-46-

139 30 5
                                    

Dia-pemuda itu- mendatangi permukiman tersebut dengan wajah yang paling bersinar antara semua. Berpapasan di tengah jalan setapak yang diapit rumpun Bakung berdaun hijau berkilat dengan kuntum putih menebar bau harum yang samar-samar, ada antara mereka yang terkesima beberapa detik.

Wajah teduh nan bersinar itu tidak menguntum senyum tetapi ia sudah cukup menerbitkan rasa kagum yang bukan dibuat-buat.

Jika para tetamu permukiman yang datang bertandang ke permukiman tersebut bagaikan wajah bulan pada mata mereka, pemuda yang satu ini umpama purnama lima belas bersinar terang di sebelah Timur.

Tatapannya menundukkan. Senyumnya yang sesekali merekah dan mengintip-intip antara ulas bibir dan deretan gigi itu tampak memukau pandangan. Apatah lagi dengan bingkai wajah kukuh yang kemas dan bersih begitu. Kening hitam yang meneduhi sepasang mata, lalu hidung kukuh yang mencuar di tengah wajah.Serkupan kopiah putih pada kepalanya menghantar aura yang amat berlainan.

Kerana pemuda itu tidak ubahnya bagaikan bongkahan bercahaya pada penglihatan mereka,khabar kedatangannya ke halaman rumah limas tersebut pantas menyebar membuatkan seorang demi seorang mendatangi halaman rumah itu dengan penuh tanda tanya.

Capal segera dilepas dan kedua-dua kakinya dijirus bagi membersihkan debu atau kotoran yang melekat. Selajur kaki tanpa alasnya menapak anak tangga dengan penuh tertib dan sopan itu pun setelah salamnya disambut oleh tuan rumah.

Menghulur jabat salam yang kejap sambil mengukir senyuman,silanya disusun kemas setelah dipersilakan oleh Penghulu Paduka Haji.

" Maaf kerana kunjungan kita kunjungan tidak beradab."

" Jika elok niatnya, mana mungkin kami tidak mengalu-alukan kunjungan tuan ke mari. "

Senyuman Fahri merekah lalu perlahan-lahan menyinggahi tiap pasang mata yang menatapnya ketika itu tetapi tidak ramai yang sanggup membalas pandangannya. Kebanyakannya pantas menundukkan wajah.

" Dan kita pula pasti niat kita ke sini juga bukan asing pada hemat tuan-tuan sekelian.Bukan begitu? "

" Seperti yang tuan tahu, kami tidak mampu menghalang mereka daripada terus berkelana dalam belenggu sihir Marid."

Penghulu Paduka Haji menghela nafasnya perlahan tetapi ia tetap singgah ke pendengaran Fahri.

Dia tahu hal tersebut tidak akan pernah menjadi mudah. Segala-galanya bermula ketika Tembikar Muftah yang digunakan untuk mengurung Mumbala ditemui oleh sekumpulan ahli arkeologi beberapa bulan yang sudah. Dan untuk menghalang mereka daripada membuka tembikar tersebut, dia mengutuskan Tun Indera untuk memberi amaran tentang hal tersebut namun lihatlah telah ke tahap mana kedegilan manusia membawa perkara itu.

Yang pastinya, Mumbala terlepas dan memulakan segala kekacauan hanya disebabkan kesumat dendamnya yang tidak pernah lunas walau zaman berganti zaman. Jika lama dulu Mumbala mendendami Megat Awira yang menjadi biang kepada segala kesusahan hidupnya,kemarahannya semakin marak pula kepada tiga orang pemuda yang berganding-bahu untuk menghentikan kejahatannya daripada terus bermaharajalela.

Seiring dengan perguliran masa, mereka para penduduk mukim kaum Nasibiyyin yang menjadi penjaga kepada Tembikar Muftah menunggu dalam senyap. Mengawal tembikar tersebut daripada terjatuh ke dalam genggaman pemilikan manusia yang tidak tahu apa-apa.

Dan kerana dendam, Mumbala yang suatu ketika dahulu pernah dikenali sebagai Kasturi dengan didalangi oleh Marid sebagai teman persekongkolannya di alam sebelah mulai melakukan onar sekali lagi.

Bagaikan telah menyatu dalam satu jasad,mereka mengaturkan sesuatu agar musuh-musuh mereka bertekuk lutut tanpa belas kasihan. Dan yang menjadi mangsanya ialah tiga susuk anak muda yang tidak pernah tahu ada sesuatu sedang memerhatikan mereka dari sebalik lipatan masa. Indah, Naufal dan Nik.

SAPTA ADHYASTAWhere stories live. Discover now