-36-

193 30 12
                                    

Dalam keadaan mata yang ditutupi sehelai perca begitu,arah ke mana harimau tesebut melangkah Nik tidak tahu.Apa yang dirasakannya hanyalah hayunan otot haiwan itu di bawah pahanya setiap kali harimau tersebut menggerakkan empat kakinya.

Walapun dalam keadaan mata tertutup begitu,Nik dapat merasakan haiwan tersebut meleset dalam kecepatan luar biasa.Ada ketikanya Nik merasakan daun-daun yang basah mengenai pipinya ataupun sekujur tubuhnya terkena percikan air.Sebentar-sebentar dia meghidu bau lumpur paya tetapi ada masanya dapat pula dia menghidu bau masin air laut yang kuat.

Mencengkam kejap hujung baju Abu Wassim di hadapannya,Nik kadangkala merasakan haiwan tersebut seperti mendaki cerun yang berbatu sementara pada ketika yang lain haiwan tersebut dirasakan berlari antara rumpun mensiang setinggi dada ataupun padang lalang yang luas.Angin bersiut dirasakan Nik pada ketika haiwan itu berlari kencang dan dingin membungkus sekujur tubuhnya.

Kerana tahu tidak akan ada satupun jawapan yang bakal diterimanya daripada Abu Wassim dapat dikategorikan sebagai jawapan masuk akal,maka Nik memilih untuk mendiamkan diri walaupun kepalanya sarat dengan bermacam-macam persoalan.

Mendengar sendiri penjelasan daripada tiga orang lelaki yang meladeni pertanyaannya secara bergilir-gilir masih gagal menuntaskan rasa ingin tahunya.
Sementara dua susuk tubuh yang terbujur di tengah ruang tamu itu sudah cukup memberikan gambaran bahawa apa sahaja perkara yang bakal dihadapinya nanti bukanlah suatu perkara yang mudah.Apatah lagi ketika perkataan berkelana ke alam sebelah  disebutkan Pakchu Deris.

Selepas beberapa ketika,larian sang belang yang menjadi tunggangan mereka mulai memperlahankan langkah dan Nik tidak lagi merasakan gerusan daun pada pipi atau kakinya .Dengusan nafas haiwan tersebut jelas kedengaran dan sisi rusuk kanan dan kiri turut bergerak di bawah kaki Nik .

" Kita sudah sampai.Silakan.."

Abu Wassim menepuk bahunya dan langkah lemah Nik ketika menapakkan kaki ke permukaan tanah,pemuda itu meraih bahunya kerana menyedari Nik ketika itu sedang berdiri termangu-mangu.

Menunggangi seekor harimau belang dengan mata tertutup masih jauh lebih baik daripada menunggangi seekor burung cenderawasih yang terbang berbelok-belok antara permukiman terapung di atas gumpalan awan.

Begitu kata hati Naufal sebaik sahaja melihat seorang pemuda turun menapakkan kaki ke atas permukaan tanah dengan lutut yang gementar di sisi seekor harimau dewasa yang tampak menggerunkan.Sasa dan menghantar rasa kagum bercampur hormat. Wajar sahaja jika haiwan tersebut dimahkotakan sebagai Raja Rimba.

Ruas hidungnya sahaja sebesar pergelangan tangan sementara corak belang pada seluruh tubuhnya menggelinjang mengikut gerakan otot ketika haiwan tersebut menekuk keempat-empat kakinya takzim.Deretan gigi yang teratur rapi menghendap dari celah mulut sempat membuatkan Naufal bergidik ngeri.Belum lagi mengambil kira empat tapak kakinya yang tebal dan kukuh tersebut.

Bulan tua yang pucat mengintip-intip di antara gumpalan awan ketika Abu Wassim yang turun terlebih dahulu memberi salam dari tengah halaman.Mendengar salam tersebut,pantas setiap susuk yang duduk bersila di beranda serentak berdiri petanda mereka sememangnya menunggu ketibaan pemuda tersebut.

Wajar sahaja Abu Wassim tidak kelihatan di mana-mana,ujar Naufal dalam hati ketika pemuda itu menapak satu persatu menghampiri  tangga.

Pasti dia orangnya,getus hati Naufal sebaik sahaja pandangannya bertembung dengan tatapan pemuda itu yang meliar ke sana-sini dan itu bukanlah suatu hal yang menghairankan .Sama seperti dirinya dulu,pasti pemuda itu langsung tidak menyangka bahawa dia boleh mengalami kejadian tersebut .

" Assalamualaikum.." Abu Wassim memberi salam sebaik sahaja dia selesai membasuh kaki dengan menggunakan air tempayan di pangkal tangga.

" Walaikumsalam.Apa perjalanan kalian ke mari baik-baik sahaja anaknda Abu Wassim?"

SAPTA ADHYASTAWhere stories live. Discover now