-15-

332 51 12
                                    

Naufal tidak tahu hendak menisbahkan rasa hatinya kepada apa kala itu.Melihat Indah sudah siap dan hanya berdiri mematungkan diri di sebelah neneknya,Naufal bingung.Mati kutu sendiri.

Menatap bagaimana Tun Indera takzim menyalami tiap batang tubuh lelaki-lelaki separuh baya yang berderet tegak berdiri dengan tangan tergenggam di hadapan tubuh serta kaki yang dibuka selebar paras bahu itu,ingin rasanya Naufal menggelengkan kepala namun jauh di sudut hatinya,mahu tidak mahu dia sememangnya tidak mempunyai pilihan lain selain menyertai Indera,Aduka dan juga Indah dalam misi pencarian mereka kali itu.

Apa yang berlaku kepadanya kelmarin benar-benar di luar logik akal manusia biasa tetapi ia juga tidak dapat disangkal apatah lagi masih ada luka melintang pada pipinya akibat torehan kuku tajam susuk tubuh misteri itu.

Maghrib dengan purnama tua hampir tidak kelihatan di sebalik juraian awan yang semakin gelap.Serangga-serangga malam semakin banyak mengitari lampu di tengah anjung manakala ada angin yang berhembus berat membawa petanda hujan akan turun bila-bila masa sahaja.

Katak-katak jantan berkuang-kuang,saling sahut menyahut dari sebalik batas sawah yang lembap dan berlumpur.Menebar euforia musim mengawan tatkala musim tengkujuh akan menjenguk menjelang bulan-bulan akhir sebelum berlaku peralihan tahun.

Seumur hidupnyaa,Naufal tidak pernah termimpi sekalipun bahawa pada suatu ketika tatkala hujan hampir menyentuh seluruh perdesaan lewat Maghrib hari Jumaat itu,dia-seorang lelaki yang bernama Muhammad Naufal Hatta ,seorang anak muda dalam pertengahan dua puluhan,anak muda yang menghabiskan musim senggang sementara menunggu semester baru akan bermula dan anak milenium akan menyertai sekumpulan pemuda yang kononnya pada bahu-bahu mereka terpikul satu tanggungjawab untuk menumpaskan satu makhluk bernama Mumbala !

Sesiapa sahaja.Tolonglah ambil dan catat perjalanan pelik seorang Naufal Hatta untuk dijadikan watak di dalam sebuah novel fantasi agar apabila nantinya dia bercerita kepada rakan-rakannya di Fakulti Perubatan itu dia tidak akan terlalu teruk ditertawakan kerana dianggap terlalu asyik berkhayal yang bukan-bukan.

Sebagai generasi milenium yang secara jujurnya bukan seorang anak muda yang terlalu taat beragama ( walaupun masih sahaja mengamalkan ibadat-ibadat wajib selaku seorang lelaki muslim yang mukallaf dan diberikan taklif mengikut hukum syarak)-,hal-hal ghaib begitu masih terlalu kabur bahkan hampir tidak wujud di dalam kosa kata hidupnya.

Kabur bukan kerana dia tidak mempercayainya tetapi kerana topik tersebut sangat jarang diperkatakan dalam lingkungan persekitaran rakan-rakan sebayanya sedangkan pada suatu segi yang lain,dia hanya percaya hal demikian wujud tetapi tidak pernah mengalaminya. Pasti kerana persepsi bahawa pengalaman pancaindera yang lima itu telah menjadi penanda aras dalam suasana pembelajarannya sehari-hari yang mengutamakan logik dan fakta.

Terlalu banyak hal yang ingin ditanyakan tetapi Naufal tahu ia hanya akan mencetuskan suasana canggung dan jelas pula isu tersebut merupakan isu yang sensitif untuk dibicarakan secara terbuka.

" Bersegeralah kita,saudara.."

Simpang-siur fikiran Naufal yang saling terbeban antara gerbang logik dan tidak itu bercempera ke sana-sini apabila bingkai wajah Indera yang selalu menguntum senyum itu memenuhi pandangannya.

Lelaki itu,Tun Indera-yang rasanya tidak terlalu jauh beza usia dengannya masih sahaja menguntumkan senyuman dalam setiap lenggok bicara yang diucapkan.Bagaikan tidak memiliki sebarang kerisauan,wajah Tun Indera tampak bersih dan berseri-seri dengan rona wajah yang cerah tetapi memiliki bingkai tegas dan pahatan dagu serta kening yang kukuh secara bersamaan.Teduh dan menyenangkan untuk dipandang lama-lama.Menghantar rasa nyaman yang bukan dipaksa-paksa.

Mungkin benar kata yang pernah dibaca Naufal entah dari mana.Wajah adalah cerminan hati.Hati yang tenang dan bersih akan terpancar pada raut wajah .Sejuk.Dingin bagaikan air sumur pada waktu pagi.

SAPTA ADHYASTAWhere stories live. Discover now