hitam.Memiliki sepasang mata yang jernih dan hidung mancung serta bibir kemerahan menyisakan garis-garis tampan yang mengalir dalam darah keturunan mereka yang berasal dari Jazirah Arab di benua sebelah.

Haji Muhammad -antara sahabat terbaiknya yang berganding bahu sebelah menyebelah membanteras kejahatan dan juga menyebarkan syiar agama ke segenap pelusuk desa ketika itu malahan Haji Muhammad juga adalah antara pengasas awal Pondok Darul Fallah bersama Haji Latif dan Syeikh Abu Mutalib ketika itu.

Pemuda berusia lewat dua puluhan itu adalah antara yang termuda dalam rombongan pedagang yang singgah di kawasan permukiman tersebut ketika kampung itu masih boleh dibilang dengan jari jumlah penduduknya. Terkenal dengan keelokan paras dan juga ketinggian budi serta sopan santun.

Sementara itu,  di ambang pintu dengan duduk bersila tetapi sedikit tersorok di belakang sang nenek-wajah dan gerak-geri gadis yang dikenalinya sebagai Indah itu selalu sahaja berjaya menguntumkan senyum di bibir Penghulu Paduka Haji.

Gadis tersebut kelihatan tidak terlalu kurus dan tidak juga kelihatan terlalu berisi. Malah tingginya juga terbilang melebihi ketinggian gadis-gadis biasa. Walaupun mengenakan tudung tetapi bahasa tubuhnya tidak memperlihatkan yang dia adalah seorang gadis yang lemah-lembut.Langkahan kakinya tidak lebar tetapi bersaiz sebahu yang tampak tegap dan tegas.

Jika Naufal adalah seperti salinan kelibat Haji Mahmud, Indah pula tidak mirip langsung dengan Haji Latif. Walaupun wajah Indah tampak lembut jika tersenyum, namun dalam keadaan dia berdiam diri begitu ada sesuatu pada sinar wajahnya yang diam-diam menerbitkan rasa segan dan hormat. Wajah teduh Indah menyejukkan mata memandang tetapi tatapan mata gadis itu akan berubah tajam jika hatinya sedang tidak nyaman.

Dengan kulit yang cerah, wajah teduhnya dipayungi oleh sepasang kening yang hitam tetapi tidak dirapi-rapikan seperti kebanyakan gadis. Seimbas pandang, Indah seperti memiliki sisi lembut dan tegasnya sekaligus. Tetapi yang jelas, kesan aneh wajah gadis itu akan lenyap apabila dia tersenyum dan garis-garis tegas wajahnya sirna dek lekuk pipi kanannya yang dalam dan deretan giginya yang putih bersih.

Azan Isyak yang berkumandang sayup-sayup dibawa angin menebar ke segenap ceruk kampung tersebut sudah lama berlalu.Buat pertama kalinya selepas puluhan tahun, Solat Isyak malam itu diimamkan oleh Haji Al-Attas.

Lalu nostalgia  lama liku-liku perjalanan persahabatan mereka kembali terimbau membuatkan Penghulu Paduka Haji hampir menitiskan air mata demi melihat satu-persatu wajah keturunan para sahabatnya yang sangat dirinduinya ketika itu.

Tidak menyangka sekali lagi mereka berdiri dalam barisan saf yang sama seperti waktu dulu walaupun yang tersisa hanyalah cucu cicit keturunan sahabat-sahabat baiknya sahaja.

Naufal yang sejak dari awal Maghrib tadi sudah merasa seram sejuk dan dalam masa yang sama hidungnya dipenuhi wangian aneh yang belum pernah dihidunya sebelum ini hanya memerhatikan kawasan sekitar beranda itu dengan tatapan waspada.

SAPTA ADHYASTAWhere stories live. Discover now