-WALANG KESUMA-

231 29 13
                                    

Matahari sudah lama melepasi darjah sepenggalah malahan semakin tegak di tengah langit. Pun demikian, angin yang bertiup perlahan saling hendap menghendap di antara bunga padi yang baru merekah ataupun menyelinap di celah daun kelapa gading menghantar rasa nyaman membuatkan dia betah berlama-lama di situ.
Saung di tengah bendang.

Beratapkan jalinan daun rumbia-tidak berdinding
dengan diapit oleh kelapa gading dan sepohon pokok ketapang yang berdaun lebat.Sedangkan di kiri kanan gubuk tersebut,padi yang baru memunculkan bunga meliang-liuk seperti hamparan baldu hijau yang ditiup angin. Kokok ayam sayup-sayup kedengaran diselang-seli decitan satwa kecil yang menumpang rahmat akan permulaan musim panen tahun tersebut.

Berbantalkan lengan kanan sementara lengan kiri dilipat ke wajah bagi membentenginya daripada tujahan sinar matahari yang sempat menerobos tautan daunan ketapang, dia menghela nafas seraya memejamkan mata lebih kejap ketika pendengarannya menangkap derap tapak kaki memijak daun kering yang gugur bertimpa-timpa pada perdu pohon.

" Kanda..."

Dia senyap. Tidak meningkahi apa-apa.Sejujurnya dia lebih suka jika tidak ada sesiapa yang datang ke saung pada waktu-waktu begitu.

" Adinda datang membawakan bekal makan tengah hari. Jamahlah barang sedikit. Apa tidak kasihankah kanda kepada bonda yang bersusah-payah menyiapkan?"

Mendengar nama itu, Tun Indera bingkas bangun dari tempat pembaringannya di bawah naungan pohon ketapang yang rendang. Menyangkutkan punggung ke lantai saung lalu menjulurkan kedua-dua tangannya ketika melihat Tun Fatimah sudah menyengetkan bejana tanah liat berisi air yang dijinjingnya dari rumah.Jirusan air dingin segera membasahi tangan.

Isi kampit upih dikeluarkan satu persatu lalu dihidangkan di hadapan Tun Indera yang sudah kejap bersila.

" Kanda masih berhutang dengan adinda."

Suapan Tun Indera tertahan dan pantas pandangannya diangkat tepat ke wajah sang adik yang mengipasinya dengan kipas mengkuang.

" Apa kata kanda tentang jangan belajar daripada Aduka atau Abu Zarr? Bukankah adinda sudah menuntut ilmu yang bukan-bukan? "

Sekilas Tun Fatimah tertawa melihat tatapan tidak suka sang abang kepadanya.

" Tapi, tidak mengapalah. Berbohong kepada paduka ayahnda demi menyelamatkan kanda daripada dimarahi.Ia lambang bakti dan kasih dinda kepada kanda. "

Sambil mengetap gigi, Tun Indera mengibas tangan namun sepantas kilat Tun Fatimah menepisnya tegap. Pemuda itu merengus. Mujur sahaja dia itu Tun Fatimah. Adinda junjungan kasih. Gemala hati keluarga Penghulu Paduka Haji.

" Ingatkan pesanan paduka ayahnda. Sudah-sudahlah, kanda. Usahlah menambah beban hati.Kelak yang rosaknya diri kanda sendiri. "

" Maksud adinda itu apa sebenarnya? "

" Kanda ke sana lagi bukan? " Mata bercelak itu melirik roman wajah sang abang." Kerana paduka ayahnda tidak melihat kanda di mana-mana, maka terpaksalah dinda mengatakan kanda keluar mencari sesuatu untuk dinda"

" Adukaaa... " berpanjang mulut lagilah nampaknya pemuda yang satu itu sehingga sampai juga ke pengetahuan Tun Fatimah. Berdenyut kepalanya mengenangkan karenah sang sahabat.Mulut tempayan sungguh!

