-33-

228 35 7
                                    

Tubuh longlai pemuda itu yang kelihatan luar biasa cengkung dan pucatnya walaupun telah dimasukkan ke dalam kenderaan ambulans Jabatan Pertahanan Awam Malaysia masih sahaja raut wajahnya tidak mempamerkan sebarang reaksi dan sepasang matanya hanya memandang kosong ke hadapan.

Sementara para petugas paramedik dengan segera menyarungkan alat bantuan pernafasan dan memasukkan cecair jernih melalui tiub intravena ke pergelangan tangannya ,Haji Al-Attas dan juga Pakchu Deris sekadar bertukar pandang sesama mereka.

Telahan mereka selama ini ternyata benar.Ada sesuatu yang membentengi penglihatan para pasukan mencari dan menyelamat sehingga mereka tidak menemui keberadaan pemuda tersebut.Dan jika ditanya,pasti mereka bertiga tahu kejadian tersebut angkara siapa tetapi seperti biasa mereka lebih memilih untuk mendiamkan diri.

Pengalaman mereka sebelum ini,jangan sesekali menyentuh hal-hal tak kasatmata seperti itu dengan pasukan keselamatan kerana tidak ada gunanya.Jangankan para pasukan keselamatan, keluarga Nik Aizuddin sendiri pun memandang mereka dengan binar mata yang aneh.

Dianggap sebagai kumpulan penipu yang mengambil kesempatan atas rasa keterdesakan orang lain mungkin berakibat mereka akan digari dan terpaksa bermalam di dalam lokap merupakan akibat terburuk daripada hal tersebut sementara akibat yang sedikit ringan pula mereka akan dianggap tidak siuman ataupun dicop sebagai golongan para pendusta agama yang sama sekali tidak akan mendapat tempat dalam kalangan masyarakat.

Tepat ketika salah seorang daripada petugas paramedik Jabatan Pertahanan Awam Malaysia itu menjangkau penutup hud belakang kenderaan tersebut,Pakchu Deris mencuit lengan lelaki tersebut  membuatkan dia menoleh.

" Sebentar,encik."

 Dengan senyuman terukir pada wajah Pakchu Deris melangkah menghampiri tubuh lemah Nik Aizuddin yang sudah berselimut tebal.Tanpa memperdulikan tatapan menyelidik para petugas paramedik di dalam ambulans tersebut,dengan dibantu oleh Sallehuddin tubuh lemah pemuda itu dikalihkan sedikit.

Bersama alunan zikrullah,telapak tangan kanan yang telah ditiupkan dengan Surah Al-Fatihah,ayat Kursi,ayat ke -21 hingga ke -24 Surah Al-Hasyr dan Al-Falaq -Pakchu Deris menepuk belikat pemuda tersebut dan serta-merta juga Nik Aizuddin tersentak.

" Assalamualaikum Nik Aizuddin bin Nik Abdul Rahman. "

Pemuda itu pegun beberapa detik dengan mata yang terkebil-kebil lalu perlahan sekali bibirnya terkumat-kamit menyambut salam kesejahteraan tersebut bersama linangan air mata.

" Walaikumsalammm... "

Nik Aizuddin masih tidak menyedari betapa mengerikan kejadian yang telah menimpanya itu sehinggalah dia dibawa pergi dari pinggir hutan tersebut dengan menggunakan sebuah ambulans yang melengking-lengkingkan siren lewat tengah hari tersebut.

Bagaikan baru dikejutkan dari lena yang amat panjang,segala-galanya kembali tertayang di hadapan mata sejurus selepas dia merasakan satu tepukan hinggap pada tulang belikatnya dan tepukan tersebut menghantar hawa hangat ke dalam pembuluh darah.

Mengalir.Merenjat perlahan-lahan.Bersama tepukan tersebut juga telinganya kembali menangkap bunyi unggas dan marga satwa hutan yang lain menggantikan senyap yang merajai pendengarannya selama ini. Begitu juga dengan persekitaran putih yang merentangi penglihatannya sejauh mata memandang itu yang –hilang dan diganti dengan kehijauan pepohon dan bingkai-bingkai wajah yang memandangnya dengan tatapan gusar.

+               +               +

IMBAS SEMULA

Deruman enjin pesawat jenis Helistar model EC 120B( Colibri ) itu seperti menghipnosis dan mendodoi kantuknya untuk datang bertandang memaksa Nik Aizuddin untuk menyandarkan kepalanya seraya menutup mata perlahan-lahan.Dan kerana letak duduknya bersebelahan dengan tingkap dan pesawat tersebut terbang hanya pada paras 10,000 kaki dari paras laut dalam keadaan cuaca cerah begitu,gumpalan awan yang berarak perlahan menaungi kehijuan di bawah sana jelas dalam penglihatannya.

SAPTA ADHYASTAWhere stories live. Discover now