-27-

271 41 34
                                    

Pada saat kefahaman bahawa segala sesuatu yang berlaku hanyalah asbab untuk kejadian dan hikmah yang lebih besar, Tun Indera memanjangkan sujud terakhir dalam rafak Subuhnya.

Hatta tatkala Abu Zarr dan Tun Fatimah hampir selesai berkemas, dahi Tun Indera masih melekap ke permukaan helaian Rida.Sujud menyembahkan penyerahan dan memohon petunjuk.Mengembalikan segala-galanya kepada Yang Maha Menciptakan.

Segala sesuatu yang terjadi adalah pengajaran buat sekelian makhluk.Waima jika kejadian buruk yang berlaku kepada orang di sekeliling sekalipun, ia tidak lain adalah teguran secara tidak langsung daripada Pemilik Arasy di langit sana kepada mereka yang benar-benar mengerti.

Ia adalah tentang bagaimana menyikapi dan menyantuni kejadian tersebut sesuai dengan kehendak syariat lalu mencari ibrah daripada segala kejadian.

Kehilangan Naufal dan Indah adalah suatu yang di luar jangka.Berat membebani bahu Tun Indera lantaran kedua-duanya telah diamanahkan kepadanya sehingga perjalanan mereka melengkapkan Sapta Adhyasta itu selesai.

" Adinda Tun Fatimah." Toleh Tun Indera sebaik sahaja jari-jemarinya selesai meraup wajah.Masih duduk tawaruk di atas hamparan Rida.

" Katakan kanda. "

"Bersegeralah dinda kembali semula ke permukiman.Khabarkan kepada ayahnda. "

Tun Fatimah yang berwajah resah segera mengangguk. Berpamitan daripada sang abang dengan takzim menyalami jari Tun Indera yang masih dingin sisa wuduknya awal Subuh tadi.

Hanya dengan satu siulan yang nyaring, belum berselang beberapa minit sudah ada kedengaran bunyi kepakan sayap dan lengking sang cenderawasih menandakan satwa itu sudah berada di situ memenuhi panggilan tuannya.

Ketika Si Bintang Timur mengepak-ngepakkan sayap dan dengan sekali lonjak sahaja cenderawasih tersebut sudah terapung tinggi di dalam kabus pagi, Tun Indera menoleh pula kepada Abu Zarr.

Pemuda itu jelas masih terkejut dan sedikit tidak percaya dengan apa yang telah berlaku. Bukan mereka tidak meletakkan 'pagar' mengelilingi kawasan tersebut tadi malam tetapi apabila memikirkan bagaimana Indah dan Naufal boleh dilarikan begitu sahaja tanpa ada seorang pun yang menyedarinya, sudah pasti sang pelaku angkara tersebut bukan calang-calang.

" Besar firasat kita Indah perlu dicari terlebih dahulu. "

Abu Zarr merapati batang tubuh Tun Indera yang tegak masih menatap surai Bintang Timur yang semakin hilang dari penglihatannya.Ketika Tun Indera menoleh,dia menghulur sesuatu.

" Ini.. " balas Abu Zarr kemudian."Kita menemuinya di tempat Naufal melelapkan mata malam tadi."

Beberapa helai daun kering yang berlepek lumpur itu diambil oleh Tun Indera lalu dihidu beberapa detik. Ada bau berlumpur yang hanyir dan busuk.

" Rawa Jejawi. " Ujar Tun Indera di sambut gumam Abu Zarr perlahan mengiyakan.

"Bukan rahsia dalam kalangan Kaum Bawah penguasa Rawa Jejawi memiliki seorang puteri dan menculik Naufal pasti suatu kemegahan buat mereka. "

" Benar. " Abu Zarr berkata lagi meningkahi kata-kata Tun Indera.

"Mengikut hemat kita, Naufal tidak akan diapa-apakan selagi dia tidak menyinggung kepala permukiman. Justeru, Indahlah yang perlu kita risaukan. "

Mendengar nama tersebut diseru, ada rasa aneh berdesir dalam darah Tun Indera tetapi diredamnya dengan satu helaan nafas yang kasar. Sebagai makhluk yang tidak berdaya, ada kala dia tidak mampu menahan rasa yang berkecamuk di dalam sana apatah lagi jika menyangkut soal amanah dan tanggungjawab yang dipanggulkan ke bahunya.

SAPTA ADHYASTAWhere stories live. Discover now