-14-

315 56 17
                                    

Anjung rumah limas bertiang tinggi itu menyambut sinar matahari pagi yang masih baru merekah di langit Timur dan disambut kokokan ayam sayup-sayup dari pelusuk kampung.

Di sudut anjung, tiga batang tubuh kelihatan sedang tegap bersila dan memerhatikan Naufal yang terbaring dengan wajah calar-balar serta kaki dan tangan yang berbalut.

Kejadian yang sukar diterima akal itu hanya diperjelaskan kepada petugas hospital sebagai kemalangan kecil dan mujur juga Naufal tidak mengalami kecederaan yang serius. Selepas menjalani pemeriksaan lazim, luka-lukanya dicuci dan dibalut-pemuda itu dibenarkan balik.

Bagi yang lain, kejadian tersebut mungkin hanya berakhir disitu sahaja tetapi bagi mereka yang mengetahui hal sebenar-ada sesuatu yang sedang berlaku dan ia bukanlah sebuah hal yang boleh dipandang remeh.

Mumbala tidak akan berani menyerang seseorang secara terbuka begitu jika dia tidak berada dalam keadaan sangat terdesak!

Mengetahui bagaimana Mumbala yang sebenarnya, selama yang boleh diingat oleh Penghulu Paduka Haji-Mumbala tidak pernah menghapuskan seseorang yang dibencinya dengan tangannya sendiri melainkan dengan menghantar sihir yang mematikan sama seperti apa yang dilakukannya kepada penduduk kampung yang pernah menzaliminya lama dulu.

Rafak doa yang panjang dibisikkan pada penghujung Solat Dhuha yang ditunaikan secara berjemaah dengan berimamkan Tun Indera. Meminta petunjuk daripada Penguasa Langit Dan Bumi dan tidak lupa memanjatkan kesyukuran tidak terhingga kerana Naufal tidak mengalami kecederaan yang serius.

Naufal menapak sedikit tempang menuju ke anjung hadapan di mana sudah kelihatan Tun Indera yang bersila tegap di sebelah Penghulu Paduka Haji dan juga Aduka.

" Anaknda tidak apa-apa? "

Pemuda itu tidak segera menyahut tetapi sebaliknya membalas dengan senyuman yang lemah. Jelas wajahnya masih pucat dan berbirat ungu pada pipi kanan.

" Iya. Tidak apa-apa. Hanya luka sedikit. "

" Naufal berehatlah kerana sebentar lagi kami juga ingin beransur.."

Tun Indera menyahut lantas menepuk lutut Naufal yang menyusun sila di sebelahnya itu.

" Makhluk itu. Mumbala. " Ujar Naufal tiba-tiba " Sejauh mana ia boleh mendatangkan ancaman kepada orang lain? "

+              +              +

Mumbala mengheret tubuhnya yang terasa redam sambil memaki dengan kasar. Memasuki sahaja ruang gelap pondok kayu di tengah hutan itu, dia menghenyakkan sahaja tubuhnya ke atas lantai.Setiap kali dia menarik nafas, ada rasa sakit yang menusuk rusuk kirinya ia lagi-lagi membuatkan dia menyumpahi susuk tubuh pemuda yang menghalangnya daripada menghapuskan keturunan manusia paling dibencinya itu.

Terlalu sedikit sinar matahari yang meenembusi atap pondok tersebut. Bukan sahaja kerana sinar matahari sepertinya tidak mampu menembusi tautan kanopi yang rapat, tetapi juga kerana pondok tersebut dibina di celah-celah juntai akar pohon Beringin yang saling berlumba-lumba untuk menyentuh permukaan tanah.

Atap daripada anyaman daun Rumbia itu sudah ada yang ditembusi akar pohon tersebut dan daripada lubang itulah cahaya matahari menerobos masuk. Di tengah ruang, sebuah unggun yang hanya menyisakan abu putih kelihatan berbalam-balam dalam samar pondok tersebut.

Itupun jika boleh dipanggil pondok kerana jelas sekali Mumbala tidak pernah memperdulikan keadaan pondok kayu itu. Malahan ketika membinanya, pondok tersebut didirikan seadanya sahaja.

Atap daripada anyaman daun Rumbia dijahit semberono menggunakan batang Bemban yang diraut kasar ke sebatang buluh kecil dan disembat-susup ke batang buluh tersebut hanya bagi memastikan ia tidak terlerai apabila hujan lebat turun pada awal musim tengkujuh nanti.

