-20-

330 42 45
                                    

Dalam keadaan tunggangan mereka sedang terbang semakin rendah sementara tangan kanan Indah mencengkam bahu Tun Fatimah kencang,dia sudah berkali-kali menoleh ke arah Naufal yang terjerit-jerit sehingga suaranya serak.Tanpa kelihatan kelibat Aduka bersamanya,Naufal hanya mampu memeluk kejap leher si Merah Jingga itu sambil mengumbar kata yang tidak jelas dalam pendengaran Indah.

Sementara dia terpekik -pekik begitu,Si Merah Jingga terbang tanpa pengendali.Sebentar-sebentar menaik tinggi lalu menukik simpang-siur pula bagi mengelakkan serangan helang-helang yang cuba menyambar Naufal itu.Ada ketikanya Naufal hampir tercampak apabila si Merah Jingga berbalik lalu balas mencakar helang ganas itu dengan kukunya ataupun merempuh helang itu seperti lagak dua ekor ayam jantan yang hendak bersabung.Berpusing-pusing di udara dengan kuku saling bertaut antara satu sama lain.

Indah dengan bibir terketap menahan diri daripada mencapai busur panah yang diserahkan Penghulu Paduka Haji kepadanya itu.Walau bagaimana cemas sekalipun dia melihat keadaan Naufal yang sepertinya paling terdedah kepada serangan haiwan-haiwan ganas itu tanpa keberadaan Aduka,dia masih tahu diri.

Segalanya pasti akan menjadi lebih mudah jika helang-helang tersebut sekadar helang biasa yang barangkali tidak berkenan wilayah mereka dicerobohi tetapi apabila Tun Fatimah menyebutkan bahawa helang-helang tersebut merupakan jelmaan mereka dari alam bawah-memanahnya bukan satu pilihan yang bijak kerana Indah tidak tahu natijah yang bakal menimpa mereka kelak.Alam dan kejadian mereka sendiri sahaja sudah amat jauh berbeza.

Dia tahu daripada cerita yang pernah didengarnya entah dari mana ataupun pernah dibaca daripada risalah yang apa tentang bagaimana manusia yang tidak tahu apa-apa tanpa sengaja membunuh haiwan terutama sekali haiwan yang sinonim dengan jelmaan bangsa alam sebelah seperti ular.Tanpa mengetahuinya,mereka menderita menghidap penyakit aneh yang disebabkan oleh kaum alam sebelah itu membalas kerana ada antara kaum kerabat mereka yang dicederakan tanpa sengaja.

Bukanlah hendak mengatakan bahawa bangsa itu mampu mendatangkan mudarat tetapi segalanya berlaku dengan izin daripada Yang Maha Menciptakan jua dan apa yang berlaku sepatutnya diambil iktibar oleh orang lain terutama sekali bagaimana hendak menyantuni mahkluk lain selain daripada manusia selagi ia tidak mendatangkan mudarat dan keburukan.

Dalam keadaan tunggangan Tun Fatimah terbang laju begitu,tahu-tahu sahaja kepakan sayapnya semakin perlahan lalu disertai satu hentakan kuat-cenderawasih itu sudah mendaratkan kedua-dua kakinya ke suatu permukaan .Tanpa bertangguh,Tun Fatimah melompat turun dan mengisyaratkan kepada Indah agar mengikutinya.Selepas lehernya diusap beberapa kali tidak ubah seperti ungkapan terima kasih,cenderawasih tersebut kembali mengepakkan sayap dan merendahkan tubuh .Hanya dengan satu lonjakan-burung tersebut kembali menggerakkan sayapnya lalu terbang dari situ.

Sementara Tun Fatimah meligas ke kiri dan ke kanan bagi memastikan tidak ada musuh yang menunggu mereka berdua di situ,Indah mencerunkan matanya ke udara.Jelas sekali cenderawasih tunggangan Tun Fatimah itu terbang dengan kepantasan luar biasa dan meluru ke arah cenderawasih yang ditunggangi Naufal lalu menyambar salah seekor daripada helang yang mengerumuni pemuda itu.

Pertembungan dua margasatwa itu diperhatikan Indah dengan cemas.Bimbang jika Naufal tercampak apabila cenderawasih tersebut terbang berbelok-belok naik dan turun mengelakkan diri daripada serangan sang helang.

Tanpa sempat menghentikan kakinya dengan betul,cenderawasih tunggangan Naufal mendarat kasar dan tergelincir membuatkan tubuh pemuda itu tercampak beberapa ela daripada kaki Tun Fatimah.Seperti seekor ayam yang basah,cenderawasih tunggangan Naufal bergidik seketika sehingga bulu-bulunya yang tampak sedikit masai itu menggelinjang seirama dengan ototnya.

Sama seperti tadi,satu tepukan hinggap pada pipi cenderawasih tersebut dan bagaikan ianya merupakan satu isyarat yang hanya difahami antara Tun Fatimah dan haiwan tersebut,cenderawasih itu mengepakkan sayapnya kencang lalu terbang dari situ hanya dalam beberapa kerlipan mata.

SAPTA ADHYASTAWhere stories live. Discover now