-44-

174 33 18
                                    

Sepertiga malam tatkala bulan tua tenggelam di sebalik gumpalan awan yang tebal sementara dada langit kelabu tidak berbintang.Angin menelisik samar membawa butiran embun dinihari yang dingin.Alam bisu.Tunduk kepada perguliran waktu yang ditandai dengan sayup-sayup suara pungguk merayu bulan di langit Barat.

Ketika penghuni alam lena dibuai mimpi,bertemankan angin dingin yang menampar-nampar jendela-susuk Fahri masih betah duduk bersila di atas sejadah sambil suaranya tenggelam timbul mengalunkan lantunan bacaan ayat suci Al-Quran.

Malam ketiga.Bacaan Surah Yaasin dilantunkan dalam tajwid dan makhraj huruf yang sempurna.Tidak seperti malam-malam sebelumnya,malam itu luar biasa dirasakan Fahri.Seawal jam satu pagi,dia sudah bangkit dari tempat tidurnya.Mandi lalu mengambil wuduk.Solat Tahajud empat rakaat segera ditunaikan dan kemudian diikuti dengan Solat Taubat dan Solat Hajat dalam bilangan rakaat yang sama.

Solat Hajatnya diakhiri dengan lafaz istighfar dan lafaz Bismillah masing-masing seratus kali .Lalu melanjutkan rutin tersebut dengan tiga puluh tiga kali bacaan Surah Al-Mulk secara hafaz.Dan akhir sekali bacaan Surah Yaasin dengan amalan 7 Mubin yakni membaca surah tersebut lalu ketika tiba pada ayat Mubin pertama iaitu ayat ke dua belas,berhenti seketika dan mengulang semula dari ayat yang pertama sehingga sampai ke ayat Mubin yang ke dua pada kalimah ke tujuh belas.

Begitulah dilakukannya dengan bacaan rendah dan khyusuk.Mengulang semula dari ayat pertama setiap kali tiba kepada ayat Mubin yakni pada ayat ke dua puluh empat,ayat ke empat puluh tujuh,ayat ke enam puluh,ayat ke enam puluh sembilan dan akhir sekali pada ayat ke tujuh puluh tujuh.Semuanya dibaca secara hafalan dengan sebutan dan hukum tajwid yang betul.

Berbeza daripada dua malam sebelumnya,ketika dia tiba ke ayat Mubin yang keempat-bunyi berderak-derak yang didengarnya seperti malam-malam sudah semakin keras seperti ada kepingan papan yang menampar-nampar jendela.Bunyi lolongan anjing,salakan burung hantu dan bunyi angin menderu menyesakkan indera pendengarannya tetapi dia tetap tidak perduli .

Seperti sedang dibadai puting beliung,segala bunyi-bunyian tersebut bercampur aduk dan diikuti dengan bunyi gerusan sesuatu yang tajam pada permukaan kaca jendela biliknya.Malahan terasa lantai yang sedang didudukinya ketika itu bergoncang seperti diaduk gempa bumi berukuran sederhana.

Segala-galanya dilakukan demi mengharapkan pertolongan daripada-Nya untuk menghentikan kitaran aneh tersebut dan kaitan keluarganya dengan Indah,Naufal juga Nik yang masing-masing sedang terbujur kaku di dalam wad ICU-HWD Pusat Perubatan Al-Quds itu.

Menyelesaikan rutinnya buat malam yang ketiga,bulu romanya mendadak tegak berdiri apabila merasakan ada pintasan naluri aneh yang menyambar tiba-tiba.Kitaran biji tasbih yang bergerak satu persatu di antara ibu jari dan jari telunjuknya terhenti ketika dia menggenggam kejap bulir kayu kokka tersebut.

Ada bunyi berdesing yang menghunjam gegendang telinganya dan serta-merta Fahri menggumamkan lafaz takbir tanpa dia sedari ketika matanya menangkap kelibat sedang menyeringai di depan wajahnya.

Dalam keadaan di luar biliknya masih bersabung bunyi-bunyian yang bercampur-aduk,Fahri menggumamkan takbir di dalam hatinya tatkala kelibat hitam tersebut mengitarinya sambil menatap tajam.

" Apa urusan mu dengan mereka?"

Seperti sedang berada di ambang batas antara terjaga dan lena,suara tersebut menusuk nyaring ke dalam pendengaran Fahri tetapi masih jelas.Tajam.Nyaring dan parau.

" Sampai bila mereka harus disesatkan sehingga begitu sekali? Apa masih tidak cukupkah kemalangan yang telah menimpa mereka sebelum ini?"

" Perduli apa kau?"

" Aku berlindung dengan kalimah Allah daripada segala kejahatan di langit dan di bumi." Fahri balas menatap makhluk tersebut dengan berani " Apa kau lupa kaitan antara aku dengan Kasturi?"

SAPTA ADHYASTAWhere stories live. Discover now