-23-

320 43 35
                                    

Bunyi peluit ditiup saling tingkah bertingkah sehingga membuatkan mereka berpandangan sesama sendiri dan naluri Tun Indera juga Aduka  bertindak pantas.Berlari menghampiri Tun Fatimah dan Indah serta Naufal yang jelas tergamam dengan bunyi nyaring entah dari mana itu. Indah sudah melilit kain Cindai Raja ke pergelangan tangannya seraya memasang kuda-kuda dengan mata yang melilau pantas. Mencari sumber bunyi tersebut yang tiba-tiba sahaja muncul.

Sementara itu, gerombolan susuk tubuh berpakaian hitam tersebut meligas ke segenap arah apabila menyedari kemungkinan besar bunyi peluit itu adalah isyarat memanggil penduduk kampung untuk melancarkan serangan balas setelah kawasan permukiman mereka punah diserang. Dan ketika bunyi nyaring itu semakin kuat, hanya dengan satu anggukan baki tiga empat orang lelaki penyerang itu lari bercempera. Cemas dengan keadaan mendadak begitu.

Tanpa kelibat penyerang tersebut, mereka berlima masih tidak mengendurkan siaga masing-masing. Waima Naufal sekalipun mengacu potongan dahan seperti mengacu sebilah pedang.

" Indera. "

Satu suara menyeru nama Tun Indera setelah bunyi tiupan peluit yang nyaring itu berhenti dan serta-merta dua susuk tubuh muncul dari celah rimbunan pohon.

" Abu Zar.. "

Cengkaman kejap Indah pada helaian Cindai Raja longgar begitu sahaja tatkala Tun Indera saling berbalas dakapan dengan susuk tubuh yang baru muncul itu.

" Apa yang berlaku? "

" Ayahnda menghantar kita untuk menyambut Indera.Selebihnya kita bicarakan setelah tiba kelak "

Tun Indera menganggukkan kepala dan daripada gaya pemuda itu menepuk bahu Aduka, Indah yakin mereka saling mengenali antara satu sama lain.

" Bersegeralah kita. Paduka ayahnda sudah menunggu di Bukit Tunggal. "

Tanpa menunggu sebarang kata, Indah melilitkan selendang Cindai Raja ke pinggangnya lalu menyandang panah ke belakangnya. Mengikuti langkah Tun Fatimah dengan senyap.

" Abu Wassim. " toleh pemuda tersebut kepada rakannya " Khabarkan kepada paduka ayahnda. Kami akan sampai tengah hari esok"

Abu Wassim pemuda dengan kulit sedikit gelap dan berbahu tegap itu mengangguk tanpa banyak soal. Menyelinap semula ke dalam celah rimbunan pohon lalu hilang entah ke mana.

" Maafkan kami, Indah dan Naufal. " Tun Indera menoleh sekilas ke arah Indah lalu menepuk bahu Naufal perlahan " Ada hal tidak diduga berlaku maka kita terpaksa menapak lagi buat beberapa ketika. Mungkin terpaksa bermalam di dalam perjalanan nanti. "

Indah tidak menyahut sebaliknya hanya kelihatan Naufal yang mengangguk. Apabila Tun Fatimah kembali menyandang bungkusan pada bahunya dan Tun Indera mula mengorak langkah, ia sudah cukup bagi mengisyaratkan agar perjalanan mereka perlu diteruskan.

Tapak perkampungan yang sudah bertukar menjadi padang jarak padang tekukur itu ditinggalkan dengan hati yang bercampur-baur terutama sekali kepada Indah dan Naufal.

Perjalanan memang lebih mudah jika tanpa kami. Barangkali itu yang bermain di dalam fikiran Naufal kerana pemuda itu langsung tidak berkata apa-apa sepanjang perjalanan tersebut malahan langkah kakinya juga lebih besar daripada biasa. Jika hanya disertai oleh Aduka, Tun Indera dan Tun Fatimah-tidak sukar bagi mereka bertiga untuk sampai ke tempat tujuan seperti mana Abu Wasim namun Naufal mengerti dia dan Indah berbeza wujud. Maka sudah cukup bersyukur Tun Indera mahu sahaja melayani mereka dengan baik sehingga mereka terpaksa menempuh perjalanan yang tidak biasa.

Berada di permukiman Desa Kuning Gading buat beberapa ketika membuatkan Naufal mula menyedari bahawa ada sesuatu yang sangat serius sedang berlaku apatah lagi ia melibatkan dia dan Indah. Dia juga sedar sudah terlambat untuknya menarik diri daripada keadaan tersebut. Serangan susuk aneh sehingga hampir mengakibatkan nyawanya melayang menyebabkan dia tahu akan hal bahaya sedang berlegar dan mengintai mereka dalam senyap.

SAPTA ADHYASTAWhere stories live. Discover now