-4-

397 62 29
                                    

DESA KUNING GADING

Tun Indera melangkah tergesa-gesa di bawah sinar matahari pagi yang belum terlalu terik dan embun dinihari malam tadi masih kelihatan bergayut pada hujung rumput.

Sementara itu sahabatnya,Aduka pula hanya senyap tidak mengatakan apa-apa kepadanya dan seperti Indera-pemuda itu juga berusaha menyaingi langkah kaki sang sahabat yang dikuak lebar agar segera sampai ke tempat dituju.

Jalan tanah merah yang diapit oleh rimbunan subur bunga Bakung putih dan diselang-seli dengan Mawar hijau keputihan yang menebar haruman khusus itu ke segenap pelusuk kampung itu dilalui tergesa-gesa dan akhirnya sebuah rumah kayu bertiang tinggi menyambut penglihatan mereka.

Di beranda rumah,dari jauh sudah kelihatan beberapa orang penduduk kampung dan suara mereka saling berbual sesama sendiri juga kedengaran.Halaman rumah yang luas tidak ditumbuhi rumput tetapi pada sudut halamannya berderet pohon-pohon muda berdaun rendang manakala bunga-bunga Melur berdaun hijau berkilat dan menguntumkan putik berwarna putih itu kelihatan memagari halaman.

Sementara itu,tingkap berdaun dua itu di buka luas sehingga langsir tipis berwarna putih berkibar dipuput angin yang bertiup dari baruh membawa bersama suara kokokan ayam dan riang-ria kicauan unggas menyapa sinar matahari.

Dengan tergesa-gesa,Tun Indera menanggalkan capal yang menyarung mata kakinya dan pantas pula meraih gayung cokelat kehitaman bertangkai panjang yang diperbuat daripada tempurung kelapa yang sudah dirapikan itu.

Dia kemudian mencedok air dalam tempayan lalu menjirus mata kakinya sambil menggeselkan kedua-dua kakinya untuk menanggalkan tanah dan debu yang melekat.Selepas menjirus buat kali kedua,gayung tersebut diserahkan pula kepada Aduka yang berdiri di sebelahnya.

" Assalamualaikum.."

Tun Indera memberi salam dan demi mendengar suaranya di hujung tangga,serentak lelaki-lelaki yang duduk bersila di beranda itu menjawab dan ada pula antara mereka yang menoleh.Pemuda itu membongkokkan sedikit tubuhnya seraya menghulurkan jabat tangannya dengan takzim dan hormat.

" Maafkan kami kerana datang tidak berjemput,penghulu.."

Salah seorang daripada lelaki yang bersila rapat di anjung rumah bertiang tinggi itu memulakan katanya sebaik sahaja Tun Indera melabuhkan punggungnya lalu mengemaskan sila di sebelah seorang lelaki yang kelihatan sedikit berusia daripada semua tetamu yang hadir pagi itu.

Tidak seperti tetamu yang datang mengunjungi rumah tersebut lewat pagi itu,lelaki di sebelah Tun Indera itu menyarung persalinan berupa sehelai jubah berwarna putih yang licin sementara serban yang meliliti kepalanya juga berwarna sama manakala sehelai kain Rida berwarna hijau pucuk pisang diselempangkan ke bahu kanannya.

Wajah lelaki itu tenang sahaja dan menatap lelaki yang berbicara dengan senyuman terukir pada bibirnya.Janggutnya yang rapi menambah redup wajah lelaki tersebut.

" Tidak mengapa.Kalau boleh kita tahu apakah gerangan niat tuan-tuan datang berkunjung ke teratak kami tatkala matahari baru naik sepenggalah begini?"

" Begini ,Penghulu.Apa benar berita yang kami dengar tentang pemuda yang ditemui merayau-rayau di perbatasan desa kita sudah melarikan diri?"

Penghulu Paduka Haji berdehem seketika lalu mengerling anaknya yang duduk bersila di sebelahnya itu.Tun Indera yang menyedari maksud tatapan mata ayahnya membuka mulut bagi memulakan bicara dengan berhati-hati.

" Kalau boleh kita tahu,dari mana ayahnda sekalian mendengar berita ini?"

" Bukan rahsia.Dari Desa Bukit Tinggi di utara sehingga ke Desa Tanjung Bidara di Selatan.."

SAPTA ADHYASTAWhere stories live. Discover now