- 37-

205 28 44
                                    

Ketika bilah-bilah sinar matahari mulai menerobos melalui juraian kabus yang semakin menipis,kawasan utara permukiman yang dihuni oleh puluhan buah keluarga itu memenuhi pandangan Naufal yang berdiri tercungap-cungap di sebelah Aduka.

Di bawah sana,bumbung atap rumbia rumah para warga permukiman yang tersembul antara rumpun pohon muda jelas mengepulkan asap dan ada sebahagiannya yang sudah ranap sama sekali.Ada suara pekikan dan hiruk-pikuk para penduduk menyelamatkan diri masing-masing.

" Marid ! "

Abu Zarr menyebutkan satu nama dan melalui ekor mata Naufal melihat Aduka menganggukkan kepala.

Bunyi ranting gemertak di bawah tapak kaki mengakibatkan Naufal pantas menoleh.Wajah tenang Tun Indera,Abu Wassim dan Penghulu Bijaya Diraja serta tidak ketinggalan Nik yang jelas terpinga-pinga dengan serangan mendadak begitu.Tanpa bertangguh,mereka melangkah tergesa-gesa ke arah permukiman yang separuh musnah tersebut.

Seperti yang dilihat dari jauh,puluhan rumah para penduduk ada yang sudah musnah dan ada pula yang masih mengepulkan asap.Potongan-potongan alang atau bendul rumah yang tidak sempat dijilat api tergeletak sebarangan arah.Tiang seri yang bertukar menjadi arang dan longgokan abu kelihatan di sana-sini.

Para penduduk pula hilir mudik cuba menyelamatkan apa sahaja barangan yang masih bersisa dan jeritan para anak kecil yang ketakutan menambah bingit kawasan sekitar.Ada juga yang cuba memadamkan kebakaran dengan menyimbah lidah api menggunakan air daripada timba yang dijinjit tergesa-gesa dari arah telaga yang berhampiran.

Seketika mata Tun Indera mengernyit apabila imej seseorang dalam serkupan jubah panjang sehingga ke mata kaki berdiri tegak di hadapan mereka.Tidak memiliki bingkai wajah yang jelas dan susuknya hanya ditandai oleh jubah hitam yang membungkus sekujur tubuh.

Seperti semut yang keluar dari tempat persembunyian akibat kebanjiran,dari celah semak-samun muncul puluhan susuk tubuh lain yang tidak kalah sangar daripada susuk sang ketua.Bagaikan pintasan deja-vu,Naufal terundur beberapa langkah ke belakang demi menyedari apa sebenarnya tujuan serangan itu ketika matahari baru sahaja bangkit dari peraduannya di ufuk Timur.

Naufal memang tidak dapat menjelaskan dengan perkataan yang mudah tetapi ada naluri halus menyusup perlahan apabila dia melihat Indah dan Tun Fatimah juga tiba di tempat tersebut dalam keadaan berlari anak.

" Indera!!" Laungnya sambil melangkah beberapa tapak ke belakang dan dalam masa yang sama tatapan khuatir mengikuti langkah siaga empat susuk tubuh berjubah hitam itu yang merapatinya perlahan " Tembikar Muftah,Indera!"

Tun Indera yang mengawasi gerak susuk penyerang di hadapannya itu menoleh pantas ke arah Naufal yang melaung keras dan serta-merta dia memalingkan pandangannya menatap Aduka yang juga memandangnya dengan tatapan ngeri.

Tembikar Muftah !

Segala usaha mereka selama ini untuk menangkap Marid yang menjadi sumber kekuatan kepada Mumbala itu akan menjadi sia-sia jika tembikar tersebut berjaya dimusnahkan.Apalah makna Sapta Adhyasta tanpa tembikar Muftah? Jika kata-kata Naufal itu benar ternyata mereka semua telah tertipu dengan muslihat tersebut.

Semudah itu sahaja percaturannya.Mengalihkan perhatian mereka dengan melakukan serangan mengejut kepada warga permukiman dan mengakibatkan mereka terlupa seketika tentang tembikar tersebut yang tersimpan di rumah Tun Nila.

Tun Indera melenguh keras apabila satu tumbukan tepat mengenai wajahnya sebaik sahaja dia kembali menumpukan perhatiannya kepada musuh yang mengelilinginya ketika itu.Abu Wassim yang memecut ke arah rumah Tun Nila juga terhalang dengan serangan beberapa susuk berjubah hitam yang menyerangnya serentak.

SAPTA ADHYASTAWhere stories live. Discover now