-39-

182 30 22
                                    

IMBAS SEMULA-NIK

Ketika telinganya menangkap derak perlahan lantai nibung di bawah tapak kaki,Nik  memang sudah terjaga tetapi dia tidak mengendahkannya.Barangkali ada panggilan alam yang mahu dipenuhi membuatkan ada antara mereka yang terjaga ketika dinihari mulai menjenguk ke kawasan permukiman tersebut dengan membawa bersama butiran embun lalu hinggap ke hujung dedaunan yang menunduk berat.

Mungkin kerana kejutan demi kejutan yang dialaminya begitu mendadak,mata pemuda itu terlalu sukar untuk diulit agar terlelap sedangkan dia sudah lelah berkalih ke kiri dan ke kanan.

Rusuk kanannya mulai terasa kebas kerana menampung seluruh berat tubuh sejak dia membaringkan diri di sebelah Naufal yang tidur meringkuk dalam serkupan sampin songket yang dibentang menjadi selimut.

Dingin.Sepatutnya suhu rendah akibat curahan hujan beberapa jam yang sudah mampu mengulit kantuknya agar segera bertandang tetapi matanya tetap segar-bugar walaupun ada keletihan yang bergayutan pada setiap ruas sendi tubuhnya.

Ketika dia mengambil keputusan untuk bingkas ,pada masa itulah dia mendengar bunyi kepakan sayap.Sepantas kilat Nik kembali membaringkan tubuhnya lalu menyelubungkan kepala dengan kain pelekat sambil mengatur nafas.

" Apa lagi?"

Antara dengar dengan tidak kedengaran satu suara dari arah jendela di sebelah kanan ruang tamu tempat mereka membentangkan tikar mengkuang.Nik tidak berani mengintip namun dalam masa yang sama dia cuba menajamkan telinganya sepeka yang boleh.

Hanya suara tersebut kedengaran jelas jatuh butir demi butir ke dalam relung pendengarannya dan seperti pintasan deja-vu yang mengerikan,Nik memejam mata dan hampir serta-merta tubuhnya menggigil hebat.Teringatkan semula kejadian ketika dia masih menjadi tawanan kepada susuk menakutkan tersebut sebelum diselamatkan oleh Pakchu Deris,Haji Al-Attas dan Sallehuddin.

" Bukankah membuka pagar sehingga kalian berjaya melarikan Naufal dan Indah tempoh hari merupakan perjanjian kita yang terakhir?"

Nik terpaksa menggigit hujung kain pelekat bagi meredam rasa ngeri yang merambati tubuhnya ketika mendengar dua nama itu disebutkan separuh berbisik dalam nada yang geram.Walaupun suara tersebut jelas,namun lawan bicaranya pula hanya bergumam-gumam tidak tentu butir kata.Tenggelam timbul antara bunyi kepakan sayap.

" Apa katamu?" Tegang sekali suara tersebut sehingga membuatkan Nik mengepal penumbuknya " Tembikar Muftah? Apa kau fikir mereka tidak akan curiga?"

Tidak ubah seperti titik demi titik yang sebenarnya bersambung antara satu sama lain,perlahan-lahan ada corak aneh yang tergambar di dalam fikiran Nik dan segalanya mengarah kepada satu hal.

Sapta Adhyasta dan usaha mereka untuk mengurung semula sekutu Mumbala di alam sebelah ini sebelum dia kembali membantu lelaki itu menebarkan onar dan kejahatan di atas muka bumi.Tanpa Tembikar Muftah,segala yang mereka usahakan sebelum ini akan menjadi sia-sia sahaja.

"Baik! " dengus suara tersebut " Tapi,ini adalah kali terakhir.Lepaskan Tun Zubaidah!"

Ketika belahan batang nibung kembali berderak dipijak seseorang,Nik membatukan diri dan menahan nafasnya yang keras sekali menunjang dada.Masih menutup mata,Nik memberanikan diri untuk berkalih sambil berpura-pura menggaru kakinya dan ketika itulah sekilas dia membuka matanya.

Susuk tubuh yang dibingkaikan dengan bahu yang tegap itu kembali berbaring memeluk tangannya di sebelah Aduka.

Abu Zarr!

+                +                +

Menjadi sasaran berpasang-pasang mata yang serentak menatapnya dengan pandangan menyelidik,pemuda tersebut salah tingkah dan wajahnya bertukar pucat.Mengap-mengap ingin mengatakan sesuatu tetapi ketika dekahan tawa susuk berselubung dari kepala hingga ke mata kaki tersebut meletus senang dari rengkungnya,Abu Zarr tunduk menekuri kakinya sendiri.

SAPTA ADHYASTAWhere stories live. Discover now