Sementara dinding daripada buluh yang dibelah kasar itu hanya dipacak menutupi bahagian rumah yang tidak terlindung oleh akar Beringin. Juga dibina seadanya. Tidak berpaku dan hanya dibuat sebarangan.

Jika keadaan pondok itu sudah sedemikian rupa, keadaan dalamannya usah dikata lagi. Sepertinya pondok tersebut dibina dan terletak di tempat sedemikian bukan tempat untuk seseorang tinggal dan menetap. Di antara daun-daun kering yang tidak disapu, sehelai tikar mengkuang yang lusuh tergeletak menadah sebiji bantal yang juga tidak berada dalam keadaan lebih baik.

Sebuah pangkin di sudut pondok tersebut juga kelihatan tidak terurus dan ada bunyi lalat menggerung mengerubungi pelanduk bakar sisa makanannya malam tadi dan hanya diletakkan di atas daun pisang. Bertutup ala kadar sambil sebuah kendi tanah liat tergolek tidak berisi.

Menarik selubungnya lebih rapat ke leher, dia merintih apabila lepuhan pada kulitnya terkena kasar kain tersebut. Dalam remang cahaya,perlahan-lahan dia mengangkat tangannya dan nama Penghulu Paduka Haji disebutkan lalu digandingkan pula dengan makian kesat yang bertubi-tubi.

Mumbala tahu luka dan lepuhan pada kulitnya tidak akan segera sembuh seperti mana luka-luka lain yang pernah dialaminya sebelum ini.

Meredam rasa perih dengan menghela nafas dalam-dalam, wajah pemuda yang menjadi aral melintanginya daripada menghapuskan Naufal itu dipetakan baik-baik didalam kepala. Daripada bingkai wajah anak muda itu, dia hampir pasti bahawa pemuda itu adalah anak kepada Penghulu Paduka Haji dan ia juga menjawab pertanyaan Mumbala tentang bunga tempur silat yang dipamerkan kepadanya itu.

Dan jika sahaja telahannya tepat,dia yakin Penghulu Paduka Haji sudah memalu genderang perang kepadanya sekali lagi. Hanya sahaja kali itu, dia tidak akan tertipu lagi seperti waktu dulu!

Tatkala Mumbala berkalih,luka melepuh pada lengannya bergesel pula dengan tikar mengkuang lusuh yang menjadi alas dan pemisah antara tubuhnya dengan permukaan tanah dan ia sekali lagi membuatkan Mumbala menyumpah seranah dan memekik. Menumpahkan segala kekesalan hatinya sekaligus dan teriakan tersebut membangunkan puluhan kelawar yang tidur bergelayutan pada pangkal akar Beringin di sudut pondok tersebut.

Suara kepakan sayap makhluk itu dan bunyi gerungan lalat tidak diendahkan Mumbala. Dia perlu berehat sepanjang hari kerana kesakitan yang dirasainya ketika itu sukar dijelaskan dengan kata-kata.

Suara lirih yang tiba-tiba kedengaran daripada sudut gelap pondok tersebut membuatkan Mumbala ingin memaki sekali lagi. Rimas dengan suara tersebut yang akan kedengaran saban malam.

" Diamlah!!  Atau aku bunuh kau dan berikan kepala mu kepada harimau nanti!!"

Seketika suara tersebut senyap dan Mumbala tertawa kasar.

Sedikit masa sahaja lagi rancangannya akan berjaya jika bukan Penghulu Paduka Haji muncul dan menggagalkan segalanya.Salah seorang daripada empat keturunan ketujuh tersebut kini sudah berada di dalam genggamannya.

Indah. Bukan tidak pernah Mumbala menyasarkan gadis tersebut tetapi aneh bagaimana sukar sekali untuknya mendekati keturunan ketujuh Haji Latif tersebut. Bukan sahaja dia terpaksa berhadapan dengan rintangan sukar berupa beberapa susuk tubuh perkasa yang lengkap dengan pedang dan busur panah sentiasa mengawasi Indah kemana-mana, malahan pemuda sama yang dilihatnya membantu Naufal juga selalu benar menghalang niatnya.

Tetapi, seperti menunggu buah ranum yang akan gugur bila-bila masa sahaja. Hanya Naufal yang diperlukannya bagi memastikan Sapta Adhyasta tidak akan pernah lengkap lagi.

Cara kasar tidak berkesan, ada cara halus untuk menghapuskan selumbar menjengkelkan yang selalu menghalanginya daripada menikmati saat dimana dia menjadi manusia nan tidak terkalahkan itu!

+              +               +

SAPTA ADHYASTAWhere stories live. Discover now