-13-

328 54 30
                                    

Naufal kaku. Dia benar-benar tidak tahu apa sebenarnya yang berlaku kepada dirinya sehingga dia kaku sedemikian rupa. Bukan sahaja kerana tali pinggang keledar masih melintang kejap ditengah dadanya tetapi lebih daripada itu adalah bagaimana lidahnya kelu waima untuk berkata-kata sekalipun. Ayat Kursi dia tidak ingat. Ayat Empat Qul dia lupa malahan segala Selawat Nabi dia bagaikan tidak pernah diajari sebelum ini.

Limpahan sinar bulan yang pucat di dada langit tumpah menimpa belakang susuk tubuh tersebut membuatkan bingkai wajahnya menjadi semakin tidak jelas pada penglihatan Naufal namun dia tahu persis apa yang sedang menatapnya dari sebalik cermin hadapan kereta itu.

Dengan seringai tajam,susuk tubuh tersebut tiba-tiba sahaja menjulurkan tangan memaksa Naufal menundukkan kepalanya.Demi apa sahaja! Tangan berkuku runcing tersebut menembusi cermin hadapan kereta itu bagaikan ia hanya sekeping plastik lut sinar yang tiada apa-apanya.

Tangan berkuku runcing itu pasti sudah mencekik leher Naufal andai dia tidak merebahkan tubuh sepantas kilat!

Naluri Naufal yang bertindak pantas dipicu aliran adrenalin itu menanggalkan tali pinggang keledar lalu merangkak terketar-ketar keluar dari perut kenderaan tersebut melalui pintu di sebelah kanan membuatkan dia jatuh tersembam ke gigi jalan dan kedengaran dekahan kasar susuk tubuh tersebut mentertawakannya.

" Naufaaaaallllll.... "

Dengan peluh berjejeran di dahi Naufal bingkas bangun.Suara kasar tetapi kering dan sedikit sayup melaung-laung namanya seperti lagak seorang pembunuh psikopat yang sedang menikmati ketakutan mangsanya.

Mengenepikan rasa perit yang menusuk pada pergelangan kakinya,tanpa memikirkan apa-apa lagi-Naufal bingkas bangun lalu berlari sekuat tenaga yang dia mampu meninggalkan daun pintu yang ternganga ,cermin hadapan yang berlubang bagaikan dihentam oleh sebiji bebola besi gergasi serta hud hadapan yang separuh remuk menyodok pembahagi jalan.

" Nauufaalllll...... "

Segenap bulu roma Naufal tegak berdiri apabila hanya dalam sekelip mata sahaja susuk tubuh yang bertenggek di atas hud hadapan keretanya itu sudah berada di hadapannya.

Entah dari mana angin kasar tiba-tiba sahaja berhembus mengibarkan jubah labuh yang menyerkupi tubuh misteri tersebut malahan menebarkan bau harum yang aneh serta sayup-sayup suara lolongan anjing. Bersahut-sahutan dan saling tingkah-meningkah dengan bunyi burung hantu yang sepertinya riuh menyalak bulan pucat di sebalik awan.

" Ssiapppa.... khhhhaaauu..? "

Sedar dia tidak mempunyai pilihan lain, Naufal dengan wajah pucat lesi menegakkan lututnya dan berpusing perlahan menghadap susuk tubuh misteri itu.Fikiran Naufal mendadak kosong apabila menyedari dia tidak mungkin mampu melarikan diri daripada batang tubuh berselubung itu kerana ke mana sahaja Naufal berlari-entah bagaimana dia sudah berada lagi di hadapan Naufal. Berpeluk tubuh malahan mentertawakan telatah Naufal yang lari mencicit seperti tikus ketakutan.

Mendengar pertanyaan Naufal,jelas sekali dia menyengetkan kepala lalu tertawa lagi.

" Kau mahu lari ke mana, Naufal? "

Pemuda itu meneguk liur yang terasa menggumpal di pangkal tekak. Pekat. Pahit.

Sekali lagi. Segenap sendi dan otot Naufal seperti kaku dan tidak dapat digerakkan dengan bola matanya bagaikan hendak meloncat keluar apabila melihat sendiri bagaimana susuk tubuh tersebut mendekatinya perlahan-lahan dengan lagak angkuh dan Naufal merasakan dia hendak termuntah ketakutan apabila menyedari bahawa sebenarnya kaki susuk tubuh tersebut terapung beberapa sentimeter dari atas permukaan jalanraya !

Naufal hanya mampu menutup matanya buat beberapa detik dengan nafas yang tersangkut di dada. Tidak sanggup melihat bagaimana susuk tubuh itu terapung dan sedang mengitarinya perlahan-lahan dalam keadaan dia kaku tidak mampu menggerakkan tubuhnya.

SAPTA ADHYASTAWhere stories live. Discover now