" Pending emas galangkan cincin,
Beli juga gelang suasa.
Rindu ibarat kilat cermin,
Di balik gunung tampak juga. "

Mendengar bait pantun begitu meloncat dari ulas bibir Tun Fatimah, suapan yang sedang dikunyah bersembur keluar. Sambil menyeka sudut bibir, jelingan tidak berkenaan dilayangkan kepada susuk yang sedang mengulum senyuman itu.

" Dinda tahu bukan tempatnya untuk dinda menasihatkan kanda yang jauh lebih dahulu makan garam daripada dinda. Tapi seperti kata paduka ayahnda, wujud kita berbeza. Ada batas dan hijab yang perlu kita jaga."

" Salah kandakah? "

" Kanda lebih arif dengan jawapannya. Siapalah dinda untuk menasihatkan."

Tun Indera terdiam menghening cipta. Mati kata. Persoalan itu telah puas diterawangkan jawapannya pada langit malam ketika dia berlama-lama menatap wajah bulan dinihari.

Telah juga ditanyakan kepada rintik hujan dan gemuruh ketika angin menyentuh segenap permukiman. Pada air yang mengalir lambat-lambat atau pada pungguk yang sayup-sayup memuja bulan di langit barat.

Semuanya menjawab dengan satu nama yang sama. Dia!

" Pasti akan digantikan oleh Allah dengan sesuatu yang lebih baik, kanda. Percayalah. "

" Dengan izin Allah jua, dinda."

Hanya itu yang mampu diungkapkan ketika itu. Pasti. Segala-galanya hanya akan berlaku dengan ketetapan Allah SWT juga. Pukulan kata-kata Tun Fatimah tidak dapat dielakkan langsung. Semua mengenai sendi fikiran dan hatinya ketika itu.

Ketika hanyut dalam genang fikiran masing-masing, waktu Zuhur sudah hampir.Tun Fatimah segera mengemaskan bekas makanan yang kelihatannya masih bersisa banyak.

" Lunasi hutang kanda dengan menemai dinda dan Ummu Fatihah mencari kudup Melati di lembah petang esok."Capal segera disarungkan ke kaki sementara tangannya mencapai kampit serta bejana."Adinda tidak terima penolakan. "

" Fatimah!! " Tun Indera melaung sang adik yang sudah menjauh " Kanda perlu bertemu dengan Abu Zarr. "

" Petang esok, kanda!!"

" Heisyyy... adik bertuah!! " Tun Indera mengetap gigi buat ke sekian kalinya kerana tahu apa yang dirancangkan penjahat berwajah manis itu.

Udangnya terlalu besar untuk disembunyikan di sebalik batu. Dia pula bukan anak yang baru lahir kelmarin. Sekilas ikan di air, sudah dia arif yang mana jantan yang mana betina. Lagikan pula, Tun Fatimah itu membesar di bawah matanya. Mana mungkin anak hingusan itu dapat membohonginya?

Azan berkumandang. Seruan suci itu bergema ke segenap pelusuk permukiman dalam tiupan angin yang sepoi-sepoi bahasa. Mengusap dan mengelus relung hati para hamba-Nya agar sujud menyembahkan diri kepada Yang Maha Esa pemilik langit dan bumi serta apa sahaja yang berada di dalamnya.

Melangkahkan kaki ke arah anak sungai kecil di Timur dangau, Tun Indera masih tidak percaya dengan telatah adiknya itu.

Wahai yang maha membolak-balikkan hati. Janganlah Engkau membolak-balikkan hati kami kepada sesuatu yang tidak Engkau redhai. Tun Indera memanjatkan doa ketika alunan azan yang terakhir berkumandang sayup dilaungkan muazin Surau Nur Hidayah dibawa angin senja yang semakin sejuk.

Bersama helaan nafas yang dilepaskan sekaligus, sekali lagi pandangannya dilemparkan ke arah susuk tubuh Tun Fatimah yang semakin jauh di atas permatang sawah sana.

Pergilah dikau wahai walang kesuma.

- TINTA DINOKTAHKAN-

SAPTA ADHYASTAWhere stories live. Discover now