-34-

231 37 17
                                    

Menyedari wad kelas pertama yang menempatkan Nik Aizuddin itu semakin lama semakin sesak dengan kehadiran ahli keluarga dan saudara-mara ,ketiga-tiga mereka- Haji Al-Attas,Pakchu Deris dan Sallehuddin beransur keluar dari bilik tersebut setelah berpamitan dengan ayah dan ibu pemuda tersebut.

Tidak mahu menganggu suasana segera dilapikkan dengan alasan bahawa ada pekerjaan yang masih perlu disegerakan.Walaupun ada misi yang perlu dilangsaikan namun ketika itu kesihatan pemuda tersebut merupakan hal keutamaan bagi mereka.

Sudah tentu berita tersebut menggemparkan seluruh keluarga pemuda itu.Nik Aizuddin yang hilang hampir lima bulan lalu kini ditemui semula di tempat sama hanya beberapa kilometer dari tempat kejadian dan ia membingungkan banyak pihak.

Pasukan mencari dan menyelamat yang dianggotai oleh mereka yang mahir dan pakar dalam selok-belok hutan sahaja tidak mampu menemui pemuda tersebut tetapi kali itu,tiga orang lelaki tanpa memiliki pasukan yang besar dan peralatan-peralatan yang canggih berjaya menjumpai Nik Aizuddin.

Pemuda itu walaupun tidak mengalami sebarang kecederaan yang serius tetapi keadaan tubuhnya sangat lemah dan hampir mengalami kebuluran.Rambutnya panjang menggerbang dan jambang mulai meliar merayapi bingkai wajahnya yang dulu selalu tampil kemas dan bersih.

Sepasang matanya seringkali terbuntang dan liar menatap wajah tetamu yang datang melawatnya malahan sesekali dia akan berteriak ketakutan seraya menekup kedua-dua telinganya dengan tangan yang menggeletar membuatkan mereka memandanginya dengan tatapan bercampur-baur.

Malam. Suhu dingin yang menyelimuti bilik tersebut membuatkan mata wanita yang diupah khas untuk memerhatikan dan menjaga Nik Aizuddin itu semakin lama semakin berat.Malahan bunyi menderu yang terbit daripada pendingin hawa seakan-akan memukaunya untuk melelapkan mata barang sejam dua.

Lagi pula pemuda tersebut sedang nyenyak tidur dan keadaan kesihatannya mulai beransur pulih.Kata pasukan perubatan,dia hanya mengalami dehidrasi yang teruk dan kekurangan zat makanan serta kesan sampingan daripada penyebab tersebut mengakibatkan dia kadangkala berhalusinasi.

Betapa tidak.Terlibat dalam kemalangan helikopter,cedera dan sesat di dalam hutan berbulan-bulan lamanya sehinggakan dia ditemui dalam keadaan sedemikian sudah dianggap sebagai sebuah keajaiban .Tidak ramai yang mampu bertahan sehelai sepinggang dan bagaimana dia mampu meneruskan hidup selama hampir lima bulan di dalam hutan sememangnya satu kejadian yang langka dan penuh misteri.

Nik Aizuddin serta-merta membuka matanya apabila sayup telinganya menangkap keriut bunyi pintu digeser perlahan dan cahaya terang dari lorong panjang di luar wad tersebut sedikit demi sedikit memasuki rekahan pintu yang dibuka.

Kerana malam sudah menginjak waktu dinihari,hanya lampu di lorong tengah yang menyala sementara ruang bilik tersebut malap apabila lampu dimatikan seawal jam sepuluh malam bagi membolehkan dia melelapkan mata dengan nyenyak tetapi dia hanya dapat tidur-tidur ayam. Hatta bunyi yang sayup sahaja sudah membuatkan dia terjaga dan aneh dirasakan apabila hatinya sudah tidak sedap sejak beberapa jam yang lepas.

Dengan jari-jemari yang menggeletar,dia menggenggam hujung selimutnya dan menariknya hingga ke paras leher apabila ada bunyi tapak kaki yang berjalan menghampiri katilnya dan bau meringin yang tiba-tiba menyeruak menggantikan haruman lavender semakin membuatkan dia gementar.

Dia kenal bau tersebut!

Itulah bau yang dihidunya setiap hari selama berbulan-bulan ketika terkurung dalam pondok lusuh di tengah hutan itu.Segalanya masih jelas .Bagaimana dia menyambung hidup dengan memakan apa sahaja yang diberikan oleh susuk tubuh berselubung tersebut-itupun jika dia sedang bermurah hati-maka diberikanlah kepadanya ketul-ketulan ubi rebus ataupun daging bakar sisa dua tiga hari sebelumnya.

SAPTA ADHYASTAWhere stories live. Discover now