Bab 45

7K 248 5
                                    

Aku membuang nafas. Pasrah bercampur lelah. Hanya telinga dipasang buat mendengar bebelan si suami.

Ya, Aileen tahu Aileen bersalah sebab keluar tanpa izin abang. Tapi Aileen pergi sekejap aje. Tak sangka pula isteri abang ni dapat kejutan yang hampir membuatkan isteri abang ni terjelepok atas tanah.

"Aileen dengar tak apa yang abang cakap ni?" Suara Luthfan mulai kendur dan tak setegang tadi. Wajahku dipandang semahunya.

Aku hanya diam. Mengangguk tidak, menggeleng juga tidak. Otakku melayang sekejap memikirkan kenyataan yang sukar hendak aku percaya. Dan entah kenapa, ada sedikit rasa kesal juga yang menjentik sukma hatiku terhadap Luthfan.

Sanggup dia sembunyikan perkara sebenar ini daripada aku?

"Aileen..."

Aku tersedar bila tangan Luthfan sudah mula memaut bahuku lalu dihadapkan tepat kepadanya. Renungnya aku balas.

"Aileen abang tanya ni. Aileen pergi mana tadi?" soal Luthfan bersama sinar mata yang mengharapkan maklum balas daripada aku.

Lagi dan lagi, aku terdiam. Bukan sebab marah atau kesal dengannya, tapi sebab sedang memikirkan bagaimana aku harus mengatakan perkara sebenar. Otak ligat bekerja, menyusun kata-kata dengan lidah yang tiba-tiba terpasung kaku.

"Aileen..." panggil Luthfan lagi dan kali ini, aku mengalah.

"Aileen dah tahu semuanya, abang."

Kata-kata spontanku mengundang kerutan pada dahi Luthfan. Jelas kelihatan yang dia agak bingung dan tidak mengerti dengan ayat aku.

"Alan dah ceritakan perkara sebenar."

Aku mendongak, ingin melihat reaksi si suami. Dan tepat jangkaan aku. Luthfan nampak terkedu dengan leher yang bergerak-gerak menahan resah.

Bila lihat itu, aku mengulum senyuman. Saat ini, perlu ke aku ketawa sebab tak pernah sedar yang selama ini aku hanya dipermain dan diperbodohkan oleh semua orang?

"Aileen...ab..." Belum sempat Luthfan menghabiskan kata-katanya, terlebih laju jari telunjukku naik dan menempel di bibir merahnya. Menyuruh dia diam.

"Kenapa abang tak jujur aje dengan Aileen selama ni? Kenapa sebelum ni, abang biarkan diri Aileen diambang tanda tanya dan sanggup putar belitkan cerita sebenar?" Ada nada kecewa dalam ayatku. Perlahan-lahan, tanganku melorot jatuh ke bawah.

Tiba-tiba, aku teringatkan peristiwa di mana aku bermimpi perkara itu lagi dan pada waktu itu, ada Luthfan yang sedang memujukku. Memberikan kata-kata semangat dan mengatakan bahawa mimpiku hanya sekadar mimpi. Tak akan pernah jadi realiti. Namun...

"Sebenarnya abang memang dah tahu yang mimpi Aileen tu betul, kan? Realiti dan abang sendiri nampak dengan mata kepala abang, kan?" Aku cuba menebak.

Perlahan-lahan, Luthfan jatuhkan kepala. Mengeyakan. Tampak wajahnya persis kanak-kanak yang baru dimarahi dan bersiap sedia untuk menerima hukuman sebentar lagi.

Aku melorek senyuman. Penuh sinis, namun sedaya upaya aku tahan gelodak dalam hati ni supaya tidak meletus dan mengeluarkan kata-kata yang mampu membuatkan satu hati terluka.

Aku masih matang dan mampu memikirkan baik buruk dan kesan yang bakal aku hadapi sebaik sahaja melakukan sesuatu tindakan.

"Patutlah abang kata, mimpi Aileen tu takkan pernah terjadi. Sebab mimpi hanyalah mimpi yang mustahil akan menjadi nyata. Rupanya..." Aku menggeleng bersama senyuman yang masih berbaur sinis. "...dah memang terjadi."

Luthfan nampak termati kata sebelum aku mengambil keputusan untuk memanjat tangga dan meninggalkan dia terpinga-pinga sendiri.

"Aileen..."

| C | Aileen X LuthfanWhere stories live. Discover now